Mari kenali ‘Muslim Homosektual’

Mari kenali ‘Muslim Homosektual’

Golongan Muslim ini melakukan 'sumbang mahram' kerana hanya berurusan dan berasa syok serta puas dengan penganut agama yang sejenis mereka.

london

Salah seorang daripada pengganas yang menyerang kota London minggu lalu kini sudah dikenali. Namanya Khuram Butt, pemuda berusia 27 tahun kelahiran Pakistan.

Khuram adalah warganegara Britain, menetap di Timur London beberapa tahun, berkahwin dengan 2 orang anak.

Beliau memiliki kelayakan dalam pengurusan perniagaan dan pernah bekerja di salah sebuah cawangan Kentucky Fried Chicken. Beliau juga pernah bekerja sementara dengan syarikat pengangkutan London dan pernah cuba-cuba berniaga menjual alat solek dengan membuka perniagaan atas talian.

Profil di atas mempamerkan sesuatu yang biasa, yang selalu kita lalui sehari-hari. Kita malah, mempunyai teman-teman dan ahli keluarga dengan profil di atas.

Dari segi luaran tak terlihatkan Khuram seorang pembunuh. Jika demikian, mungkinkah ada dalam kalangan kita; di Malaysia, seperti profil di atas yang sebenarnya berpotensi menjadi pengganas?

Sudah tentu. Forensik teologi akan memberi isyarat yang nyaring jika kita ingin mengenali orang Khuram. Mereka mempunyai satu persamaan: Mereka adalah “Muslim Homosektual”.

Saya pernah menulis sebuah cerpen dengan judul “Homosektual” pada 2012 yang memperihalkan gejala “Muslim Homosektual” ini.

Apakah Muslim Homosektual?

Muslim Homosektual adalah istilah untuk seorang Muslim yang secara kejinya jahil, tidak peduli dan tiada minat terhadap budaya, gagasan, idea, dan jurus fikir orang di luar lingkungan pengalamannya.

Ia adalah sejenis “sumbang mahram” kerana Muslim ini hanya berurusan dan berasa syok serta puas dengan anggota atau penganut agama yang sejenis.

Ia adalah sejenis “bestialiti budaya” di mana Muslim jenis ini melakukan persenggamaan idea dengan “makhluk yang melampaui batas kemanusiaan”.

Khuram adalah seorang Muslim Homosektual. Dia boleh bersama-sama hadir dalam majlis barbeku kita untuk menonton perlawanan akhir Piala FA, dia rajin ke Ummah Fitness Centre untuk membina otot, dia adalah penyokong Arsenal, sementara orang perempuannya mengenakan niqab dan dia diketahui “baik” orangnya.

Itu semua adalah zahirnya sebelum beliau ditembak mati di luar pub Wheatsheaf. Sebelum dibunuh polis, beliau dan 2 lagi rakan penjenayah sempat mengorbankan 7 orang dan mencederakan 48 yang lain.

Tempurung mazhab

Justeru, Muslim Homosektual boleh terlihat sebagai budiman. Akan tetapi di dalam kepala mereka hanya satu sekte atau mazhab, atau idea yang benar.
Mereka menolak sama sekali idea atau gagasan yang lain daripada apa yang mereka kenal. Mereka hanya mempercayai apa yang disampaikan oleh naqib, pendakwah, ustaz kesayangan atau mubaligh yang mereka gemari.

Mereka tidak boleh menghadam bahawa Islam itu beraneka macam cara pengamalannya. Padahal mereka boleh bermesra dan, katakanlah berbuka puasa dengan orang bukan Islam.

Akan tetapi apabila seseorang menunjukkan kelunakan terhadap Iran sebagai contoh, atau mendokong hak asasi manusia sebagai misalan, mereka akan segera dilabel.

Muslim Homosektual adalah “kaki masturbasi” idea sendiri. Mereka anti Muslim lain yang tidak tunduk kepada cara fikir mereka.

Muslim Homosektual boleh toleran dengan bukan Islam kerana menurut mereka, bukan Islam sudah tentu kafir, atau “boleh dipulihkan”; tetapi untuk sesama Islam yang tidak kena dengan selera mereka – kafir, murtad, atau sesat adalah mainan di bibir, kesan lekatnya “bestialiti budaya”.

Khuram, sebagai misalan, pernah memanggil Mohammed Shafiq, eksekutif sebuah yayasan bernama Ramadhan Foundation, sebagai “murtad”, “pengkhianat” dan “boneka pemerintah” apabila mempertahankan pendakwah kegilaannya, Anjem Choudary.

Kembar di Malaysia?

Kita boleh melihat di Malaysia, bibit Muslim Homosektual ini memang ada.

Mereka sebagai misalan sangat obses dengan satu-satu pendakwah di YouTube. Muslim yang berhujah lain daripada idea mereka akan dinobat sesat, kafir, Syiah, liberal, dan sebagainya.

Muslim Homosektual seperti Khuram memang ada dalam kalangan kita. Silap haribulan, mereka adalah teman sepejabat, atau adik beradik sendiri.

Silap hari bulan mereka adalah ulama yang dikenali. Mereka – bukan semua – berlindung di sebalik slogan Islam yang retorik dan sentiasa yakin bahawa – hanya, ulangan hanya – mereka sahaja yang betul.

Sejak era kebangkitan Islam dalam tahun 1970an dan 1980an, Muslim Homosektual mulai lahir dalam jumlah besar.

Menurut sosiologis terkenal, Abdul Rahman Embong, sikap dan tindakan tidak toleran oleh Muslim sebegini berlaku seawal abad ke 20, “di mana terdapat perselisihan antara umat Islam yang berpegang dengan ajaran ortodoks dan moderat”.

Kata Abdul Rahman lagi dalam tulisan bertajuk “Faktor Ideologi Politik Dan Budaya Dalam Penutupan Minda Melayu-Islam”, kumpulan “yang mendominasi kebangkitan agama di Malaysia setakat ini didakwa reaktif, keras dan konservatif, yang menganggap dirinya benar dan tidak menerima pandangan pihak lain dan kurang toleran terhadap pihak lain”.

Ini bermakna, adalah malang sekali kebangkitan Islam yang sepatutnya positif didominasi oleh mereka yang jumud, keras dan ekstrim dan bukan Muslim yang progresif dan saintifik.

Saudi dan persenyewaan Muslim Homosektual

Tidak dapat dielakkan, di Malaysia kehadiran Muslim Homosektual ini adalah salah pemerintah yang menghadkan tafsiran agama kepada satu, dan melarang sebarang cabar mencabar dalam hal ini.

Sosiologis dan sejarawan terkenal mengenai Malaysia bernama Judith Nagata menyatakan ini adalah satu langkah silap pemerintah, yang menurut saya membuka pula jalan kepada pembiakan Muslim Homosektual.

Dalam artikel beliau “Boundaries of Malayness: We Have Made Malaysia: Now It Is Time to Re-Make the Malays But Who Interprets the History?”, Nagata dengan tegas menyatakan salah satu salah langkah tersebut ialah apabila kerajaan berpegang kepada satu sekte sahaja (homosektual), ia dengan sendiri menafikan tradisi atau warna Islam yang lain sehingga mereka ditekan dengan dahsyat sekali.

Tapak semaian untuk Muslim Homosektual ini dibaja oleh pentadbiran hari ini yang cenderung kepada Islam jenama Saudi iaitu “Islam Petrol”. Islam jenis ini adalah persenyawaan keganasan dan kapitalisme yang merupakan hasil acuan Wahhabisme.

Saudi kita tahu adalah pembuli yang bukan sahaja mengganyang rakyat Yaman dan Bahrain bahkan tergamak menutup jalan untuk bekalan makanan bagi 2.5 juta rakyat Qatar yang mempunyai fahaman keagamaan yang sama.

Saintis politik terkenal dari Universiti Sains Malaysia, Ahmad Fauzi Abdul Hamid dalam satu kertas bertajuk “ISIS in Southeast Asia: Internalized Wahhabism is a Major Factor” menyatakan kerja pihak berkuasa melawan terorisme tidak mudah apabila pemerintah juga lunak kepada kerajaan Saudi yang berkongsi akar ideologi yang sama dengan ISIS iaitu Wahhabisme.

Hal ini bukan sahaja dideritai Malaysia, tetapi juga Britain hari ini.

Hubungan baik dan intim Britain dan Arab Saudi bukanlah satu rahsia. Dagangan senjata Britain ke negara monarki penuh itu bukan sedikit jumlah totalnya. Oleh kerana hubungan baik itu, semua jadi serba salah untuk bersuara sehingga “Muslim Homosektual” terus mengambil kesempatan menternak diri dengan cepat sekali.

Seperti Khuram, kita tidak dapat menghidu Muslim Homosektual dari segi zahir.

Hanya satu yang akan dapat kita kesani pada mereka, sebagai Muslim Homosektual mereka hanya klimaks dengan sekte sejenis dengan mereka, mereka hanya beriman kepada satu cara fikir yang menurut mereka benar.

Apa sahaja, atau siapa pun di luar budaya, gagasan, idea, dan jurus fikir lingkungan pengalaman mereka akan dianggap batil.

Itulah yang menjadikan mereka musuh kepada Islam Muhammadi, dan negara kita yang dicintai.

* Faisal Tehrani atau Dr Mohd Faizal Musa ialah kolumnis FMT, dan merupakan felo penyelidik di Institut Alam dan Tamadun, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.