Menyingkap benih Wahhabi dalam sejarah Islam

Menyingkap benih Wahhabi dalam sejarah Islam

Esktremisme agama dan fahaman Wahhabi yang dikaitkan dengan Arab Saudi sebenarnya bercambah daripada benih-benih yang sudah lama ditanam dalam sejarah Islam.

saudi
Ibn Hanbal, pengasas mazhab Hanbali, adalah tenaga besar kepada konsep “nahi mungkar” di dalam Islam. Konsep ini adalah satu usaha untuk mencegah kejahatan, kebatilan atau kemungkaran dan ia dapat dilakukan “dengan hati, lidah dan tangan”.

Beliau banyak memberi penumpuan kepada campur tangan atau pencegahan dengan lidah. Antara terma yang beliau gunakan adalah amara (suruh); naha (larang); qala li (bercakap terus); wa’aza (gesa/desak); nasaha (nasihat); wabbakha (tegur); dan saha (jerkah).

Beliau juga antara sarjana yang menyarankan pemusnahan instrumen muzik, kotak arak, papan catur dan sebagainya.

Kebanyakan doktrin nahi mungkar yang disandarkan kepada Ibn Hanbal adalah berbentuk himpunan soal jawab atau respon semasa, yang mana ia bukan semestinya kumpulan hadis Nabi tetapi termasuk kisah-kisah lingkungan Ibn Hanbal yang berkait.

Contoh respons yang disandarkan kepada Ibn Hanbal adalah susunan Abu Bakar al-Khallal, “Al Amr bi’l Ma’ruf wa-Nahy an al-Munkar”.

Kebanyakan isinya melibatkan bagaimana menegah peminum arak, pemain alat muzik, aktiviti sangkaan seks (yang tidak semestinya zina), pergaulan dengan wanita, tidak solat, bermain catur, memiliki lukisan, gosip, memelihara monyet, menyanyi, dan meratapi kematian.

Bagaimanakah jika pesalah (contoh, peminum arak) yang ditegah itu enggan akur?
Beliau mencadangkan agar tegahan dilakukan dengan suara yang keras, diikuti dengan merampas dan menuangkan araknya atau merampas set catur dan membuangkannya dan ia termasuk menyeru kejiranan dan mensasarkan “pemaksiat”.

Salah satu praktis yang dilakukan oleh pengikut Ibn Hanbal, Muhammad ibn Mus’ab, ialah mengetuk pintu rumah orang yang diketahui memainkan muzik, lantas memecahkan instrumen muzik tersebut. Jika “pemaksiat” itu enggan bekerjasama, beliau malah pernah duduk di tengah rumah pesalah itu seraya membaca Al-Quran dengan suara deras sehingga akhirnya kejiranan datang membantu.

Progresif?

Doktrin Ibn Hanbal mungkin terlihat “progresif” untuk segelintir orang kerana beliau menolak pencegahan kemungkaran jika merasa ada bahaya melakukannya, sebagai contoh seseorang yang ingin menegah kemungkaran itu berasa khuatir yang “pemaksiat” itu bersenjata.

Selain itu alasan privasi boleh membuatkan tanggungjawab “nahi mungkar” itu terangkat. Ibn Hanbal sebagai contoh bersetuju dengan Sufiyan al-Thawri yang terkejut dengan tindakan pegawai anti-mungkar menyerbu kediaman, memanjat tembok rumah untuk menggemparkan mereka dari kemaksiatan.

Sekali imbas memang alasan privasi itu mempamerkan Ibn Hanbal atau sesiapa yang menggunakan kriteria tersebut sebagai “progresif”, kerana beliau menolak pencerobohan. Akan tetapi, Ibn Hanbal juga menyarankan agar “masuk secara izin” ke rumah “pemaksiat” dan tatkala tidak kelihatan tuan rumah, beliau sebagai contoh mencadang agar mencurahkan garam di dalam botol arak pemilik rumah tersebut.

Justeru formula pengikut Hanbali terawal ialah agar “jangan menyiasat sesuatu yang tidak terbuka atau tidak diketahui”. Namun, jika kedengaran muzik di kawasan kejiranan dan tidak diketahui dari mana asalnya, pengikut Hanbali dipesan agar jangan dicari punca “maksiat” itu.

Tidak lawan penguasa

Ibn Hanbal rata-rata bukan seorang yang berkonfrontasi dengan pemerintah. Benar, sejarah ada mencatat yang beliau ada ditahan oleh penguasa, tetapi ia bukan indikasi beliau melawan.

Michael Cook di dalam kajiannya “Commanding Right and Forbidding Wrong in Islamic Thought”, memberi gambaran Ibn Hanbal seorang yang amat menjaga agar tidak membantah atau mencegah kemungkaran sang penguasa.

Di Baghdad, kebanyakan kegiatan “nahi mungkar” ini datang dari seorang pengikut Hanbali, Barbahari (329H/941M). Dokumen sejarah menyatakan sebelum kematian Ibn Hanbal, pengikut beliau sudah direkodkan dalam sejarah sebagai seorang yang marah dan agresif,

Sebagai contoh, pengikut Ibn Hanbal bertanggungjawab menghalang pengkebumian Abu Ja’Far al Tabari (923M) kerana ulama tersebut dituduh menganut Syiah dan terpaksa dikebumikan pada waktu malam. Selain itu tercetus rusuhan pada 929M di Baghdad antara pengikut Hanbali dan lawannya atas isu tafsir Al-Quran.

Selamat untuk dinyatakan yang di Baghdad inilah, “muscular Hanbalism” terbenih. Ia akan kemudiannya menjadi teras fanatisme yang ganas.

Apabila pengaruh Hanbali merosot dan muncul di Damsyik, wilayah kesarjanaan mereka mulai menonjol. Akan tetapi mereka adalah penganut Islam yang minoriti, justeru pendekatan di Iraq tidak dibawa ke Syria.

Malah pemerintah Mamluk telah membawa masuk pengikut Hanbali ke dalam perundangan. Oleh kerana itu di Damsyik terdapat hakim Hanbali, Ibn Abi Umar al Maqdisi. Tentu sahaja, yang lebih berpengaruh adalah Ibn Taimiyyah.

Strategi pengikut Hanbali di Damsyik bukan lagi “kesamsengan”, tetapi menyusup masuk “pemerintahan”. Tambahan pula terdapat basis untuk golongan Hanbali ini bekerjasama dengan pemerintah iaitu “tidak melawan penguasa”.

Ibn Taimiyyah turut menulis kitab bertajuk “Al Amr bi’l ma’ruf wa nahy an al-munkar”. Beliau menekankan supaya yang melakukan kesalahan atau maksiat itu tahu membezakan ma’ruf dan mungkar.

Beliau juga menyatakan maslahat (kepentingan) harus mengatasi kemudaratan – justeru “kesamsengan” seperti gaya Hanbali di Baghdad bukan satu anjuran. Sementara jika mendapat tentangan dari kumpulan “pemaksiat”, beliau menyarankan hendaklah bersabar.

Tanggungjawab mencegah kemungkaran, menurut Ibn Taimiyyah, hendaklah di tangan mereka yang mempunyai kuasa. Ia terletak di tangan ulama, dan umara dalam hal ini adalah muluk (raja-raja), atau mashayikh (para senior); dan ahl al-diwan (pegawai kerajaan).

Penguasaan Othmaniyyah (1516-1918) di Syria mengakibatkan golongan Hanbali kehilangan kerusi hakim di Damsyik, tetapi ketika itu Hanbali sudah sedia berakar dan terdaftar sebagai satu mazhab di bawah aliran Sunnah. Mazhab ini menempuh era nyaris pupus. Usaha untuk menyalakan mazhab ini dilakukan oleh Ibn Qayyim al-Jawziyyah (1350), Ibn Abd al-Hadi (1343), Ibn Rajab (1393), dan Zayn al Din al Salihi (1452) sebelum terpadam, tetapi dibumbui kembali oleh Mar’i ibn Yusuf (1623) di Mesir; Ibn Faqih Fissa (1661) di Damsyik dan kemudian Shams al-Din al-Saffarini (1774) di Palestin.

Semua ini berubah selama-lamanya di Najd. Mazhab Hanbali berpindah pusat pengaruhnya ke kawasan gurun.

Perubahan pusat pengaruh Hanbali mengakibatkan mazhab ini jatuh ke tangan Muslim ala-Badwi dan bukan lagi Muslim dengan peradaban.

Teras Arab Saudi

Tokoh Hanbali di Najd, tidak lain tidak bukan adalah Muhammad ibn Abd al Wahhab (1792) yang bekerjasama dengan Muhammad Ibn Saud (1765) yang ketika itu sekadar penghulu Dir’iyya, daerah oasis Najd.

Nahi mungkar menjadi agenda paling besar Hanbali di Najd, dan menjadi asas penubuhan negara Arab Saudi.

Gerakan Wahhabi pun bermula dengan alasan untuk membasmi tahyul, bid’ah, khurafat dan reformasi ketauhidan. Ia mendapat kacukan “budaya kesamsengan” Barbahari, mesej “nahi mungkar” Ibn Taimiyyah dan kuasa politik Ibnu Saud apabila Ibn Abd al-Wahhab dan cucunya, Sulaiman ibn Abdallah (1818) beroleh kuasa.

Mereka mulai “melarang yang mungkar” terhadap jemaah haji antara 1803-1814 dan mendapat dokongan berkelompok. Kumpulan Syiah dibunuh beramai-ramai dan itu menjadi petunjuk khusus untuk mengenalp asti seseorang itu Wahhabi (apabila mereka menyamar dengan topeng progresif).

Hanbali juga mendapat masukan baru di Najd iaitu kemilitanan dan “mudarat al kuffar”.

Tahap kedua negara Arab Saudi mulai dari Turki ibn Abdallah (1823-34) menjadikan “melarang mungkar” sebagai aktiviti mikro termasuk memastikan warganya bersembahyang.

Faysal ibn Turki (1834-1865) kemudian menyatakan ia adalah rukun Islam dan mereka yang tidak bersembahyang dianggap kafir.

Tahap ketiga negara Arab Saudi dimulai dengan pemerintahan Abd al-Aziz ibn Saud (1902-1952) yang menjadikan pencegahan kemungkaran satu tugas negara. Di waktu ini Saudi secara rasmi membentuk jawatankuasa “memupuk makruf dan mencegah kemungkaran” atau “Hay’at al-amr bi’l-ma’ruf wal-nahy an al-munkar”.

Penubuhan institusi pendidikan di Mekah dan Madinah juga menjurus ke arah ini. Hari ini institusi pendidikan di kota-kota suci ini dibentuk oleh faham Wahhabi dan Hanbali ganas ini.

Beberapa dekad berlalu, Arab Saudi menjadi antara pengeluar minyak terbesar di dunia yang membolehkan wang hasil petrol menyebarkan doktrin dan pendekatan nahi mungkar ini ke negara Islam. Ini termasuklah ke daerah Nusantara dan Malaysia yang sememangnya subur dengan Islam legalistik.

Dan salah sebuah negeri yang mendapat pengaruh besar dari fahaman Wahhabi dan Hanbali ini adalah negeri Perlis.

* Faisal Tehrani adalah nama pena Dr Mohd Faizal Musa dan penulis 7 buku yang diharamkan kerajaan Malaysia.

* Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.