Najib patut lantik Nazri jadi ‘jeneral perang’

Najib patut lantik Nazri jadi ‘jeneral perang’

Tindakan Nazri adalah mempertahankan bosnya daripada segelintir pemimpin politik yang hipokrit yang hanya berani bersuara selepas tiada dalam kabinet dan tidak memegang apa-apa jawatan.

nazri

Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dikecam hebat kerana kritikan pedas dan tajam terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin. Ramai pemimpin UMNO yang ‘gila talak’ menyerang dan memanggil dengan pelbagai gelaran seperti kucing kurap, pengampu dan penyangak.

Ia gara-gara desakan terbuka Nazri supaya Muhyiddin melepaskan jawatan Timbalan Presiden UMNO jika mahu terus mengkritik Datuk Seri Najib Tun Razak. Nazri juga sedia membuat usul pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) akan datang supaya Muhyiddin digantung jawatan Timbalan Presiden.

Diakui, dalam kalangan pemimpin UMNO, Nazri seorang yang hebat dan berani. Tiada siapa boleh menolak hakikat itu. Beliau sudah lali dikecam dan dihina, namun sedikitpun tidak menjadi kudis padanya.

Kerana Nazri, Gobind Singh Deo pernah digantung beberapa minggu di Parlimen sehingga Gobind kehilangan semua hak keistimewaannya sebagai ahli parlimen untuk tempoh setahun.

Beliau juga pernah memanggil Lim Kit Siang dengan gelaran “otak bodoh”, “otak benak”, “bohong” dan pernah juga melabelkan ahli parlimen pembangkang sebagai pondan. Tidak hebatkah Nazri?

Seorang pengikut yang setia dan baik sudah pasti membela bosnya. Itu yang ditunjukkan oleh Nazri. Di saat pemimpin UMNO memilih untuk berdiam diri kerana mahu menyelamatkan kedudukan, tetapi tidak bagi Nazri.

Ketika di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau mempertahankan Dr Mahathir daripada serangan pembangkang. Beliau banyak membela Dr Mahathir.

Jika istilah ‘penjilat’ sudah ada ketika itu, tentu Nazri digelar penjilat tegar Dr Mahathir. Begitu juga di zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi.  Nazri juga ‘penjilat’ atau membodek tetapi beliau tidak kisah kerana menjadi tanggungjawabnya untuk membela dan mempertahankan bosnya.

Jika kita berada dalam sebuah kapal, ada anak kapal yang tidak mahu bekerjasama dengan kapten, apakah yang kita perlu buat? Diamkan saja ‘anjing itu terus mengigit kaki tuannya’ atau humban saja ke laut?

Kalau kita diamkan, lama-lama kapal akan tenggelam. Jadi pilihan kedua lebih rasional untuk menyelamatkan kapal dan anak-anak pakal lain daripada mati lemas.

Tindakan Nazri adalah mempertahankan bosnya sekaligus menyelamatkan negara daripada tenggelam dek kerana segelintir pemimpin politik yang hipokrit.

Pemimpin itu hanya berani bersuara selepas tiada dalam kerajaan dan selepas tiada apa-apa jawatan. Kononnya mereka mulia sedangkan ketika dalam kerajaan, tiada apa yang dilakukan untuk rakyat malah mereka juga menindas rakyat. Mereka juga tidak menentang pelaksanaan GST.

Ada terpalit juga dengan kontroversi AP ada juga yang dikaitkan dengan tuduhan tidak sedap didengar ketika memerintah sebuah negeri di selatan. Ada juga yang mengalami kecelaruan memori sehingga ingat masih berkuasa.

Perlekehkan Nazri selagi terdaya dan termampu. Tetapi kita perlu berpijak pada realiti, orang yang tidak lagi boleh bekerja dalam satu pasukan, perlu disingkirkan, Itulah realitinya.

Mungkin antara kita setuju Nazri tidak layak mengkritik Muhyiddin, Anda salah! Nazri lebih jauh hebat daripada pengkritiknya. Beliau menjadi Ahli Parlimen sejak 1995 dan sehinggalah sekarang tetap utuh sebagai ahli politik.

‘Tsunami politik’ pada 2008 menyaksikan ramai nama besar UMNO dan BN tumbang, tapi Nazri tetap menang bergaya dengan mendapat hampir 5,000 undi majoriti.

Beliau dilantik menganggotai Kabinet sejak 1995 sehinggalah sekarang dan berkhidmat di bawah tiga Perdana Menteri dan tiga Presiden UMNO. Beliau menganggotai Majlis Tertinggi UMNO sejak 1990 sehinggalah sekarang.

Menjadi kesalahan besar jika kita mengatakan Nazri tidak layak mengkritik Muhyiddin. Habis siapakah yang lebih layak ‘melondeh’ Muhyiddin? Menteri metroseksual, Khairy Jamaluddin kah? Wujudkah dia?

Apatah lagi Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan. Siapa dia untuk memanggil Nazri sebagai budak suruhan Najib dan pemimpin bangang? Adakah beliau bebas daripada sebarang kontroversi? Silalah Google.

Percayalah rakyat Malaysia, Nazri tidak melakukan kesalahan apabila menasihatkan Muhyiddin meletak jawatan.

Lim Guan Eng juga melakukan perkara sama dengan menggugurkan dua wakil rakyat PKR daripada syarikat kerajaan negeri kerana tidak sehaluan dengan kerajaan negeri.

Tapi itulah penyokong pembangkang, apa yang dilakukan kerajaan semuanya buruk di mata mereka, bila melibatkan pembangkang, butakan mata pekakkan telinga.

p/s Najib sepatutnya melantik Nazri sebagai ‘jeneral perang’

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.