Ditulis bersempena sambutan Hari Bumi 22 April.
Kira-kira tujuh tahun dahulu, Pulau Pinang menjadi negeri pertama yang membawa inisiatif larangan menggunakan beg plastik pada hujung minggu dan ia mendapat respon yang sangat menggalakkan.
Di negeri yang sama juga, Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi lokasi pertama di Malaysia yang menghalang penggunaan sterofom iaitu sejenis bekas yang diperbuat daripada polisterin.
Secara berperingkat amalan mesra alam menjadi ikutan negeri-negeri dan institusi-institusi lain.
Kini, negeri seperti Selangor, Perak dan Johor memilih untuk tidak menggunakan beg plastik pada hari tertentu.
Rata-rata memilih beg plastik memandangkan ia lebih rasional yang lebih praktikal.
Namun, masih banyak usaha murni mesra alam sepertinya yang sedang diambil. Rakyat dididik supaya melindungi Bumi daripada pencemaran. Tanam pokok di rumah, asingkan sisa sampah, jangan buat pembakaran terbuka.
Sebagai manusia kebanyakan dari kita mesra alam bukan kerana takutkan undang-undang sebaliknya kerana menghormati dan menghargai kelangsungan bumi ini untuk generasi akan datang.
Seorang rakan yang juga pembikin filem, Kubendran Mahadevan dalam Facebooknya baru-baru ini memuatnaik catatan mengulas Hari Tanpa Beg Plastik di kampung halamannya di Melaka.
Ini apa yang ditulis selepas dialih bahasa; “Beberapa minggu yang lepas saya membeli-belah di pasar raya di Melaka dan terkejut apabila tidak diberi beg plastik.
Saya terlupa bahawa Melaka mengamalkan konsep Bandar Hijau (pemanasan global) jadi, tiada beg plastik. Langkah yang baik.
“Tetapi sebaik saya keluar dari pasar raya itu, saya melihat pembangunan mega di sekeliling bangunan saya keluar itu. Unit banglo, kedai, dan banyak lagi. Bukan itu sahaja, beberapa projek besar terus mengambil tempat di seluruh Melaka. Ia juga mengejutkan saya.
Bagi saya, statusnya lebih daripada satu mesej tentang realiti penindasan pemeliharaan alam sekitar si pembuat polisi terhadap rakyat. Ia menimbulkan persoalan tentang keseimbangan yang cuba dicapai dengan hanya menekan sebelah pihak (rakyat) menjaga alam sedangkan si pembuat dasar pula bertindak sebaliknya.
Lihat sahaja di tengah-tengah kota metropolitan Kuala Lumpur, dengan pertambahan penduduk ekoran pembinaan rumah-rumah bertingkat, pertambahan kenderaan di jalan raya kerana ketamakan ahli perniagaan yang mahu membuka perniagaan dan pejabat di situ, pertambahan pusat beli-belah, pertambahan pembangunan yang sehingga kini tidak pernah senyap, kemudian bagi menangganinya kita meletakkan syarat kepada pengguna supaya tidak menggunakan beg plastik? Dan apakah dengan hanya berhenti mengguna beg plastik, bumi ini selamat?
Kejadian seperti banjir kilat, sampah tersekat, pencemaran air, udara, bunyi, kesesakan dan sebagainya, hanya rakyat yang dipersalahkan sedangkan keputusan besar-besar yang berkait rapat dengan kecelakaan alam ini diambil pembuat dasar dan rakyat hanyalah pihak yang angguk dengan tuntutan itu.
Solusi dan pemuliharaan alam perlu datang daripada dua pihak, jika pembuat dasar benar-benar peka dan prihatin dengan alam sekitar dan mahu selamatkan bumi daripada kerakusan manusia yang disebut ‘pembangunan’, usahlah guna undang-udang terhadap kami sahaja. Undang-undang itu kan untuk semua…
Apa pula tindakan yang boleh diambil terhadap pihak yang terus berdegil membuat pembangunan di tengah kota yang sudah cukup membangun? Apa yang boleh dilakukan jika ada pihak yang mahu memusnahkan taman menghijau untuk bina bangunan konkrit?
Bagaimana dengan mereka yang membuang semua sisa pembangunan ke dalam sungai berdekatan sehingga ia menjadi kotor, tercemar dan akhirnya menyebabkan banjir.
Tanah terjual kepada pemaju, kemudian minta kami menanam pokok.
Anda membina berpuluh-puluh pusat beli-belah, saran kami merangsang industri beli-belah kemudian minta jangan guna beg plastik.
Anda tidak menyediakan sistem pengangkutan yang mesra pengguna dan buat pembangunan sepanjang jalan atau lebuhraya utama sehingga menyebabkan kesesakan kemudian salahkan kami sebagai tidak bersopan di jalanraya.
Rakyat dilarang membuat pembakaran terbuka tetapi ada sahaja berita syarikat di luar negara berbuat demikian sehingga menyebabkan kami tanggung jerebu.
Senarai saya boleh jadi lebih panjang, tetapi sepanjang mana sekalipun kami tidak menemui penyelesaian jika sebelah pihak menutup mata. Jadi saya berhenti di sini sahaja. Selamat Hari Bumi!
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT