Dato Onn Jaafar: Jiwa yang hidup untuk Rakyat

Dato Onn Jaafar: Jiwa yang hidup untuk Rakyat

Mulutnya sendiri mengungkap kata-kata hikmat iaitu ‘Raja itu rakyat, rakyat itu raja’ kerana ia sebati dengan jiwanya yang hidup untuk rakyat.

Dato-Onn-Jaafar

Oleh Mohammad Fakhrurrazi Rashid

Hari Kebangsaan masa yang bermakna bagi rakyat Malaysia mengamati bait-bait sejarah perjuangan dalam menggapai erti kebebasan daripada kolonial Inggeris. Sengketa dan pengorbanan pemimpin negara sentiasa menjadi liputan media massa dan rakyat Malaysia dalam menghayati hari yang bermakna ini.

Slogan ‘Merdeka’ yang sinonim dengan simbol kebebasan merupakan fitrah dan kehendak manusia. Bermulanya perkembangan zaman itu kebanyakannya berkisar tentang kehendak untuk membebaskan diri daripada cengkaman kesusahan untuk menuju maghfirah yang lebih bebas dan sejahtera.

Dalam usaha mengapai kemerdekaan, kita dapat lihat betapa pentingnya peranan pemimpin dalam membebaskan rakyatnya. Nabi Muhammad S.A.W memainkan peranan penting dalam membebaskan bangsa Arab dengan langkah memerdekakan hamba, pemikiran, sasiah bangsa Arab dan sistem ekonomi mereka daripada kongkongan amalan jahiliyah. Begitu juga pemimpin yang lain seperti Mahatma Gandhi, Sukarno, dan Martin Luther King yang memperjuangkan kemerdekaan dan kebebasan untuk kesejahteraan rakyat.

Bagitu juga di Tanah Melayu waktu itu. Pemimpin memulakan gerakan kesedaran untuk bersatu dan merdeka. Cabarannya begitu hebat kerana kesedaran rakyat masa itu masih rendah dan tidak yakin akan anjakan kemerdekaan tersebut. Baik fahaman kiri dan kanan, mereka menyumbang kepada gerakan kemerdekaan tanah air. Tidak sekadar erti bebas daripada British, tetapi lebih dari itu,‘membebaskan’ rakyatnya daripada kemelaratan hidup selama ini.

Dato Onn Jaafar, seorang pemimpin negara yang sering dilupakan dalam membincangkan ruang lingkup sejarah kemerdekaan tanah air. Pelbagai usaha yang dilakukan bagi menyatukan rakyat Tanah Melayu ketika itu, khususnya umat Melayu. Tiada siapa sangka bagaimana rakyat boleh berhimpun dan bersatu menentang hasrat British menubuhkan Malayan Union. Kemampuannya harus menjadi teladan pemimpin Malaysia dalam erti menuntut sebuah negara yang bebas dan berprinsip.

Pemimpin lantang dan berani

Bermulanya usaha Dato Onn Jaafar dalam menjaga kebajikan orang Melayu tidak seharusnya bermula dengan penubuhan United Malay National Organization (UMNO) pada tahun 1946. Beliau merupakan pemimpin Melayu Johor yang lantang menyuarakan pandangan dan memegang penuh prinsip kebebasan bersuara dalam mengkritik sesuatu dasar dan pemerintahan.

Dato Onn Jaafar secara lantang mengkritik Sultan Ibrahim mengenai isu pemilikan harta secara terbuka ketika bekerja di Pejabat Penasihat Johor. Sikap ini tentunya dipandang sebelah mata oleh orang Melayu kerana mencabar kuasa Sultan Johor pada waktu itu. Namun, kebenaran bagi Onn Jaafar lebih utama daripada berselindung daripada pengetahuan dan telinga rakyat.

Tidak semua pemimpin Melayu waktu itu memiliki kemampuan untuk mengkritik pemerintah secara vokal demi kepentingan rakyat. Dato Onn Jaafar merupakan contoh terbaik pemimpin tempatan yang menggunakan kebebasan bersuara dan kedudukan bagi rakyat jelata. Bukan seperti pemimpin sekarang, menyembunyikan batil demi mempertahankan ‘kerusi’ dan kuat mengampu.

Sembilan tahun dalam pembuangan negeri bukanlah satu masa yang mudah. Kelantangannya mengkritik Sultan Ibrahim kerana menyiarkan salah guna kuasa Sultan Ibrahim menggunakan JMF untuk membina tempat lumba kuda dan membuka ladang di Pagoh dan Pasir Pelangi menyebabkan beliau dibenci dan dibuang negeri ke Singapura.

Mereka yang berbeza pendapat tentunya melihat pembuangan negeri itu hanya perkara biasa kerana terdapat pemimpin-pemimpin juga dihukum lebih teruk dari itu. Tetapi, sedar atau tidak, Dato Onn Jaafar menerima nasibnya atas tanggungjawab menentang pemerintah yang menggunakan rakyat. Beliau tidak keluh-kesah semasa pembuangan, tetapi menerima risiko tersebut dengan berlapang dada.

Penyatuan dan perjuangan untuk Merdeka

Perlu diperjelaskan bahawa laungan ‘Merdeka’ tidak dimulakan oleh pemimpin UMNO, tetapi ia merupakan impian setiap gerakan rakyat ketika itu. Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) lebih awal mencetuskan kesedaran untuk ‘Merdeka’ hasil daripada kemerdekaan Indonesia di bawah Sukarno.

Namun, Dato Onn juga berjaya menggerakkan kesedaran menentang penjajah dalam kalangan orang Melayu pada waktu mereka berpecah mengikut negeri dan tidak membayangkan bahawa mereka mampu bersatu demi melawan Malayan Union. Demonstrasi secara besar-besaran menentang Malayan Union merupakan usaha bersungguh-sungguh Dato Onn Jaafar mempertahankan kedaulatan perlembagaan Johor dan nasib Melayu ketika itu. Hasil keringat tenaga ini juga, ramai orang Melayu mula mempunyai kesedaran untuk merdeka.

Dato Onn Jaafar juga menghadapi pelbagai cabaran untuk menuju kemerdekaan. Penyatuan orang Melayu bukanlah usaha terakhir dalam memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu. Beliau juga berpendapat penyatuan rakyat Tanah Melayu berbilang etnik lebih utama sebelum mencapai kemerdekaan. Atas dasar itu, beliau mencadangkan agar keahlian UMNO untuk orang bukan Melayu dibuka dalam mencapai kesepakatan rakyat Tanah Melayu menuju kemerdekaan. Oleh kerana pandangannya, maka ramai pemimpin Melayu UMNO dan ahlinya memperlekehkan usahanya mengapai kemerdekaan.

Terus-menerus Dato Onn Jaafar dituduh pembelot Melayu kerana mendahului kepentingan orang bukan Melayu dan bertentangan dengan UMNO. Mungkin ini budaya UMNO, merendahkan pemimpin yang berbeza pendapat tanpa usul periksa.

Semasa beliau berada dalam Jawatankuasa Perundingan Kaum (CLC), Pejabat Tanah Jajahan British kurang senang dengan kelantangan Dato Onn Jaafar memperjuangkan nasib orang Melayu. Beliau menimbulkan kemarahan Pejabat Tanah Jajahan British kerana menuntut 10 juta pound sterling bagi membantu orang Melayu menceburi bidang perniagaan. Tuntutan ini berdasarkan kedudukan sosio-ekonomi Melayu yang jauh ketinggalan dan dhaif. Bukti ini juga menafikan hujah Dato Onn Jaafar tidak memperjuangkan hak Melayu.

Malcolm McDonald memperakui bahawa Dato Onn Jaafar sering hilang sabar apabila pihak kolonial gagal memahami kesamarataan yang diperlukan oleh penduduk Tanah Melayu. Tambahan pula, Dato Onn Jaafar lantang memperjuangkan kemasukan lebih ramai orang bukan Melayu dalam Perkhidmatan Awam Johor.

Jiwa yang hidup

Suara lantang Dato Onn Jaafar tidak terhenti selepas keluar daripada UMNO pada Ogos 1951. Statusnya sebagai pemimpin Melayu yang dihormati terus lebur kerana pandangan yang jauh dalam menolak politik perkauman semasa beliau menjadi Yang Dipertua atau Presiden UMNO. Sungguhpun begitu, semangatnya untuk memperjuangkan rakyat luar daripada kerangka UMNO bukanlah masalah baginya.

Beliau terus-menerus memperjuangkan nasib rakyat Tanah Melayu ketika menjadi Ketua Pembangkang pertama di Parlimen pada tahun 1959. Sebagai Ahli Parlimen Kuala Terengganu Selatan, beliau lantang mengkritik dasar parti Perikatan yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman sebagai Ketua Menteri. Perjuangan untuk rakyat tidak kira kawan atau lawan, kerana setiap usaha itu baginya untuk kesejahteraan rakyat.

Jiwa Dato Onn Jaafar sentiasa hidup untuk negara. Lihat sahaja pemikiran beliau bahawa perpaduan rakyat tidak seharusnya berdasarkan modal kompromi pecah-perintah parti Perikatan hingga kini masih rasional. Beliau sedar penyatuan rakyat perlu bermula dengan kesedaran rakyat mengiktiraf antara satu dan yang lain tanpa mengambil kira latar belakang yang berbeza. Semoga rohnya dicucri rahmat.

Kekuatannya amat signifikan dalam mencorak perjalanan kemerdekaan negara. Beliau merupakan satu-satunya Presiden UMNO yang tidak menjadi Perdana Menteri. Satu-satunya Presiden UMNO dibuang atas ideanya membuka keahlian kepada orang bukan Melayu. Dia juga satu-satunya individu yang mampu mengumpulkan kekuatan umat Melayu ketika kesedaran tentang melawan penjajahan kurang difahami oleh rakyat. Tidak hairan sekiranya mulutnya sendiri mengungkap kata-kata hikmat iaitu ‘Raja itu rakyat, rakyat itu raja’ kerana ia sebati dengan jiwanya yang hidup untuk rakyat.

Namun, pemimpin Melayu kini tidak sedikit pun mencontohi semangat Dato Onn Jaafar dalam mempertahankan rakyat. Mereka lebih mempertahankan sosok daripada perjuangan. Memilih untuk mempergunakan kesempatan yang diberikan oleh rakyat semata-mata untuk kemewahan. Sikap pemimpin sekarang tidak mempunyai keinginan melihat rakyat ‘Merdeka’ daripada kesusahan.

Oleh Mohammad Fakhrurrazi Rashid

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.