Pakatan Harapan tidak serius perjuangkan pendidikan percuma

Pakatan Harapan tidak serius perjuangkan pendidikan percuma

Mereka masih gagal memberikan justifikasi dan jumlah perbelanjaan walaupun PRU14 semakin hampir.

Free Malaysia Today
Gambar fail

Oleh Rahman Imuda

Beberapa hari lepas saya diundang Demi Malaysia sebagai panel dalam forum yang menyentuh realiti pendidikan percuma di Malaysia. Saya dipadankan dengan Naib Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir. Forum berlangsung dengan baik namun saya dapat menyimpulkan Pakatan Harapan (PH) tidak terlalu serius dalam usaha memberi pendidikan percuma kepada rakyat jika mereka memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kelak.

Ada 2 janji utama berkaitan pendidikan tinggi; pertama mereka ingin menjadikan universiti awam percuma dalam tempoh 5 tahun, dan tidak meletakkan kewajipan kepada graduan untuk membayar hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sehingga mencapai angka gaji RM4,000.

Saya berpendirian mereka tidak serius memperjuangkan pendidikan percuma kerana walaupun PRU14 semakin hampir, mereka masih gagal memberikan justifikasi dan jumlah perbelanjaan sebenar 2 manifesto berkaitan pendidikan tinggi ini.

Melihat pengalaman lepas

Saya fikir tidak salah kita melihat draf belanjawan pendidikan percuma yang lepas, iaitu manifesto yang ditawarkan Pakatan Rakyat pada PRU13. PR ingin memansuhkan PTPTN (pada kadar bayaran balik RM2 bilion setahun selama 20 tahun), memberikan yuran percuma kepada pelajar universiti awam, memberikan elaun kos sara hidup kepada mahasiswa sebanyak RM5,000 setahun dan mewujudkan tabung pinjaman khas untuk mahasiswa di universiti swasta.

Kos manifesto ini RM6 bilion setahun, bagi saya angka yang boleh dicapai, lebih-lebih lagi setelah GST dilaksanakan. Namun perbelanjaan ini disangkal Khairy Jamaluddin dalam debat mansuh PTPTN anjuran Sinar Harian. Khairy berpandangan pada ketika itu untuk mewujudkan pendidikan percuma kita memerlukan jumlah yang besar sehingga mampu membuatkan negara muflis.

Terdapat juga kajian alternatif apabila membicarakan isu pendidikan percuma. Salah satu daripada kajian tersebut dikeluarkan Gerakan Menuntut Pendidikan Percuma (GMPP). Menurut kajian GMPP, negara hanya memerlukan lebih kurang RM4 bilion untuk merealisasikan pendidikan percuma di peringkat pengajian tinggi.

Cabaran kepada Pakatan Harapan

Cabaran pertama saya kepada PH jika berjaya menjadi kerajaan adalah memansuhkan kadar ujrah 1% PTPTN. Saya fikir ini langkah simbolik yang mudah jika mereka serius memperjuangkan pendidikan percuma. Bagi saya, kadar 1% ini seharusnya sudah lama dihapuskan. Sewajarnya mahasiswa tidak perlu dikenakan “riba” untuk pinjaman pendidikan, mahasiswa sepatutnya membayar jumlah yang sama dengan apa yang mereka pinjam. Belanja pengurusan PTPTN perlu ditanggung kerajaan memandangkan mereka tidak mampu menyediakan pendidikan percuma.

Saudara Shazni mengatakan mereka memerlukan RM10 bilion untuk belanja pendidikan percuma. Namun, beliau tidak memberikan apa-apa perincian dalam belanjawan ini. Saya berpandangan PH belum melakukan perbincangan serius berkenaan pendidikan percuma.

Saya juga mengemukakan soalan tentang tawaran bayaran PTPTN setelah bergaji RM4,000. Saya bimbang tawaran ini akan memberi kesan kepada peminjam baharu kerana untuk graduan mencapai gaji RM4,000 memerlukan masa yang panjang. Tawaran ini jelas akan menganggu kadar bayaran balik PTPTN pada tempoh yang panjang.

Kemudian mereka perlu menyatakan dari mana mereka akan mengambil wang sebanyak RM10 bilion, lebih-lebih lagi apabila GST ingin mereka hapuskan. Saya fikir soalan-soalan ini penting ketika membincangkan sejauh mana janji-janji pakatan pembangkang ini realistik.

Pendidikan tinggi penting untuk orang miskin

Saya percaya pada peringkat pra-sekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah, negara memiliki sistem pendidikan yang murah. Ada beberapa polisi boleh diperbaiki pada peringkat pendidikan rendah, seperti memperkenalkan polisi untuk mengatasi masalah nutrisi yang dilaporkan oleh Tabung Kanak-kanak PBB (Unicef) tempoh hari.

Cabaran utama golongan yang berpendapatan rendah adalah ketika ingin melangkah ke institusi pengajian tinggi. Lebih-lebih jika pelajar itu mendapat keputusan yang sederhana, terlalu banyak bantuan yang ada lebih memfokuskan keputusan peperiksaan berbanding keadaan ekonomi sesebuah keluarga.

Oleh sebab itu ahli politik tidak boleh hanya bermain kata-kata dalam menawarkan pendidikan percuma. Jangan beri harapan palsu dalam isu ini. Ada kumpulan rakyat yang benar-benar memerlukan pendidikan yang percuma atau murah.

Angka perbelanjaan pendidikan percuma bukanlah seperti wahyu daripada langit. Penetapan perbelanjaan memerlukan kajian terperinci dan mengambil kira keadaan ekonomi semasa. Bagi saya, Barisan Nasional juga perlu datang dengan angka-angka yang tepat dalam menolak pendidikan percuma, biarlah para sarjana dan orang awam dapat melihat.

Perkara penting yang selalu tidak difahami oleh ahli politik adalah pendidikan bukan perniagaan dan mahasiswa bukan komoditi.

Rahman Imuda adalah seorang aktivis mahasiswa.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.