
Ia berbeza dengan penulisan mengenai fesyen, kecantikan dan gaya hidup. Hampir sesiapa sahaja boleh dijadikan cerita.
Tetapi dalam hal berita am dan ekonomi, bila mahu menulis berita tentang politik kena temuramah orang yang benar-benar pakar, sama juga dengan berita ekonomi.
Pernah sekali saya diminta membuat ulasan kesan penetapan harga runcit petrol dan diesel mengikut kaedah pengapungan.
“Saya nak kamu dapatkan komen presiden semua persatuan pengusaha stasen petrol jenama masing-masing. Kemudian dapatkan komen pakar ekonomi yang berurusan dengan topik berkenaan. Kalau interview persatuan pengguna boleh tapi pastikan mereka ada pengetahuan ekonomi,” arah bekas bos saya.
Maknanya berita saya lebih kukuh jika saya bertanya pakar ekonomi yang terkenal atau mahir dan mempunyai pengetahuan mendalam tentang isu yang sedang saya kupas.
Pendek kata, saya tak boleh main-main.
Semalam, Bernama melaporkan berita “Tindakan DoJ ke atas 1MDB cacat”, mencabar Peguam Negara Amerika Syarikat Loretta Lynch dalam tuduhan saman sivil Jabatan Kehakiman AS (DoJ) terhadap 1MDB dan isu berkaitan dengannya.
Dalam laporan itu, seorang bernama Quintin Rozario menjadi sandaran, menuduh Lynch “keterlaluan dan melanggar keadilan asasi”.
Lynch didakwa melampaui batas kuasanya dengan merumuskan satu kesalahan atau beberapa kesalahan dilakukan oleh Malaysia atau ejennya.
DoJ dituduh tidak memberi bukti kukuh atau keputusan mahkamah yang sah yang boleh menyokong dakwaannya.
Persoalannya, siapa Quintin Rozario?
Apakah pula kelayakan dan pengiktirafan Quintin Rozario?
Saya juga seperti anda, seorang rakyat biasa yang sentiasa mengemas kini telefon bimbit untuk terus peka dengan perkembangan semasa, termasuk skandal 1MDB yang semakin rancak.
Apabila nama Quintin Rozario tiba-tiba dipetik Bernama, saya pun tergerak mencari sedikit sebanyak latar belakang mengenai beliau. Katanya beliau adalah pakar legitimasi dari Brisbane, Australia, namun carian di Google, MSN dan Yahoo yang menjadi sumber rujukan utama masa kini ternyata mengecewakan.
Selain berita semalam mengaitkan DoJ dan 1MDB, nama beliau tidak tertera dalam mana-mana laman berita utama.
Saya tidak nampak apa-apa yang luar biasa mengenai Quintin Rozario kecuali sedikit latar belakang peribadi mengenai dirinya di Linkedln, lingkaran pekerjaan yang menghubungkan jutaan orang.
Yang lain saya temui mengenainya adalah penulisannya dalam beberapa forum, blog tetapi sangat sedikit.
Begitu juga, carian dalam laman Australia juga hampa.
Akhirnya, ini sahaja maklumat yang saya peroleh mengenai seorang bernama Quintin Rozario. Harap orangnya sama, kalau tak hiraukan sahaja maklumat di bawah.
Quintin Rozario kini dipercayai sedang berkhidmat sebagai Pengarah di SMTCE, sebuah firma perdagangan bursa kewangan urus niaga aset yang disekuritikan melibatkan sukan, gadai janji, dan hak cipta.
Sebelum itu, beliau berkhidmat sebagai peguam cara prinsipal di Delta Law selama sembilan tahun mengurus tindakan undang-undang kompleks komersial, advokasi, pengantaraan, merangka nasihat dan rayuan, nasihat komersil dan kewangan, transaksi perniagaan, penasihat strategik organisasi kerajaan dan perancang media.
Beliau juga mempunyai pengalaman lebih 20 tahun sebagai penerbit teknikal di SBS Radio.
Menriknya mengenai peguam bernama Quintin Rozario, beliau rupanya mempunyai hubungkait yang rapat dengan Malaysia!
Mengakui dirinya sebagai warga Malaysia sebelum ke Australia dalam beberapa artikel dan surat yang ditulis di beberapa laman web, termasuk kepada Majlis Peguam Negara, Quintin Rozario yang berpendidikan di Universiti Victoria Melbourne dalam bidang perundangan, LLB (Hons) dan Grad Dip Econs-M.Bus (Finance Accounting) adalah pelajar La Salle, Klang.
Mungkinkah, hubungan Quintin Rozario dan Malaysia menjadi ‘kelayakan utama’ beliau untuk mengulas tentang kenyataan Peguam Negara Amerika Syarikat, Loretta Lynch?
Sekarang kita tunggu siapa lagi yang akan keluarkan kenyataan lagi mengulas, mencabar atau menafikan laporan DoJ Amerika Syarikat.
Saya bukan akui laporan DoJ itu benar atau tidak boleh dipertikai, cuma mempersoal kreadibiliti sumber yang menjadi rujukan dalam mengulas isu ini.
Pautan: Tindakan DoJ ke atas 1MDB cacat