Minggu ini, Dewan Rakyat bersidang di tempat sebenarnya setelah blok utama Bangunan Parlimen itu siap diperbaharui dan diubahsuai.
Sejak 2012, Parlimen bersidang di dewan-dewan sementara di sebuah blok yang dibina khas di belakang bangunan itu berharga RM24 juta.
Keseluruhan projek pembaharuan dan pengubahsuaian Bangunan Parlimen dijangka siap pada 2020, menelan belanja RM600 juta.
Pada 2010, Kabinet menimbangkan cadangan sebuah bangunan Parlimen baharu dibina di Putrajaya dengan harga RM800 juta. Bangunan Parlimen lama dicadangkan hendak dijadikan sebagai bangunan warisan. Terdapat bantahan dan kerajaan membuat keputusan supaya ia diperbaiki dan diubahsuai.
Apabila terdapat hasrat hendak membina bangunan Parlimen baharu, nampak benar negara ini tidak begitu menghargai bangunan warisan yang dibina atas tujuan mewujudkan identiti nasional.
Bangunan Parlimen yang dicadangkan oleh Perdana Menteri Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra pada 1959 adalah antara bangunan ikonik bagi identiti sebuah negara baharu. Sebagai negara baharu yang ditubuhkan pada 1957, Tanah Melayu, atau dalam bahasa Inggerisnya, Malaya memerlukan pengenalan dan pengukuhan identiti. Maka seni bina adalah satu dimensi bagi menampilkan identiti negara, dan sekaligus ia menjadi bangunan warisan.
Selain daripada Bangunan Parlimen, bangunan ikonik yang dibina oleh Tunku sebagai sebahagian daripada identiti negara ialah Stadium Merdeka, Stadium Negara, Muzium Negara, Tugu Negara dan Masjid Negara. Sementara bangunan warisan lama yang diubah suai untuk dijadikan sebahagian daripada identiti negara ialah Istana Negara.
Tujuh bangunan warisan inilah yang dianggap sebagai ikonik bagi identiti negara Malaysia.
Stadium Merdeka

Di antara bangunan itu, Stadium Merdeka adalah paling utama. Ini kerana, di situlah diisytiharkan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu atau Federation of Malaya pada 1957.
Tunku mencadangkan pembinaannya pada 1956, iaitu sebelum Merdeka lagi. Maka dengan itu, Stadium Merdeka adalah tempat bermulanya negara yang kini dikenali sebagai Malaysia. Dengan kemerdekaan Tanah Melayu, maka ia menjadi asas kepada Malaysia yang ditubuhkan pada 1963.
Namun pada tahun 1990-an, terdapat cadangan supaya Stadium Merdeka dirobohkan dan di atasnya dibina kompleks bangunan moden bernilai RM1 bilion. Banyak bantahan dikemukakan dan akhirnya rancangan itu dibatalkan.
Pada 2003, Stadium Merdeka diisytiharkan bangunan warisan. Kerja pemulihan dilakukan supaya rekabentuk asal ketika perisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu dapat dikekalkan.
Istana Negara

Selepas Stadium Merdeka, bangunan ikonik identiti nasional adalah Istana Negara kerana di situ merupakan Yang di-Pertuan Agong, iaitu ketua negara Persekutuan Tanah Melayu. Bangunan lama yang dibina pada 1928 itu dijadikan Istana Negara.
Namun, sifat bangunan itu sebagai Istana Negara tidak dapat dikekalkan kerana pada 2013, Istana Negara baharu dibina. Sementara bangunan ikonik itu dijadikan Muzium Diraja.
Sedangkan sebelum itu, bahan-bahan bersejarah mengenai raja-raja dihimpun dan dipamerkan di Muzium Negara.
Muzium Negara, Tugu Negara

Bangunan Muzium Negara menyatukan semua bahan mengenai negara ini, sama ada berbentuk diraja atau rakyat. Institusi Muzium Negara menyatukan warisan raja dan rakyat dalam satu bangunan.
Bangunan Muzium Negara dicadangkan pembinaannya pada 1959 dan siap dibina pada 31 Ogos 1963, iaitu 16 hari sebelum Malaysia ditubuhkan. Muzium Negara adalah bangunan ikonik identiti negara ketiga penting selepas Stadium Negara dan Istana Negara.
Ini kerana di dalamnya terkandung khazanah yang merupakan bahan sejarah untuk menunjukkan asas kepada pembentukan Malaya, dan kemudiannya Malaysia.
Bangunan ikonik identiti negara terpenting selanjutnya ialah Tugu Negara atau nama penuhnya Tugu Peringatan Negara yang dicadangkan oleh Tunku pada 1960, selepas berakhirnya Darurat dan siap pembinaanya pada tahun 1966.
Kepentingannya terletak pada peringatan kepada tentera-tentera yang terkorban semasa Darurat. Ini kerana Darurat membentuk negara Tanah Melayu atau Malaya ini.
Darurat diisytiharkan pada 1948. Pada tahun itu, Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan. Maka Malaya sebagai entiti politik ditubuhkan. Pada 1955, pilihan raya umum diadakan dan pentadbiran sendiri dilaksanakan dengan Tunku sebagai Ketua Menteri Malaya.
Selepas itu, kemerdekaan diisytiharkan pada 1957 dan Darurat tamat pada 1960. Sebab itulah Tugu Negara ini penting bagi identiti negara.
Parlimen di West Folly Hill

Selepas negara ini terbentuk, barulah Parlimen dapat bersidang dan ia dilakukan di Bangunan Dewan Tuanku Abdul Rahman sehinggalah Bangunan Parlimen didirikan pada 1963. Bangunan Parlimen ini didirikan di atas West Folly Hill, Lake Gardens.
Nama West Folly Hill kini sudah hilang. Sementara nama Lake Gardens kemudian bertukar menjadi Kebun Bunga sebelum jadi Taman Bunga dan Taman Tasik Perdana.
Kini taman itu sudah menjadi kecil dengan nama Taman Botani Perdana. Nama asal Tasik Perdana ialah Sydney Lake, mengambil sempena Lady Sydney, isteri kepada Frank Swettenham, Residen Jeneral pertama Negeri-negeri Melayu Bersekutu (FMS).
Dua minggu lepas, saya menerima gambar lama sekitar Taman Tasik Perdana yang menunjukkan 2 bangunan penting negara iaitu Muzium Negara dan Parlimen. Bangunan ini kelihatan dari jauh. Pemandangan udara itu kelihatan penuh kehijauan dengan pokok dan rumput yang meliputi kawasan taman berbukit-bukau.
Dalam gambar itu, dipercayai diambil pada 1963, lebuh raya yang menghubungi Jalan Travers dengan Jalan Damansara belum ada. Malah Jalan Damansara sendiri juga belum dibina.
Kawasan Lake Gardens itu adalah bersejarah bukan saja ia mempunyai kesan Malaya dijajah British, tetapi juga semasa negara ini baru dibentuk oleh Tunku. Selain Parlimen, bangunan warisan bersejarah ikonik dan beridentiti nasional yang terletak di situ ialah Tugu Negara, Muzium Negara dan Masjid Negara. Pemuliharaan untuk kawasan itu amat penting bagi identiti negara. Seluruh kawasan ini adalah bertaraf warisan.
Sementara Stadium Merdeka, Stadium Negara dan Istana Negara (lama) terletak di Petaling Hills, asalnya satu kawasan bukit yang kini terpisah dua oleh jalan raya.
Sebab itulah kini Stadium Merdeka dan Istana Negara itu terletak di kawasan yang dianggap sudah berlainan. Di Bukit Petaling ini, selain daripada Stadium Merdeka dan Stadium Negara, terdapat satu taman kecil berbatu yang dinamakan Taman Tunku Abdul Rahman, iaitu bersebelahan dengan Chin Woo Pavillion.
Dari Lake Gardens ke Petaling Hills
Apa yang berlaku sejak 1957, kawasan warisan ini tidak terpelihara secara bersejarah. Banyak pembangunan baharu berlaku hingga Lake Gardens dan Petaling Hills ini sudah tidak dapat menyimpan identiti negara ketika ia mula terbentuk.
Kawasan warisan sudah tertelan dan ia hanya jadi kenangan bersejarah yang tidak meninggalkan kesan.
Ketika mula mencapai kemerdekaan, terdapat usaha untuk menampilkan identiti negara yang terputus daripada sejarah penjajah. Kesan penjajah dihilangkan. Namun apabila sudah ada identiti negara, terdapat usaha lain untuk menampilkan jati diri yang berbeza.
Maka selepas kemerdekaan, Tunku membina bangunan untuk menunjukkan identiti Malaysia. Tetapi era kemerdekaan ini boleh dibahagi kepada 2 yang mana terdapat usaha untuk mengubah identiti negara terdahulu.
Era pertama ialah pada masa Tunku, Tun Razak Hussein dan Tun Hussein Onn. Sementara era kedua ialah pada masa Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak.
Sepatutnya identiti negara termasuk dalam bentuk bangunan warisan ini terus terpelihara sejak Persekutuan Tanah Melayu dan Malaysia ditubuhkan. Sebarang penambahan identiti yang dilakukan tidak menghilangkan ikon terdahulu.
* Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Kumpulan Utusan.