Kita kalut bila berlaku musibah, nyawa terkorban

Kita kalut bila berlaku musibah, nyawa terkorban

HartaGuam juga ingin menyeru kepada semua pihak agar mematuhi segala peruntukan undang-undang khususnya yang berkaitan dengan kesalamatan dan keselesaan bangunan-bangunan kediaman mahupun pusat pusat pendidikan, termasuklah maahad tahfiz dan sebagainya.

harta-guam

Oleh Salkukhairi Abd Sukor

Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam) melahirkan rasa sedih atas tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, Kuala Lumpur 2 hari yang lalu.

Dilaporkan seramai 22 pelajar dan dua warden telah maut dalam kebakaran yang berlaku pada jam lebih kurang 5.30 pagi tersebut. Walaupun sebagai Muslim kita redha dengan apa yang telah berlaku, tetapi tragedi yang berlaku itu sewajarnya menjadi iktibar dan panduan kepada semua pemilik bangunan di seluruh Malaysia amnya, dalam soal berkaitan dengan aspek perundangan pembinaan dan keselamatan bangunan.

Sukacita HartaGuam ingin mengingatkan semua pihak yang bercadang untuk membina sesuatu bangunan untuk dijadikan premis kediaman, komersial, sekolah, asrama dan sebagainya, perlulah mendapatkan kelulusan bertulis terlebih dahulu daripada Pihak Berkuasa Tempatan sebelum sesuatu bangunan tersebut boleh didirikan.

Ini bertepatan dengan peruntukan Seksyen 70(1) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) yang antara lain menyatakan tiada seseorang boleh mendirikan sesuatu bangunan melainkan mendapat kelulusan bertulis daripada Pihak Berkuasa Tempatan.

Begitu juga sekiranya sesuatu bangunan itu ingin ditambah, dipinda atau diubahsuai, ia juga perlu mendapatkan kelulusan bertulis terlebih dahulu daripada Pihak Berkuasa Tempatan.

Kegagalan mendapatkan kelulusan untuk mendirikan atau menambah, meminda atau mengubahsuai sesuatu bangunan adalah merupakan kesalahan di bawah Seksyen 70 (13) Akta tersebut dan boleh jika sabit kesalahan, didenda sebanyak RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya, dan juga boleh didenda tambahan sebanyak RM1,000 bagi tiap-tiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Tujuan peruntukan tersebut diadakan adalah tidak lain dan tidak bukan untuk mempastikan setiap bangunan yang didirikan atau sebarang pengubahsuaian yang dibuat mematuhi segala aspek keselamatan dan keselesaan kepada penghuninya.

Ini kerana setiap permohonan kelulusan bangunan yang dibuat perlu melalui beberapa jabatan teknikal seperti Jabatan Bangunan, IWK, SKMM dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terlebih dahulu untuk mempastikan segala aspek keselamatan dan keselesaan dipatuhi.

HartaGuam dimaklumkan banyak bangunan di negara kita didirikan tanpa mendapat kelulusan bertulis daripada Pihak Berkuasa Tempatan.

Perkara ini berlaku disebabkan oleh keengganan mereka menanggung kos tambahan untuk mendapatkan kelulusan tersebut yang juga pastinya mengambil masa tertentu untuk diluluskan.

Ini sesuatu yang tidak patut berlaku kerana ia boleh mendedahkan pemilik dan penghuni sesuatu bangunan itu kepada risiko keselamatan termasuklah runtuhan dan kebakaran.

HartaGuam juga menggesa pihak berkuasa yang berkenaan agar dapat menguatkuasakan peruntukan undang-undang yang sedia ada dalam mempastikan aspek keselamatan sesuatu bangunan itu diutamakan.

Misalnya Pihak Berkuasa Tempatan sendiri boleh menguatkuasakan peruntukan-peruntukan yang terkandung dalam Akta 133 tersebut termasuklah memantau dari semasa ke semasa, mengenakan kompaun kepada pemilik bangunan yang gagal mematuhi undang-undang, mengarahkan premis tersebut ditutup atau jika perlu mendakwa mereka di mahkamah atas keselahan-kesalahan yang termaktub dalam Akta tersebut.

Begitu juga dari segi menangani langkah-langkah mengelakkan kebakaran sesuatu bangunan, pihak boma dan penyelamat misalnya boleh menguatkuasakan Seksyen 12 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) untuk membuat pemeriksaan di bangunan-bangunan tertentu dan mengambil langkah-langkah untuk meminta pemilik sesuatu bangunan menghapuskan segala bahaya yang boleh menyebabkan kebakaran dalam sesuatu premis tersebut atau mengarahkan sesuatu bangunan itu ditutup sekiranya pemilik bangunan tersebut gagal mengambil langkah-langkah sebagaimana yang di arahkan untuk menghapuskan risiko kebakaran dalam sesuatu premis tersebut.

Pendek kata undang-undang di negara kita telah memperuntukkan langkah-langkah yang sewajarnya untuk mempastikan aspek keselamatan sesuatu bangunan itu diambil berat. Cuma tinggal lagi sejauh manakah peranan kita sebagai rakyat Malaysia untuk mempastikan undang-undang tersebut dipatuhi dengan sewajarnya.

Seolah-olah menjadi trend di negara kita, apabila berlaku sesuatu musibah, barulah kesemua pihak mula sibuk menuding jari satu sama lain mencari kesalahan masing-masing. Dan barulah masing masing kalut untuk melihat kepada peruntukan undang-undang yang sedia ada, sama ada dari segi penguatkuasaan mahupun penambahbaikan.

HartaGuam juga ingin menyeru kepada semua pihak agar mematuhi segala peruntukan undang-undang khususnya yang berkaitan dengan kesalamatan dan keselesaan bangunan-bangunan kediaman mahupun pusat pusat pendidikan, termasuklah maahad tahfiz dan sebagainya.

Kita tidak mahu masa depan anak-anak bangsa seagama kita dikorbankan dek kerana kecuaian kita mematuhi peruntukan undang-undang yang sewajarnya.

Memanglah ajal maut itu di tangan Tuhan. Tetapi sebagai Hamba Tuhan, kita diajar oleh agama untuk menjaga nyawa-nyawa kita khususnya anak-anak bangsa seagama kita, yang mana Hifzu Nafsi (menjaga nyawa) adalah salah satu asas penting dalam Maqasid Syariah yang amat dititikberatkan oleh agama Islam.

Akhirnya, marilah kita sama-sama berdoa kepada Allah Taala agar anak-anak tahfiz yang terkorban dalam tragedi tersebut ditempatkan oleh Allah di kalangan para syuhada’ dan keluarga-keluarga mangsa diberi kekuatan dan tabah untuk menghadapi segala ujian Allah tersebut.

Dari Dia kita datang, kepada Dia kita akan kembali.

Salkukhairi Abd Sukor adalah Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.