
Beberapa tahun lalu saya berkenalan dengan seorang profesor dari Iraq. Dia menyebut nama Gertrude. Pada waktu itu keadaan di negaranya masih belum stabil selepas kejatuhan diktator ganas Saddam Hussein.
Profesor itu yang sudah agak berusia memberitahu saya, “Iraq tidak pernah aman sejak zaman Saidina Ali memerintah di Kufah. Mungkin ada seketika waktu yang seingat saya agak tenang. Iaitu ketika waktu yang sangat singkat Iraq berada di bawah pemerintahan beraja. Mereka adalah keturunan Bani Hashim. Dan nama 2 orang raja Iraq adalah Faisal, seperti namamu. Itu sebelum Iraq menjadi republik pada tahun 1958.”
Antara 1915 dan 1958, Timur Tengah mengalami pergolakan politik yang dahsyat. Selain berakhirnya Othmaniyyah, minyak pula ditemui, dan berbutirnya beberapa buah negara Arab, selain penaklukan Wahhabi di Semenanjung Arab, khususnya di Taif pada September 1924.
Malang sekali Ibnu Saud dengan kerjasama pengikut dan keturunan Muhammad Abdul Wahhab mara sehingga membentuk sebuah negara yang ganas sehingga ke hari ini.
Tahun penuh pergolakan itu disaksikan sendiri oleh seorang puteri bangsawan Inggeris, Gertrude Bell; pengarang dan arkeologis, juga penerjemah puisi Hafiz dari bahasa Parsi ke Inggeris.
Kerana cintanya buat tanah Arab, beliau malah meninggal dunia dan mewasiatkan agar dikebumikan di Baghdad.
Tumpah kasih Gertrude buat tanah Arab dan faham kepercayaan mereka bukan datang tiba-tiba. Ia berbalik pada Februari 1896 di London lagi, di mana beliau terpesona dengan Al-Quran yang disifatkannya “such a magnificent book”.
Profesor Iraq yang saya kenali itu banyak bercerita tentang Gertrude dan bagaimana koleksi beliau sebagai seorang arkeologis membantu terbinanya Muzium Iraq yang kaya warisan dan khazanah.
Wanita lasak
Untuk mereka yang singkat maklumat mengenai beliau, Bell adalah seorang perisik dan juga staf kedutaan Britain di Baghdad. Akan tetapi, membaca himpunan surat, poskad, keratan diari dan catatan politik beliau yang dihimpunkan dalam buku “A Woman in Arabia: The Writings of the Queen of the Desert” oleh Georgina Howell, kita mendapati Bell adalah wanita lasak yang budiman, atau hanyalah seorang perempuan yang jatuh cinta dengan gurun dan kekasaran budaya Arab.
Malah, keanggunan dan kedalaman kefahaman beliau mengenai Arab, Islam dan Timur Tengah dilakonkan dengan baik oleh Nicole Kidman dalam biopik “Queen of the Desert” (2015).
Oleh kerana pengetahuan beliau yang sangat luas mengenai Timur Tengah dan orang Badwi hasil beberapa ekspedisi ke kawasan pedalaman negeri Arab; empayar Inggeris pada waktu itu, tidak dapat tidak sangat menagih maklumat daripada beliau.
Sayang, suara Bell selaku seorang perempuan kurang didengar. Ahli politik di London mengabaikannya, dan memetakan agenda sendiri. Jadinya ingatan beliau mengenai kemaraan Ibnu Saud dan merebaknya Wahhabisme kurang dipandang, malah mungkin sengaja dimanipulasi oleh politikus Inggeris di rantau itu.
Seperkara yang paling dipesan oleh Bell adalah tidak melayan tuntutan sebuah negara untuk orang Yahudi di Timur Tengah. Seperti kata beliau, Palestin hendaklah menjadi “salah sebuah” rumah dan bukan “satu-satunya rumah” untuk orang Yahudi.
Bahkan komen Bell dalam kawad diplomatiknya, jika diamati menyerlahkan bahawa penduduk Yahudi di Palestin dan Timur Tengah pada waktu itu tidak begitu mengendahkan hasrat dan tuntutan agar lahirnya sebuah negara Yahudi. Ketidakterujaan itu dapat difahami.
Sebaliknya harapan dan desakan agar wujud sebuah negara Yahudi di Timur Tengah itu datang dari golongan Yahudi di luar rantau tersebut. Atau dalam bahasa mudah, datang dari Eropah; atau London secara terus.
Baitul Maqdis untuk semua
Dalam satu laporan sulit Lord Cromer yang pernah berkhidmat di India dan Mesir untuk empayar Inggeris, beliau merujuk kepada anjuran Bell agar memastikan jangan sampai Baitul Maqdis dimiliki satu-satu bangsa atau penganut agama sahaja. Kota itu hendaklah dikongsi oleh 3 kepercayaan dan jangan sampai ada kawal eksklusif.
Dalam membincangkan kebangkitan faham Zionisme, Bell memberi amaran bahawa kemunculan negara Yahudi akan menyebabkan pergolakan yang panjang dan pertumpahan darah di Timur Tengah.
Bell yang sangat rapat dengan masyarakat tempatan di mana pun negara ia menetap, sangat memahami identiti mazhab dan lain-lain kepercayaan sehingga profesor Iraq itu membayangkan, sekiranya dia masih ada, tentu sahaja pandangan beliau mengenai isu seperti sektarianisme, pembulian Wahhabi terhadap negara kecil, dan soal hak asasi manusia dapat disalurkan dengan lebih cepat.
Ramalan Bell mengenai kemunculan negara Yahudi akan meledakkan api di Timur Tengah ternyata benar. Dia tidak cukup panjang umur untuk melihat apa yang berlaku di Timur Tengah hari ini.
Bell tidak sempat melihat bagaimana Saudi membiarkan Zionis mengganyang Gaza berhari-hari lamanya, tetapi dengan tangkas memutus hubungan dengan Qatar dalam tempoh tidak sampai 24 jam.
Bell yang pernah menetap di Tehran juga tidak berpeluang melihat bagaimana Iran menjadi kuasa besar serantau sebelum menjadi mangsa aniaya perang Iran-Iraq.
Hari Al-Quds
Jika Bell melihat Baitul Maqdis untuk semua, pemimpin Revolusi Islam Iran, Ayatullah Khomeini pula cuba memanjangkan naratif tersebut dengan melancarkan apa yang beliau namai Hari Al-Quds Sedunia.
Hari Al-Quds dilancarkan Khomeini adalah tarikh simbolik perjuangan untuk menegakkan keadilan dan keamanan di bumi Palestin di seluruh dunia. Ia mestilah tanpa mengambil kira fahaman, mazhab dan lapisan masyarakat oleh seluruh umat Islam.
Khomeini pada bulan Ramadan 1399 AH (Ogos 1979) mengisytiharkan bahawa hari Jumaat terakhir bulan Ramadan adalah Hari Al-Quds Sedunia, yang jatuh esok.
Dalam deklarasi bertarikh 7 Ogos 1979 itu, Khomeini mengatakan: “Hari Al-Quds bukan sekadar masalah Palestin. Hari Al-Quds adalah hari sedunia. Hari di mana seluruh kaum tertindas bangkit menentang penguasa zalim. Hari Al-Quds adalah hari Islam, hari di mana kekuatan dan keadilan Islam perlu diperjuangkan.
“Hari ini, umat Islam perlu menyedari kekuatan yang mereka miliki. Mengapa umat ini harus takut sedangkan jumlah mereka adalah 1 bilion, di tangan mereka kekayaan ekonomi dan kekuatan rohani. Allah tetap bersama umat ini selama mereka meletakkan keimanan dalam hati mereka. Hari al-Quds adalah hari dunia Islam.”
Tentu sahaja seruan melindungi Baitul Maqdis antara Gertrude dan Khomeini berbeza. Jika Khomeini ingin meletakkan perjuangan rakyat Palestin di tengah mata dunia sambil mempromosi kejahatan Zionisme; perspektif Bell mungkin lebih sekular yang mana Baitul Maqdis harus dipertahankan supaya menjadi milik semua, dan tiada sesiapa, baik golongan “Mohammedan” (Muslim) atau Arab Kristian, malah Yahudi harus memonopolinya.
Saya terfikir, mengapa Bell sangat ingin melindungi Arab, dan dalam konteks artikel ini; Palestin.
Saya membaca petikan diari beliau dengan khusyuk, dan mendapati pada 17 September 1921, Bell menulis begini: “Secara peribadi aku seorang Sunni, tetapi sangat tidak wajar berpura-pura tidak tahu kewujudan pihak yang lebih berusia seperti Saiyid Ja’far atau kelompok Syiah yang sangat suka makan kekacang.”
Kita tahu dari catatannya, Bell menghargai dan menghormati tradisi masyarakat Syiah khusus ketika Muharram. Saya memikir, seperti Bell, seseorang yang dapat melupakan kefanatikan mazhab, dan keyakinan agama akan dapat melihat wajah Palestin dengan lebih jujur, seraya meraikan Hari Al-Quds dengan lebih berkesan.
Untuk seorang Syiah seperti Khomeini, Palestin penting kerana Imam Mahdi yang mereka nantikan tidak akan menjelma begitu sahaja; puncaknya adalah membela Al-Quds.
Justeru, lebih semarak perlindungan buat Palestin, lebih menyala harapan Imam Mahdi yang mereka tunggukan itu akan tiba.
Al Quds datang lagi. Tetapi hari ini, meski lebih penting daripada tahun sebelumnya, ia juga akan karam lagi.
Ini kerana rantau Timur Tengah yang dikenal Bell dan Khomeini sudah jauh berubah. Hari ini tidak susah lagi mencari musuh umat Islam dan Palestin. Pasukan Wahhabi di Teluk, telah bersekutu dengan penuh mesra bersama-sama Zionis di Tel Aviv.
Hanya mata dan akal yang cerah akan melihat dengan mudah. Masalahnya, ialah adanya pemimpin umat Islam, termasuk dari alam Melayu yang senang didajal. Mereka secara tidak langsung menyokong gagasan yang tidak diimpikan oleh Gertrude mahupun Khomeini, iaitu; sebuah negara Yahudi yang diperkasa negara Arab menujah memperkosa Baitul Maqdis.
Kalaulah Khomeinin dan Gertrude di seberang sana tahu!
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.