Isu levi: Apa jaminan harga makanan tidak akan naik?

Isu levi: Apa jaminan harga makanan tidak akan naik?

Setiap kali ada penafian tentang kenaikan harga barang, setiap kali itulah berlaku peningkatan kos sara hidup. Kini, rakyat sudah bosan dengan jaminan itu.

harga-naik

Sebaik selepas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hamzah Zainuddin mengingatkan pengusaha restoran supaya tidak mencari alasan untuk menaikkan harga makanan sesuka hati, saya pasti kenaikan harga pasti akan berlaku.

Kenapa saya berkata demikian? Setiap kali menteri keluar dengan kenyataan agar ‘harga tidak dinaikkan’ atau ‘jangan menaikkan harga’, ia seolah-olah mengingatkan kita, pengguna supaya bersedia menghadapi kenaikan harga barang.

Ingatan itu kepada kita (pengguna), bukan orang lain (peniaga). Samalah kisahnya bila menteri kata jangan naikkan harga barang kerana harga bahan api naik, jangan kenakan cukai perkhidmatan (service tax) kerana sudah ada GST, jangan naikan harga barang kerana GST, kerajaan akan pastikan tiada kenaikan tambang pengangkutan atau kerajaan tidak akan menaikan harga petrol, itu tandanya pasti akan kenaikan harga yang akan berlaku.

Sejurus selepas itu, apa tindakan kita? Kita bising sekejap, buat macam-macam, tidak ketinggalan, ada pula menteri yang bersama-sama berjuang demi kita tetapi akhirnya, yang bayar lebih adalah saya dan anda. Kita semua akur dengan polisi kerajaan dan kehendak kapitalis.

Kembali kepada isu pokok, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri di Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerima pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak sebaik mengumumkan kenaikan levi bermula 1 Februari ini.

Menurut laporan berita, kenaikan itu akan menyaksikan Putrajaya meraih sekitar RM2.6 bilion dalam bentuk pendapatan (!). Ramai dalam kalangan komuniti peniaga membantah langkah itu kerana gentar ia akan memberi impak kepada kos mereka.

Bagaimanapun, yang paling menyentuh sensitiviti dan hak kepenggunaan kita adalah apabila Presiden KIMMA, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader yang mendakwa pengusaha restoran India Muslim tiada pilihan lain kecuali menaikkan harga kerana kenaikan kadar levi untuk pekerja asing menambah kos yang ditanggung mereka.

Logiknya, walaupun terdapat peniaga yang menafikan akan wujud kenaikan harga makanan, saya khuatir penafian itu tidak dapat dipanjangkan untuk tempoh yang lama. Ini kerana para pengusaha makanan pasti akan terbeban dengan kos tambahan ekoran pelaksanaan ‘levi’ terutamanya mereka yang menjalankan perniagaan restoran berantai dengan kapasiti pekerja asing yang ramai.

Lebih buruk apabila kita tiada pilihan lain selain mengharapkan pekerja asing dalam sektor kerja buruh memandangkan warga tempatan mengharapkan gaji yang tinggi di samping terjerat dengan stigma bahawa mereka kerja buruh bukan untuk mereka. (Well, saya tidak boleh salahkan orang tempatan dalam hal ini!)

Dalam jangka masa panjang, kenaikan levi ditambah pula dengan kenaikan kos harga barang, bahan mentah dan sebagainya pasti akan memberi impak dan menyebabkan pengusaha tiada pilihan lain tetapi menaikkan harga makanan. Saranan agar pekerja asing menanggung levi juga bagi saya tidak masuk akal kerana di bawah Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) yang sudahpun dipersetujui kerajaan, majikan yang akhirnya perlu membayar levi, maka sebab itu banyak perniagaan membantah kenaikan tersebut.

Tengok sahaja selama ini, selepas bertimbun-timbun kenaikan harga termasuk harga air kosong, tiada siapa yang boleh buat apa.

Biarlah pelbagai serbuan dan pengawasan yang dilakukan oleh pihak berkuasa, biarlah pengguna cuba berjuang untuk hak mereka dengan memaparkan resit harga makanan melampau di media sosial, biarlah beratus-ratus berita dan laporan khas ditulis mengenainya, tiada apa yang berubah. Sama ada pengusaha ataupun pengguna sudah imun dengan kenaikan harga yang akan tetap mengikut rentak impak policy makers yang kini hanya bertumpu untuk meningkatkan perolehan perbendaharaan mereka.

Walaupun pelaksanaan levi diumum ditangguh, saya tidak akan terkejut jika penangguhan itu sebenarnya untuk ‘membeli masa’ dan akhirnya ia pasti akan dilaksanaka juga.

Untuk rujukan, tahun lalu, kadar levi pekerja asing adalah RM1,250 bagi sektor perkilangan dan pembinaan, RM590 (perladangan), RM410 (pertanian) dan RM410 bagi pembantu rumah) dan bagi sektor perkhidmatan pula, kadar levi terdahulu adalah antara RM650 hingga RM1,850.

Selepas penstrukturan semula pembayaran levi itu, kumpulan pekerja asing dipecahkan kepada kedua iaitu kategori pertama, melibatkan pekerja sektor perkilangan, pembinaan dan perkhidmatan dengan kadar levi baharu sebanyak RM2,500. Kategori kedua pula melibatkan pekerja sektor perladangan dan pertanian dengan kadar levi baharu RM1,500 seorang manakala kadar levi untuk pembantu rumah dikekalkan pada kadar RM410 selain levi bagi sektor profesional tidak berubah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.