Kenapa ada rahsia dalam penarikan balik kereta di Malaysia?

Kenapa ada rahsia dalam penarikan balik kereta di Malaysia?

Masalah driveshaft kereta Ford Focus diketahui lebih awal dan penarikan balik di Australia dibuat tetapi Ford Asean berdiam diri sehinggalah berlaku insiden di Johor.

idris-ford-focus-1

Oleh S.M Mohamed Idris

Kami difahamkan model kereta Ford Focus mempunyai masalah driveshaft yang serius dan boleh menyebabkan ia patah “dalam keadaan pemanduan tertentu”.

Baru-baru ini dalam satu kes di Johor, bahagian driveshaft jatuh menyebabkan hujung driveshaft longgar dan tergantung menyebabkan calar yang panjang pada permukaan jalan. Nasib baik tiada seorang pun yang mengalami kecederaan.

Menurut paultan.org, laman sesawang Berita Automotif Malaysia, lebih 4,000 unit pre-facelift C 346 antara 21 Mac 2013 dan Januari 2014 ditarik balik di Australia bagi penggantian bahagian yang rosak. Menurut sumber sama, terdapat lebih 1,200 model/kumpulan kereta yang sama di Malaysia.

Kereta ini dipasang di Thailand dan menurut seorang pemilik kereta yang menghubungi kilangnya di Thailand, beliau diberitahu sebarang aduan mestilah dikemukakan kepada syarikat pengimport di Malaysia iaitu Sime Darby Auto Connexion Sdn Bhd.

Selepas kes kegagalan driveshaft di Johor, Bahagian Perkhidmatan Pelanggan Ford Asean dan pejabat APEM mengeluarkan pekeliling “Program Kepuasan Pelanggan R1413” kepada pemilik model/kumpulan kereta ini.

Masalah driveshaft ini sudah pun diketahui lebih awal dan penarikan balik sudah dibuat di Australia. Bagaimanapun, Ford Asean dan APEM memilih untuk berdiam diri sehinggalah insiden itu berlaku di Johor pada 28 Mei 2016 dan pekeliling itu kemudiannya dikeluarkan pada 6 Jun 2016.

Pemberitahuan itu dihantar melalui pos dan jika pemilik asal sudah menjual kereta itu, pemilik baharu itu mungkin tidak akan mendapat surat pekeliling itu.

Ford sebenarnya menarik balik kereta ini, tetapi kenapa ia dilakukan secara rahsia? Di negara lain, Ford perlu membuat pengumuman awam mengenai penarikan balik seperti itu.

Kami menggesa menteri perdagangan dalam negeri, koperasi dan kepenggunaan supaya menggunakan Seksyen 23 Akta Perlindungan Pengguna 1999 untuk mengisytiharkan kumpulan Ford Focus yang terjejas sebagai barangan yang tidak selamat bagi pengeluar/pembekal untuk memastikan setiap unit diperbaiki sebelum berlaku sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa.

S.M Mohamed Idris ialah presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.