Tariq Ramadan jadi sasaran politik

Tariq Ramadan jadi sasaran politik

Selepas 2 bulan bukti dihantar, peguam beliau mendapat tahu dokumen tersebut 'hilang'. Apabila disoal bagaimana ia boleh hilang, pada 1 Februari, bukti tersebut tiba-tiba menjelma dengan rupa lain.

Tariq-ramadan-Reuters
Gambar Reuters.

Oleh Hafizul Faiz

Pada 22 Februari lalu, hakim menolak rayuan pembebasan tokoh terkemuka intelektual Islam khususnya di Eropah, Tariq Ramadan daripada dipenjarakan atau lebih tepat penahanan ketenteraan.

Sejak kempen #MeToo yang mersik di Perancis, tidak ketinggalan Tariq Ramadan juga mengalami nasib sama: Berdepan tuduhan rogol oleh 2 wanita. Yang menariknya, Tariq Ramadan adalah satu-satunya tertuduh yang menerima penahanan ketenteraan, meskipun perbicaraan sedang dijalankan dan dari segi undang-undang, Tariq Ramadan belum disahkan bersalah.

Tariq Ramadan tidak dibenarkan menghubungi sesiapapun, termasuk ahli keluarganya dan dinafikan sebarang rawatan (ketika beliau menderita penyakit “multiple sclerosis”). Beberapa minggu lepas, sakit beliau semakin parah dan penjara hanya membenarkan seorang doktor bebas merawatnya selama 15 minit.

Tariq Ramadan, 55, seorang cendekiawan Switzerland, dan cucu kepada tokoh terkemuka Hassan Al-Banna, dituduh dengan 2 tuduhan rogol.

Henda Ayari, 41, seorang aktivis feminis yang konservatif dan kemudiannya bertukar menjadi pejuang sekular tegar, mengaku dirogol Tariq Ramadan di Paris pada 2012. Seorang lagi wanita Islam murtad dan hanya mahu dikenali sebagai Christelle, mengaku dirogol tokoh berkenaan di kota Lyon pada 2009.

Tariq Ramadan dengan sendirinya terbang ke Perancis, menawarkan diri untuk disoal siasat selepas meletak jawatan sebagai pensyarah di Universiti Oxford, kemudiannya ditahan serta-merta.

Menurut kenyataan media yang diterbitkan 10 Februari lalu oleh Free Tariq Ramadan Campaign, Tariq Ramadan menjadi sasaran politik. Pendakwaan yang dikenakan sangat meragukan, malah menurut mereka ada “tangan ghaib” yang mahukan Tariq Ramadan didiamkan.

Peguam beliau mendedahkan bukti berupa tiket kapal terbang yang menunjukkan Tariq Ramadan berada di dalam penerbangan ke Paris semasa beliau dikatakan merogol Henda Ayari.

Bersama bukti kukuh itu dan yang lain menunjukkan berlakunya “major discrepancy”, iaitu Henda Ayari menghantar 280 mesej kepada Tariq Ramadan dalam tempoh 2 tahun selepas beliau “dirogol”.

Begitu juga tiket penerbangan dari London ke Lyon pada waktu sama beliau dituduh merogol “Christelle”, disertakan salinan asal pembelian tiket daripada syarikat penerbangan.

Bagaimanapun, Majistret Perancis, Michael Debacq menafikan bukti itu dengan alasan berlaku konflik kepentingan dan bukti itu tidak sah berdasarkan undang-undang Perancis.

Selepas 2 bulan bukti tersebut dihantar, peguam beliau mendapat tahu dokumen tersebut “hilang”. Apabila disoal bagaimana ia boleh hilang, pada 1 Februari bukti tersebut tiba-tiba menjelma dengan rupa lain, bukan yang asal dan pada 2 Februari, Tariq Ramadan ditahan serta-merta.

Tiada langsung maklumat bagaimana proses bukti itu disahkan semula selepas hilang. Kelewatan itu menyebabkan alibi untuk membuktikan Tariq Ramadan tidak bersalah mula samar.

Jika di Amerika Syarikat, Tariq Ramadan akan segera dibebaskan kerana tidak cukup bukti, tetapi bukan di tempat yang tiada siapa peduli, Perancis.

Kuasa kehakiman menyatakan mereka amat mengambil berat isu ini dan meletakkan 3 hakim, bukan hanya seorang, untuk menghakimi kes ini, ketika satu-satunya alibi kuat “hilang” di tangan kuasa kehakiman Perancis.

Menurut Alain Gabon di dalam artikelnya “Is Tariq Ramadan going to get a fair trial in France?” yang diterbitkan portal Middle East Eye, kes ini menjadi semakin pelik dan kemungkinan untuk Tariq Ramadan dinafikan bersalah sangat tipis.

Peguam beliau tidak dibenarkan menyemak fail kes ini dengan alasan proses kehakiman langsung tidak nampak percanggahan konsistensi yang berlaku.

Walaupun kes ini masih dalam siasatan, tetapi proses yang dijalankan mencalarkan integriti sistem kehakiman Perancis, menafikan hak asasi manusia (Tariq Ramadan dinafikan rawatan harian beliau) dan sekaligus menimbulkan tanda tanya besar kepada penerimaan pihak berkuasa Eropah terhadap cendekiawan Islam (ketika tidak ada satu pun media utama Eropah menerbitkan berita sebenar tentang apa yang berlaku).

Hafizul Faiz ialah pembaca FMT.

* Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.