Menjawab mereka yang bertanya soalan tajam tentang Islam

Menjawab mereka yang bertanya soalan tajam tentang Islam

Reaksi terhadap pandangan diutarakan seorang sarjana Indonesia baru-baru ini menyerlahkan pembantutan budaya intelektual di kalangan umat Islam.

radikal-in-islam
Minggu lepas, sebuah portal melaporkan forum Islamic Renaissance Front (IRF) dengan menuduh seorang sarjana dari Indonesia, Dr Mun’im Sirri membuat dakwaan Al-Quran diturunkan di Mesopotamia dan bukan di Mekah dan Madinah.

Sirri menafikan membuat dakwaan itu, sebaliknya berkata dia hanya menyampaikan pandangan seorang sarjana Barat, John Wansbrough.

Kita perlu tanya, mengapakah isu ini menjadi kecoh dan sensasi?

Hairannya, komen di laman yang memutar belit ucapan Sirry, tidak satu pun pandangannya disanggah, selain kutukan “kafir”, “murtad” dan sebagainya.

Badan kerajaan yang menguruskan hal ehwal Islam di Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, juga tidak memberi apa-apa hujah yang konstruktif. Hanya sekadar mengatakan yang fahaman golongan “liberal” G25 itu sesat dan menyesatkan.

Seperti biasa, umat Islam dikerah untuk menjauhi fahaman sebegini. Buku G25 pun sudah diharamkan.

Adakah pembantutan budaya intelektual sebegini sihat? Kita sekarang sudah berada dalam era globalisasi. Islam pula betul-betul di pertengahan perbincangan politik dunia.

Keganasan atas nama Islam makin menjadi-jadi dan menjadi alasan campurtangan Barat di Timur Tengah. Di Barat pula, omongan mengenai Islam adalah sangat menjadi kebiasaan sekarang.

Semua orang ada pendapat mengenai Islam dan kerap kali pandangan itu adalah negatif.

Jadi apakah kita berdiam diri sahaja? Apabila agama kita dikritik, kita cuma menyuruh umat Islam jangan membaca kritikan itu kerana boleh menyesatkan mereka?

Minat Barat

Strategi katak bawah tempurung ini memang tidak pernah efektif lebih-lebih lagi di era teknologi maklumat seperti sekarang.

Bidang “Islamologi” iaitu bidang pengajian Islam yang tidak berasaskan dogma (kepercayaan turun temurun) tetapi berasaskan maklumat daripada sejarah dan sains sosial, memang sudah lama bertapak di Barat.

Pada mulanya, tamadun Barat yang bercorak fundamentalis Kristian memusuhi Islam dan cuba menghasilkan propaganda untuk mengutuk dan memalsukan Islam. Ketika itu, tamadun Barat dan tamadun Islam berperang iaitu dalam Perang Salib. Maklumat Barat tentang Islam pada masa itu diada-adakan mengikut sarjana Barat yang datang selepas itu.

Selepas Barat menjadi lebih sekular, mereka lebih mementingkan fakta yang objektif tentang agama Islam. Produk sarjana mereka pun boleh nampak perubahannya pada zaman itu.

Walaupun mereka tidak percaya Nabi Muhammad itu utusan Allah (kerana mereka juga mungkin tidak mempercayai agama langsung), mereka sekurang-kurangnya tidak memalsukan maklumat tentangnya atau tamadun Islam.

Sebaliknya, mereka bertanya soalan yang tajam seperti “kesalahan” Al-Quran dari segi nahu atau isi kandung.

Pandangan Orientalis terhadap Al-Quran

Berbalik kita kepada Sirri. Beliau nampaknya daripada golongan orientalis yang dinamakan “historical revisionism” (yang memikirkan semula fakta sejarah).

Golongan ini mencabar dakwaan orientalis sebelum mereka. Misalnya, pada kurun ke-19, orientalis mencabar kesahihan hadis dengan mengatakan ia timbul kerana perbalahan di antara puak Sunni dan Syiah. Sarjana seperti Ignaz Goldizher, Joseph Schacht dan beberapa orang lagi membawa dakwaan ini tentang hadis.

Tetapi golongan orientalis yang mewarisi tradisi ini telah memanjangkan lagi kritikan mereka kepada Al-Quran sendiri. Sarjana seperti John Wansbrough, Gerald Hawting dan Patricia Crone membuat kajian dalam bidang ini.

Wansbrough, yang menjadi pengasas “historical revisionism”, berpendapat oleh kerana tiada manuskrip Al-Quran di era awal Islam, maka Al-Quran itu hanya dikumpulkan dan dibukukan 250 tahun selepas Nabi Muhammad!

Kebanyakan orientalis sendiri menyanggah dakwaan Wansbrough dengan mengatakan orang Arab Islam pada masa itu mempunyai budaya “lisan” iaitu lebih cenderung menghafal.

Bagi saya, umat Islam mengamalkan budaya membakar Al-Quran untuk memastikan ia tidak dibuang, maka tidak hairanlah apabila naskhah Al-Quran tidak wujud daripada zaman awal.

Saya juga mengajukan hujah yang, jika Al-Quran hanya muncul selepas 250 tahun, maka ia akan mempunyai berpuluh-puluh versi kerana pada zaman itu, sudah muncul golongan Sunni dan Syiah.

Tetapi tidak, semua orang Islam memegang kepada satu Al-Quran yang jelas dan nyata. Ini hanya boleh berlaku jika Al-Quran muncul, dibukukan dan disebarkan sejak daripada zaman paling awal Islam.

Sirri pula membuat dakwaan yang Al-Quran perlu dibaca selaras dengan Bible kerana menurutnya, cerita dalam Al-Quran tidak cukup butiran.

Misalnya, nama bapa kepada Nabi Isa iaitu Joseph tidak diberitahu oleh Al-Quran. Saya ingin bertanya kepada beliau, adakah itu tujuan Al-Quran iaitu menjadi buku sejarah? Sama sekali tidak! Sebenarnya Al-Quran menfirmankan kisah di dalamnya adalah penjelasan bagi segala sesuatu (12/111). Ia tidak pernah menyuruh kita mendapatkan maklumat daripada sumber lain.

Teori Sirri hanyalah anggapan mengenai Al-Quran dengan tidak memikirkan tentang dakwaan Al-Quran sendiri.

Kita tidak usah berasa bimbang apabila berhadapan dengan cabaran intelektual. Jika kita yakin bahawa Al-Quran itu kebenaran, maka ia boleh membawa kita jawapan yang kukuh.

* Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.