DAP, don’t be arrogant please!

DAP, don’t be arrogant please!

Adalah menjadi strategi politik DAP untuk memperlihatkan kelemahan kerajaan tetapi apabila kelemahan pihaknya sendiri ditelanjangkan, BN juga yang dipersalahkan.

Ong Kian Ming

Oleh Edwin Michael

Tajuk artikel ini adalah dalam bahasa Inggeris dan kandungannya pula dalam bahasa Melayu. Saya mohon maaf kepada Dewan Bahasa dan Pustaka kerana saya tidak ada niat sama sekali untuk merojakkan bahasa Melayu. Hakikatnya, tajuk ini dan apa yang ingin saya analisis ada hubung kaitnya.

Lim Kit Siang dan Ong Kian Ming

Ahli Parlimen DAP Gelang Patah, Lim Kit Siang dalam kenyataan terbarunya mengkritik kerajaan melibatkan isu dokumentari Four Corner oleh stesen televisyen Australian Broadcasting Corporation (ABC). Menurutnya kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri bercanggah dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Negara.

Laporan ABC mendedahkan bahawa wang yang didepositkan kedalam akaun peribadi Perdana Menteri adalah wang derma daripada kerabat diraja Arab Saudi dan ini disahkan oleh Pejabat Perdana Menteri. Sementara itu, Kementerian Luar Negara pula menuduh program Four Corner sebagai bias dan berniat menyerang akauntibiliti Perdana Menteri.

Maka menurut pemimpin DAP ini, percanggahan kenyataan melibatkan entiti sesama kerajaan dilihat sebagai tidak ada pemuafakatan terutamanya dalam isu ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen DAP, Ong Kian Ming sebelum ini telah mempersoal dan mencabar kredibiliti dan pengurusan Yayasan Gerakan Tindakan Afirmatif Baharu (NAAM) atas dakwaan wujudnya konflik kepentingan apabila pembayaran RM19 juta oleh kerajaan kepada yayasan MIC melibatkan program fertigasi cili. Namun selepas segala dokumen dan penjelasan secara terperinci diberikan oleh Pengerusi NAAM iaitu Datuk M Saravanan, akhirnya Ahli Parlimen DAP ini mengakui berpuas hati dengan penjelasan serta pengurusan NAAM ini.

Bagaimana dengan skandal #noswimmingpoolgate ?

Agaknya Lim Kit Siang lupa bagaimana Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta ahli-ahli politik DAP sendiri mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dan tidak masuk akal pemikiran yang waras dalam isu pembelian banglo dan penjualan tanah Taman Manggis melibatkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Suka untuk saya mengingatkan Lim Kit Siang kepada beberapa kenyataan bercanggah yang dibuat oleh orang-orang DAP sendiri apabila skandal penyelewengan ini didedahkan oleh Ahli Parlimen Tasek Gelugor.

Antaranya, pengakuan Lim Guan Eng yang tidak tahu harga pasaran banglo yang dibelinya dan banglo yang dibelinya adalah murah kerana tidak ada kolam renang. Kemudian kenyataan keliru daripada Ahli Parlimen DAP Tanjung, Ng Wei Aik yang menyatakan Ketua Menteri Pulau Pinang tidak tahu harga pasaran banglo kerana beliau hanya berkelulusan akauntan dan bukannya penilai tanah. Keadaan menjadi bertambah kelakar apabila Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok membuat kenyataan bahawa disebabkan fengshui yang tidak baik maka banglo berkenaan terpaksa dijual dengan harga yang murah daripada harga pasaran. Kenyataan-kenyataan ini sekaligus mencetuskan sensasi politik kerana bukan sahaja mempamerkan kebijaksanaan yang rendah tetapi juga tiada kesepakatan sesama ahli politik DAP itu sendiri.

Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming walaupun telah melakukan sesuatu yang secara politiknya dilihat berintegriti tinggi kerana mempersoalkan apa yang difikirkan wajar untuk dipersoalkan tetapi mengapa kaedah yang sama tidak digunapakai untuk mempersoalkan kredibiliti urus niaga pembelian banglo oleh Lim Guan Eng serta meneliti dan menganalisis dokumen demi dokumen antara pembelian banglo tersebut dan tanah kosong yang sepatutnya dimajukan untuk projek perumahan awam di Taman Manggis yang dikatakan mempunyai hubung kait yang rapat. Bukankah sebagai seorang yang memiliki moral dan integriti yang tinggi, ini juga seharusnya diberikan perhatian yang serius?

Dua senario melibatkan dua ahli Parlimen DAP ini sudah memadai untuk membuktikan betapa prejudisnya DAP ini apabila bercakap tentang kredibiliti dan integriti kepemimpinan.

Maka, sebab inilah saya memilih tajuk artikel saya iaitu DAP, don’t be arrogant please!

Edwin Michael merupakan seorang Pensyarah Sains Politik dan Kewartawanan serta Pelajar Ijazah Kedoktoran dalam bidang media dan politik di Universiti Tunku Abdul Rahman, Kampus Perak.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.