Anjing, babi dan keterpencilan umat Islam Malaysia

Anjing, babi dan keterpencilan umat Islam Malaysia

Tidak seperti dulu, kini kita mendengar anak kita mempunyai banyak keraguan atas nama Islam. Apa puncanya?

All-but-two-animals-the-dog-and-the-pig-appear-on-this-Chinese-zodiac-T-shirt-on-sale-at-a-Giant-hypermarket-outlet
Dulu, pecah-belah atas faktor identiti agama tidak timbul langsung. Kami ke kelas agama di sekolah rendah dan menengah, tetapi tidak pula pernah mendengar ustaz dan ustazah memberitahu kami yang orang bukan Islam itu perlu dijauhi atau lebih teruk lagi, mereka hanya membawa padah kepada negara.

Mungkin tenaga pengajar sebegitu wujud dalam insiden terpencil tetapi ia tidak pernah menjadi masalah kerana semangat nasionalisme atau kenegaraan tidak pernah luput daripada minda kami.

Lebih suku abad kemudian, situasi berubah. Kita banyak mendengar daripada anak-anak kita yang menceritakan perkara tidak baik tentang rakan sekolah mereka yang bukan Islam.

Anak saudara saya sendiri pernah bertanya, sama ada mereka patut berkawan dengan rakan sekolah bukan Islam kerana mungkin mereka boleh terpesong dari segi akidah. Kononnya, dengan hanya berinteraksi dengan mereka, kita boleh termakan dengan “dakyah” mereka.

Dari manakah mereka mendapat sentimen sebegini? Ia bukanlah terpencil. Ia adalah sebahagian daripada satu proses yang amat menyedihkan dan akhirnya akan menyebabkan seseorang bertindak ekstrem dan ganas.

Kita perlu memikirkan masalah sebegini secara sistemik, iaitu memikirkan tentang masalah ini sebagai satu sistem yang menghasilkan mentaliti yang akhirnya mengakibatkan kerosakan di muka bumi (dalam bahasa Al-Quran, fasad fil ardh).

Di Malaysia, kita memang sarat dengan sistem sebegini yang menerapkan sikap acuh tak acuh kepada budaya dan agama lain.

Tidak perlu kita memandang jauh. Hanya pada minggu yang lepas, kita baca mengenai baju T dijual di sebuah pasar raya sempena Tahun Baru Cina, tetapi gambar anjing and babi tidak dipaparkan untuk mewakili 12 haiwan dalam kitaran kalendar Cina.

Mengapa ini berlaku? Mungkin kerana pereka baju itu bimbang yang penampakan haiwan itu melukai perasaan orang Islam. Benarkah anggapan ini?

Sebagai orang Islam, saya tiada masalah langsung dengan anjing. Dalam fahaman saya, jika binatang mangsa tangkapan anjing boleh dijadiakan makanan (seperti dalam Surah Al-Maidah, Ayat 4), tidak mungkin anjing itu haram disentuh.

Mengenai babi, hanya pemakannya yang tidak dibenarkan. Tiada langsung masalah dengan menyentuhnya, memakai kasut kulit babi atau menonton kartun yang memaparkan babi sebagai heronya.

Jadi mengapa umat Islam boleh rasa terhina dengan gambar anjing dan babi? Atau mungkin umat Islam tiada masalah tetapi golongan agamawan sahaja yang membuat kecoh!

Keterpencilan

Jawapan kepada soalan ini dan kepada persoalan kenapa keganasan kepada agama-agama lain makin berlaku di Malaysia terletak kepada satu perkataan – keterpencilan (isolationism).

Umat Islam di Malaysia kian hari, kian terpencil daripada kehidupan arus perdana. Dalam memilih tadika untuk anak umpamanya, kita ada pilihan untuk memilih tadika Islam. Saya tidak mengatakan tadika Islam mengajar kanak-kanak mengganas. Itu bukan persoalannya.

Tadika Islam mungkin tidak mengajar kanak-kanak Islam untuk membenci sesiapa pun, tetapi bagaimana pula dengan pergaulan kanak-kanak itu? Mereka langsung tidak berinteraksi dengan kanak-kanak dari kaum dan agama lain.

Dengan ini, bagaimanakah kita boleh mengharapkan mereka akan mempunyai minda terbuka? Bayangkan, apabila mereka melangkah kaki ke alam persekolahan, bagaimanakah reaksi mereka jika mereka berhadapan dengan kanak-kanak bukan Islam yang mungkin membawa makanan yang mengandungi babi sebagai bekalan sekolah?

Adakah mereka akan mengatakan makanan itu haram dan mengadu kepada guru sekolah? Jika mereka diberi didikan yang sebetulnya pada peringkat tadika, kita tidak perlu bimbang sangat.

Masalahnya ialah apabila penekanan pendidikan adalah kepada ajaran Islam sahaja. Murid perlu diberitahu yang bangsa dan agama lain mempunyai ajaran masing-masing. Mereka patut dibawa untuk berjumpa dengan kanak-kanak tadika lain supaya mereka mengenali manusia dengan ajaran yang berbeza.

Galakkan mereka supaya berkawan dengan kanak-kanak tersebut sama ada melalui aktiviti luar kelas bersama atau secara maya. Semuanya boleh berlaku jika ada kemahuan.

Satu lagi masalah dengan umat Islam yang boleh memencilkan orang Islam daripada rakyat yang lain ialah naratif sejarah Islam yang telah “diharumkan” untuk menjaga ego orang Islam.

Kita diberitahu tentang “manifest destiny” tamadun Islam yang kononnya akan menawan dunia dengan kedatangan Imam Mahdi dan Nabi Isa. Cerita ini juga boleh menggalakkan orang Islam mahu menjadi hero dan melakukan kegiatan yang tak diingini.

Kumpulan Al-Maunah dulu mempunyai sentimen sebegini dalam pemikiran mereka. Yang hairannya, Al-Quran tiada sentimen sebegini. Ia memberi wawasan kepada manusia hidup sebagai satu umat dengan pelbagai cara hidup.

Sangatlah sedih, Malaysia terpaksa memulakan tahun 2018 dengan insiden keganasan seperti di tempat ibadat bukan Islam di Kelantan tempoh hari. Untuk membendung masalah ini, kita perlu menganalisa masalah ini sebagai satu sistem yang berbuah begini hanya kerana pohon dan akarnya mempunyai unsur yang tidak baik.

Tidak guna polis menangkap pengebom ini jika agamawan yang memperkecilkan bangsa dan agama lain masih bebas menyebarkan dakyah mereka.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.