Oleh Ravinder Singh
Sekiranya tiada niat untuk berdiskriminasi terhadap pakaian sari oleh wanita India, mengapa arahan bertulis pada kad jemputan yang mengatakan “Bangsa Cina, India DLL – baju perayaan masing-masing kecuali sari” dengan begitu terang dan jelas? Mengapa juga membezakan antara bangsa Melayu dan yang lain?
Mengapa tidak dinyatakan “Baju kebangsaan atau baju perayaan masing-masing” untuk semua?
Apakah orang bukan Melayu tidak boleh memakai pakaian kebangsaan? Mengapa perlu dibeza-bezakan antara rakyat Malaysia? Apabila perkara ini terbongkar, pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengambil langkah untuk menyalahkan orang bukan Melayu/Islam, kononnya mereka salah tafsir perkataan “kecuali sari” yang sebenarnya, menurut tafsiran MBI, bererti sari boleh dipakai! Hebat sungguh penjelasan MBI.
Janganlah memperbodohkan orang bukan Melayu/Islam.
Di mana maruah MBI yang sanggup memutar belit untuk mempertahankan sesuatu yang tidak boleh dipertahankan? Macam mana diputar-belit pun, perkataan “kecuali” tetap bererti dilarang atau tidak dibenarkan.
Sekiranya ikhlas tentang ‘kesilapan’ ini, dan benar-benar mahu bertaubat, MBI perlu memohon maaf dengan terus-terang.
Sekiranya MBI tidak rela untuk memohon maaf secara terbuka, maka tidak boleh tidak, kekesalan yang dilaungkan MBI terhadap perkara ini kelihatan berpura-pura saja.
Ravinder Singh ialah pembaca FMT.
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT
