Oleh Dr Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar
Sambutan hari kebangsaan kini makin canggih dan ditokok tambah dengan pelbagai kos penganjuran untuk perbarisan serta acara ucapan propaganda kosong di bangunan Matic ataupun dewan secanggih KL Convention Centre sejak tampuk pemerintahan dikuasai kerajaan persekutuan yang ada.
Entah siapa yang menjadi penulis ucapan Dato Bendahara untuk malam sebelum pagi hari sambutan kemerdekaan tetapi setakat ini inti patinya hambar selain yang jelas kecuali belanja kelihatannya agak besar.
Jika dulu rakyat bersama pemimpin berkumpul di padang kelab Selangor yang kini dikenali sebagai Dataran Merdeka untuk menyambut ketibaan Hari Kebangsaan namun kini pemimpin mengasingkan diri daripada rakyat dengan hadir dalam dewan berhawa dingin untuk mendengar ucapan kosong ketua Kabinet.
Perlukah acara sambutan berskala besar setiap tahun sama ada di peringkat kebangsaan mahupun negeri. Berapa agaknya belanja dihabiskan untuk acara sambutan saban tahun. Apakah agaknya kepentingan mengadakan upacara memilih pakaian untuk dipakai pada Hari Kebangsaan oleh Dato Bendahara?
Pada saat belanjawan negara yang masih defisit dan hutang negara mencecah hampir RM1 trillion dan golongan asnaf yang layak menerima zakat bukan sedikit jumlahnya, apa kepentingan mengadakan sambutan Hari Kebangsaan yang gah dan boleh disimpulkan sebagai mengada-ngada.
Justeru jawatankuasa sambutan Hari Kebangsaan perlu belajar melaksanakan dasar berbelanja dengan bijak dan tahu di mana dana lebih patut diutamakan untuk dibelanjakan. Berapa ramai golongan asnaf fakir miskin ataupun golongan pekerja kolar biru berpendapatan rendah tinggal di flat bertaraf sarang burung merpati lama di sekitar ibu kota yang kini bernilai lebih RM80,000 ringgit setiap unit.
Mereka tidak tahu apa erti merdeka kerana dalam pengisian kemerdekaan perbelanjaan kerajaan yang memerintah lebih pada membazir tak kena tempat. Apa agaknya keperluan keretapi laju bernilai lebih RM40 bilion ke negara jiran sedangkan tiket penerbangan tambang murah cuma tak sampai RM100 ataupun bas yang menyediakan kemudahan ala penerbangan tiketnya tak sampai RM80 ke Singapura.
Banyak cara acara sambutan Hari Kebangsaan boleh dibuat dengan kadar belanja minima namun berkesan pada rakyat. Umpamanya tayangan berulang kali percuma di TV dan panggung wayang serta padang lokasi rakyat berkumpul serta murid sekolah serta mahasiswa bagi filem seperti Bukit Kepong versi asal tanpa diubah suai dan filem asal Sarjan Hasan.
Begitu juga filem asal berwarna Hang Tuah lakonan utama allahyarham Tan Sri P Ramlee serta filem Hang Jebat lakonan utama allahyarham seniman Nordin Ahmad.
Pasukan keselamatan negara memadailah menyambut Hari Kebangsaan menerusi perbarisan bersama ketua tertinggi mereka di lokasi utama masing-masing. Manakala seperti pada era 1970-an murid sekolah dan mahasiswa diberikan tiket wayang percuma untuk menonton salah satu filem disebutkan tadi secara percuma di panggung wayang dengan diwajibkan kehadiran mereka.
Panggung wayang pula dimestikan tidak mengenakan bayaran kepada kerajaan setahun sekali sempena Hari Kebangsaan untuk beberapa tayangan setiap panggung.
Malam sebelum hari merdeka boleh juga disambut dengan kuliah maghrib di masjid mengenai isu kemerdekaan dan diakhiri lepas solat isyak berjemaah dengan jamuan nasi yang belanjanya boleh digunakan daripada sumber masjid sendiri ataupun derma ahli qariah. Begitu juga dengan penganut agama lain di gereja, kuil, tokong mengikut agama masing-masing.
Program makan golongan elit sempena Hari Kebangsaan jika hendak dianjurkan patut diambil belanjanya menerusi potongan gaji golongan berkenaan masing-masing.
Tiada apa yang kita perlu bangga dengan format membazir acara sambutan seperti sekarang. Sebenarnya kita tidak perlu membocorkan rahsia alat keselamatan negara yang ada dengan mempamerkan setiap kali tiba perbarisan hari kemerdekaan.
Entah berapa ramai peserta dan rakyat yang pengsan setiap kali acara sambutan kemerdekaan. Malah entah berapa ramai peserta perbarisan terlepas solat subuh walaupun tiba di lokasi seperti Masjid Negara sebelum subuh namun gagal bersolat kerana sibuk bersiap dan terlampau teruja mengambil bahagian dalam perbarisan yang bermula cuma selepas 7 pagi.
Namun atas sebab yang tidak diketahui masa mula acara sambutan saban tahun semakin dilewatkan sekalipun masa para peserta tiba ke lokasi tetap sama seawal sebelum subuh.
Sudah tiba masanya ahli Parlimen bertanyakan kos sambutan hari merdeka menggunakan rakaman siaran langsung di kaca TV dan meminta kos penuh untuk disemak ketika sidang Dewan Rakyat yang akan datang.
Ahli Parlimen patut meminta data para penerima BRIM yang begitu ramai selain asnaf termasuk fakir miskin serta penduduk flat kos rendah semasa Dewan Rakyat bersidang nanti untuk dibandingkan dengan perbelanjaan keseluruhan acara sambutan hari kebangsaan?
Apa waras untuk kita mengisi sambutan merdeka dengan pesta perarakan yang membazir ataupun mengisi erti merdeka dengan menggunakan dana berkenaan untuk menyelesaikan masalah asas kos sara hidup rakyat.
Entah berapa ramai yang mahu mendengar ucapan mamanda Dato Bendahara ketika disiarkan di TV ataupun ketika menghadiri perbarisan. Jangan terkejut sama ada TV ditutup atau siaran ditukar atau digantikan dengan DVD .
Dengan keadaan ekonomi negara yang semakin teruk sekalipun propaganda Dato Bendahara mengatakan sebaliknya, tidaklah perlu diadakan acara sambutan sama ada sempena Hari Kebangsaan atau hari apa saja kerana jika dibiarkan tidak mustahil akan diadakan sambutan hari bomohlah, hari beg tanganlah, hari barang kemaslah, hari membeli belah dan selepas itu di masukkan pula dengan selambanya dalam Malaysia Books of Record.
Cubalah kita cari di Youtube ada persembahan dikir barat, ‘apa erti merdeka’. Cuba kita dalami apa yang cuba dikatakan menerusi dikir barat tersebut yang diketuai allahyarham Cikgu Naim bersama seorang lagi tukang karut iaitu Cikgu Sulizi. Isu yang diketengahkan dalam persembahan tersebut fakta dan hakikat yang patut disiar stesen TV yang bukan mementingkan propaganda semata mata.
Pada zaman ini watak Buang dalam filem Sarjan Hasan muncul kembali, watak petualang pengampu orang kaya seperti dalam filem Penarek Becha muncul kembali serta watak Patih Kama Wijaya seperti dalam filem Hang Tuah begitu mudah kita lihat kerana habuan menanti hasil rompakan berbilion wang negara.
Semua watak jahat ini tidak mempedulikan apa saja yang mereka katakan mungkin kelihatan bodoh asalkan dapat memperkayakan diri sendiri untuk bersuka ria tanpa batasan. Kita kini di tahap menyaksikan pertambahan samseng bodoh otak kosong seperti Sharif Dol Kampong Dusun atas mungkin semangat kesukanan yang tinggi untuk turut sama merasai tempias kehilangan dana berbilion itu.
Justeru apakah kita mahu berterusan melihat rakyat kita mabuk di malam hari merdeka yang berakhir dengan saling berbunuhan selepas pusat hiburan ditutup ataupun dengan para mat rempit superman yang terus terbang bersama nyawa kerana berlumba melawan arus di lebuh raya atau dengan sengaja mencabar agar mereka dilanggar demi menunjukkan kehebatan serta kepakaran ketika cuba melarikan diri dengan memecut motor murahan mereka yang diubah suai dengan selaju-lajunya.
Duta asing di negara kita tidak hairan pun jika tiada sambutan perarakan Hari Kebangsaan lebih-lebih lagi 90% negara dunia asyik menyiarkan pelbagai berita negatif tentang penggubahan wang haram dalam sistem perbankan di luar negara di pelbagai negara yang jelas melanggar undang-undang negara berkaitan.
Mudah cerita, jika seorang rakyat Bangladesh yang bekerja di negara kita didapati bersalah oleh mahkamah negara kita kerana membunuh rakyat kita, maka bila dia dihukum gantung sampai mati sudah tentu kerajaan Bangladesh akan menghormati undang-undang negara kita dan mereka tidak akan menggunakan alasan bodoh seperti kita cuba campur tangan dalam hal ehwal negara mereka.
Jangan terperanjat segolongan mereka yang sebodoh seperti analogi tadi berjaya menjadi menteri Kabinet.
Jadi bila rakyat ataupun pemimpin negara kita melakukan jenayah kewangan penggubahan wang haram menggunakan sistem perbankan di Amerika, Hong Kong, Switzerland, Perancis, Jerman, Singapura, UAE, Australia dan sebagainya tentulah logik hukuman mengikut undang-undang negara masing-masing dilaksanakan kerana tiada langsung campur tangan asing malah negara berkenaan boleh memberi amaran keras kepada negara kita jika cuba memfitnah dengan menuduh mereka campur tangan dalam hal ehwal negara kita.
Selamat Hari Kebangsaan 2016, sehati sejiwa, lagu wawasan 2020 masih juga punyai semangat patriotisme yang tinggi dan sedap didengar hingga ke hari ini. Wallahualam.
Dr Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar ialah peguam di Kuala Lumpur.
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.