Tafsiran progresif terhadap seksualiti dan gender

Tafsiran progresif terhadap seksualiti dan gender

Mereka percaya undang-undang syariah sedia ada tidak selari dengan al-Quran dan as-Sunnah dan juga tidak selari dengan inti tujuan Allah dalam wahyu

gender

Oleh Ahmad Salami

Ia suatu yang penting untuk melihat kepada gerak kerja ulama reformis dan feminis yang mengkaji topik seksualiti dan gender dalam Islam. Mereka telah membentuk perspektif yang mencabar idea tradisional tentang peranan wanita dan seksualiti yang terpasak dalam undang-undang Syariah sedia ada. Sebagai contoh, idea bahawa lelaki berkuasa dan punyai hak keistimewaan ke atas wanita. Bias gender ini telah dikritik dan adanya interpretasi baru terhadap teks wahyu memberi peluang kepada pendapat-pendapat lain untuk dilontarkan. Gerakan oleh ulama dan aktivis untuk mencabar ketidakadilan dan ketidaksamarataan yang wujud dalam undang-undang keluarga Islam dan masyarakat ini digelar sebagai ‘Muslim progresif’ dan ‘reformis Muslim’. Istilah ‘Islam progresif’ akan digunakan berserta istilah ‘kerangka’ untuk membincangkan tentang kepelbagaian struktur, teknik, dan metode yang digunakan dalam gerakan Islam progresif. Kerangka ini juga mengarah kepada perbincangan topik seksualiti dan identiti gender dalam Islam.

Ulama reformis dan feminis Muslim telah bergerak daripada undang-undang Syariah sedia ada. Mereka telah merangka dan membina beberapa metodologi untuk membentuk kerangka Islam yang progresif. Mereka percaya undang-undang syariah sedia ada tidak selari dengan al-Quran dan as-Sunnah dan juga tidak selari dengan inti tujuan Allah dalam wahyu, bahkan sekadar kompilasi interpretasi terhadap nas yang dibentuk, daripada masa ke semasa. Berdasarkan pandangan reformis ini undang-undang syariah adalah kefahaman terhadap Islam yang terkesan dengan adat tradisional dan nilai sosial sejarah lampau yang telah dibentuk. Mereka menegaskan bahawa kritikan terhadap undang-undang syariah adalah untuk mencabar kefahaman tertentu dalam Islam dan bukanlah bermaksud mencabar Islam itu sendiri.

Ulama feminis juga menekankan bahawa interpretasi Al-Quran dan as-Sunnah berserta formulasi undang-undang syariah kebanyakannya telah dibentuk hanya oleh ulama lelaki, maka ia sekadar refleksi kefahaman lelaki atas Islam berdasarkan pengalaman kehidupan mereka. Ini telah mewujudkan bias gender dalam undang-undang keluarga Islam dan praktis bersifat patriarki dalam masyarakat Islam. Bagi mereka, bias gender lelaki yang merugikan wanita ini telah dimanifestasi dalam sesetengah Tafsir al-Quran yang menatijahkan praktis kian bersifat mengongkong wanita daripada hari ke hari.

Pembentukan undang-undang keluarga Islam yang menguatkuasakan bahawa lelaki mengatasi wanita adalah kesan daripada salah guna hadis yang memberi perspektif negatif atas wanita. Hadis dipakai telah dipertikai penggunaannya oleh sebilangan ulama dalam perbincangan berkenaan peranan gender dan seksualiti. Muslim secara individu atau kolektif mempunyai pandangan berbeza atas hadis mana yang patut dijadikan sandaran ataupun sebaliknya. Sehinggakan wujud apa yang didakwa sebagai hadis sahih tetapi sebenarnya tidak. Ini telah disebut secara terperinci oleh sebilangan ulama berkaitan. Namun, kita tidak berhasrat untuk membahaskan berkaitan sandaran hadis dalam perbincangan secara terperinci di sini.

Para cendekiawan reformis dan feminis percaya bahawa tafsirAl-Quran dalam topik gender dan seksualiti akan lebih progresif apabila undang-undang syariah dipadankan dengan sosio-politik dan konteks sejarahnya. Muslim tidaklah terikat hanya kepada satu set interpretasi sejarah tertentu yang eksklusif tentang Al-Quran. Muslim juga boleh terlibat dalam pembentukan kerangka Islam progresif ini.

Dalam usaha membentuk kerangka-kerangka ini, feminis menggunakan pelbagai teknik. Ini termasuklah tafsiran semula nas-nas wahyu oleh ulama wanita sendiri dan dibentuk dalam konteks sosio-sejarah di mana ia diwahyukan. Metode ini bertujuan untuk memastikan interpretasi adalah pantulan kepada kefahaman dan perspektif wanita terhadap al-Quran dan as-Sunnah itu sendiri. Mereka percaya Islam telah bermula dengan kesamarataan dan keadilan untuk semua termasuklah kesamarataan gender. Al-Quran telah membentuk asas pemerkasaan penuh wanita. Walaubagaimanapun, diakui ia telah dan akan ada halangan oleh yang berkuasa dan berkedudukan kalangan lelaki atas wanita dengan sistem patriarki yang menatijahkan ketidakadilan gender dalam masyarakat Islam dan undang-undang keluarga Islam.

Sebilangan cendekiawan kontemporari juga telah mengembangkan pendekatan yang melangkaui kaedah pentafsiran semula Al-Quran ini. Antaranya, percaya bahawa Al-Quran harus dilihat sebagai dua dokumen dalam satu; pertama fokus sosio-ekonomi pada masa ia diturunkan dan kedua yang mengandungi mesej spiritual Islam. Mereka percaya yang mana mesej spiritual Islam dan prinsip keadilan merupakan dasar Al-Quran dan As-Sunnah, serta menjadi basis kepada sebuah kerangka etika umat Islam moden. Perkara ini telah memberi peluang kepada para reformis moden untuk terus menyelami dan mengkaji topik seperti identiti gender dan seksualiti ini secara lebih lanjut.

Tulisan ini adalah terjemahan berserta suntingan oleh penulis daripada laman sesawang www.safraproject.org dengan tajuk asal ‘Framework for Progressive Islam’. Isu-isu yang diutarakan telah menarik minat penulis, khususnya berkaitan wanita dan diskriminasi mereka alami atas orientasi seksual, identiti gender, gender, agama, ras dan budaya berbeza, yang mana jarang dibangkitkan. Tulisan ini tidak bermaksud memberi solusi atau jawapan putus kepada isu-isu, ia sekadar perbincangan atau cadangan untuk refleksi bersama dengan semangat inklusif, harmoni dan meraikan kepelbagaian. Salam sayang.

Ahmad Salami merupakan penganalisis penyelidikan di Komuniti Muslim Universal

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.