Oleh Pergerakan Anti-Arak Murah Malaysia
Peraturan-Peraturan Makanan (Pindaan) 2016 berkenaan penjualan alkohol dan had umur penjualan alkohol telah diwartakan oleh Menteri Kesihatan pada 27 Mei 2016 yang lalu. Menurut Warta Kerajaan oleh Menteri Kesihatan, had umur untuk membeli apa-apa alkohol telah dinaikkan ke 21 tahun daripada 18 tahun. Dengan adanya peraturan ini, bermakna remaja di bawah umur 21 tahun tidak boleh membeli minuman beralkohol di kedai-kedai yang menjual alkohol. Walaubagaimanapun, adakah peraturan baru di bawah Akta Makanan 1983 ini akan dikuatkuasakan secara efektifnya oleh Kementerian Kesihatan?
Peraturan sedia ada mensyaratkan bahawa, alkohol tidak boleh dijual kepada mereka yang berumur di bawah 18 tahun. Tetapi, alkohol masih dijual kepada mereka yang bawah umur 18 tahun tanpa apa-apa halangan. Ada juga kes-kes di mana, pelajar sekolah membeli alkohol secara terbuka tanpa apa-apa sekatan. Adakah Kementerian Kesihatan pernah mengambil tindakan terhadap peniaga yang menjual arak kepada mereka yang di bawah umur 18 tahun sebelum ini? Jika tidak, apakah impak peraturan-peraturan baru apabila, penguatkuasaan sedia ada pun tidak dikuatkuasakan secara efektifnya?
Siapakah yang diberi kuasa oleh Menteri Kesihatan untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar peraturan-peraturan baru ini? Menurut Seksyen 3 Akta Makanan 1983, Menteri Kesihatan mempunyai kuasa untuk melantik seberapa banyak ‘Pegawai Diberi Kuasa’. Tetapi, adakah kesemua pegawai yang diberi kuasa pada masa sekarang menjalankan tugas mereka dengan sebaiknya dalam hal penjualan alkohol ini? Menteri Kesihatan harus melantik kesemua Pengerusi PBT di seluruh negara sebagai pegawai yang diberi kuasa menurut Akta Makanan 1983 kalau mahu penguatkuasaan yang efektif.
Pindaan kosmetik, tiada efektik
Menteri Kesihatan harus mengambil pendekatan lebih praktikal. Tanpa penguatkuasaan yang efektif, pindaan peraturan-peraturan baru ini adalah hanya pindaan kosmetik yang tidak dapat menyelesaikan masalah sebenar. Menteri Kesihatan seolah-olah tidak ada ‘political will’ untuk menyelesaikan masalah ‘alcohol abuse’ yang semakin serius ini.
Pergerakan Anti-Arak Murah sedang menjalankan kempen bagi meraih sokongan rakyat untuk menuntut Kerajaan Persekutuan memperkenalkan beberapa dasar baru dalam membendung gejala sosial yang berpunca daripada alkohol, terutamanya yang memberi kesan kepada golongan muda. 7 tuntutan yang kami ajukan kepada Kerajaan Persekutuan adalah seperti berikut :-
- Penjualan semua jenis arak (kecuali Bir) di bawah isi kandungan 750ml patut diharamkan;
- Harga minimum bagi penjualan semua jenis arak (kecuali Bir) harus ditetapkan pada RM30;
- Kerajaan harus menubuhkan pusat-pusat pemulihan penagihan arak di seluruh negara, sekurang-kurangnya satu (1) pusat pemulihan di setiap negeri;
- Syarat-syarat lesen arak di bawah Akta Eksais 1976, harus dipinda bagi menetapkan penjualan runcit semua jenis arak (kecuali Bir) harus bermula tidak awal daripada pukul 10 pagi dan harus dihenti tidak lewat daripada pukul 8 malam;
- Amaran bergambar kemudaratan kesihatan akibat pengambilan arak harus dipaparkan pada setiap botol arak;
- Satu akta baru untuk untuk mengawal pengambilan arak di tempat awam harus diluluskan oleh Parlimen dan pihak polis harus menguatkuasakan undang-undang berkenaan;
- PBT di seluruh negara harus diberi kuasa setaraf dengan Jabatan Kastam untuk mengambil tindakan terhadap kesalahan berkaitan penjualan runcit semua jenis arak (kecuali Bir) menurut Akta Eksais 1976.
Kami percaya, sudah tiba masanya Menteri Kesihatan mendengar kepada tuntutan pergerakan kami, yang sudah mengumpul 50,000 tandatangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, sebagai sokongan untuk tuntutan-tuntutan di atas. Masalah utama yang timbul daripada “alcohol abuse” adalah masalah kesihatan. Kebanyakkan rakyat Malaysia yang menagih arak mengalami penyakit “liver cirrhosis” dan meninggal dunia dalam usia yang muda. Kesan rantaiannya pula adalah pelbagai masalah sosial seperti kehilangan ketua keluarga, beban kepada ibu tunggal dan sebagainya. Sudah tiba masanya Menteri Kesihatan melihat kepada masalah ini secara serius dan mengambil tindakan efektif, bukannya tindakan kosmetik.
Kami amat berharap, Menteri Kesihatan akan mengambil inisiatif secara serius dalam hal melawan gejala arak murah, tanpa berselindung di sebalik pindaan peraturan kosmetik seperti ini.
David Marshel, Satees Muniandy dan Jason Raj merupakan ketua penyelaras, setiausaha pergerakan dan penyelaras program pergerakan anti-arak murah Malaysia.
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT
