Satees repot pihak berkuasa Brazil dakwaan dokumen ‘palsu’ FAM

Satees repot pihak berkuasa Brazil dakwaan dokumen ‘palsu’ FAM

Setiausaha Urimai berkata kementerian kehakiman negara Amerika Selatan itu sudah mengesahkan aduannya dan akan beri maklum balas pada akhir November.

Joao Vitor Brandao Figueiredo antara tujuh pemain warisan yang mencetuskan kontroversi pendaftaran mereka sebagai pemain warisan Harimau Malaya. (Gambar Malaysia NT)
PETALING JAYA:
Setiausaha Urimai Satees Muniandy mengemukakan repot kepada Kementerian Keadilan dan Keselamatan Awam Brazil berhubung dakwaan pemalsuan dokumen diserahkan kepada Fifa berkait seorang pemain dinaturalisasikan Harimau Malaya dari negara itu.

Dalam kenyataan, Satees berkata kementerian Brazil telah mengesahkan penerimaan aduannya dan akan memberi maklum balas selewat-lewatnya pada 28 Nov ini.

Katanya, beliau telah merujuk perkara itu kepada badan penguat kuasa undang-undang di Brazil, Argentina, Sepanyol, dan Belanda selepas polis Malaysia membuat kesimpulan tiada unsur jenayah untuk disiasat.

Salinan e-mel yang dihantar Satees menyeru pihak berkuasa Brazil menyiasat naturalisasi warganya, Joao Vitor Brandao Figueiredo, seorang daripada tujuh pemain warisan mewakili skud bola sepak kebangsaan, dalam kelayakan Piala Asia menentang Vietnam.

“Saya memohon perhatian segera dan kerjasama pihak anda menyiasat serta mendakwa kesalahan ini di bawah kerangka undang-undang negara anda,” katanya dalam e-mel yang dilihat FMT.

Satu dokumen digital berasingan daripada kementerian Brazil menunjukkan aduan Satees telah didaftarkan secara rasmi pada 29 Okt di bawah sistem ombudsman Fala.BR negara itu, dengan tarikh akhir maklum balas ditetapkan 28 Nov.

Awal bulan ini, Satees memfailkan repot polis terhadap pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung dakwaan pemalsuan dokumen untuk ketujuh-tujuh pemain warisan itu.

Awal bulan ini juga, Fifa menuduh FAM menyerahkan dokumen dipalsukan untuk menurunkan tujuh pemain dalam perlawanan kelayakan Piala Asia.

Siasatan Fifa mendapati dokumen palsu telah digunakan untuk mendakwa setiap pemain tersebut mempunyai datuk atau nenek dilahirkan di Malaysia, walaupun laporan menyatakan mereka sebenarnya dilahirkan di Sepanyol, Argentina, Brazil, dan Belanda.

FAM didenda 350,000 franc Switzerland (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain berkenaan didenda 2,000 franc Switzerland (kira-kira RM10,560), dan digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak. FAM telah merayu keputusan terbabit, dengan Fifa dijangka mengeluarkan keputusannya lewat hari ini.

Selain Figueirado, enam lagi pemain berkenaan ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Jon Irazabal Iraurgui, dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

Satees berkata, pihak berkuasa di Belanda juga telah mengesahkan penerimaan aduannya sebelum ini.

Katanya, beliau telah merujuk perkara itu kepada pelbagai pihak berkuasa antarabangsa kerana kecewa dengan cara polis mengendalikan isu itu.

“Saya tidak mempunyai sebarang agenda selain menegakkan keadilan dan memastikan mereka yang terlibat dalam pemalsuan dokumen bagi mendapatkan kewarganegaraan Malaysia secara menyeleweng dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.