Kenapa Anwar masih calon Perdana Menteri?

Kenapa Anwar masih calon Perdana Menteri?

Rakyat mengharapkan pembaharuan daripada pembangkang untuk memberi nafas dan harapan baharu tetapi ia agak mengecewakan.

Anwar-Ibrahim

Selasa lalu genaplah setahun Datuk Seri Anwar Ibrahim ditahan dalam lokap di Penjara Sungai Buloh.

Beliau telah dihukum penjara lima tahun kerana kesalahan meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan.

Bagi memperingati ulang tahun pertama pemenjaraan Anwar telah diadakan perhimpunan #Bebas Anwar di luar pintu masuk utama penjara.

Kira-kira 1,000 orang dilaporkan hadir untuk memberi sokongan termasuk pemimpin utama PKR dan AMANAH serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Namun kelibat pemimpin PAS tidak kelihatan kerana menurut Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, penganjur tidak menjemput parti itu.

Begitu juga dengan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kerana mengerjakan umrah. Beliau menghantar pesanan kepada Anwar dan ahli keluarganya menerusi rakaman video yang disiarkan di perhimpunan itu.

Di perhimpunan itu juga berlaku peristiwa yang kononnya digelar revolusi mikrofon apabila Presiden AMANAH, Mohamad Sabu membaling mikrofon kerana kecewa pembangkang masih gagal menarik sokongan rakyat negara ini.

Tindakan Mat Sabu itu tidak pula mengujakan sebaliknya menjadi bahan lawak jenaka apabila rakaman video kejadian itu diviralkan di media sosial. Itulah Mat Sabu dari dulu sampai sekarang masih dengan gimik politik murahan.

Kita lupakan cerita Abang Mat itu kerana setakat baling mikrofon tak membantu pun kenaikan harga getah atau memulihkan nilai Ringgit.

Perkara yang lebih mengejutkan apabila Pakatan Harapan masih menamakan Anwar sebagai calon Perdana Menteri.

Kesian dan simpati kepada rakyat Malaysia kerana kita masih dimomok dengan keagungan Anwar sedangkan hakikatnya aura beliau semakin pudar dan karier politiknya sudah sampai di penghujung.

Tidak sedarkah mereka yang zaman kegemilangan Anwar sudah berlalu dan namanya semakin tidak relevan terutama dalam kalangan anak-anak muda.

Sudah-sudahlah menjaja nama Anwar untuk tagih simpati dan sokongan rakyat. Tolonglah beri harapan baru dan semangat baru kepada rakyat untuk meneruskan hidup di zaman penuh kegilaan ini.

Adakah pembangkang tiada calon lain yang boleh diangkat? Kalau nak juga jaja nama Anwar, angkat sajalah Nurul Izzah sebagai calon Perdana Menteri.

Bagaimana pula dengan Rafizi Ramli? Beliau anak didik kesayangan Anwar dan pemilik idea Langkah Kajang. Tak layakkah Rafizi menjadi calon Perdana Menteri?

Dan bagaimana pula dengan Azmin yang kini dianggap paling berkuasa dalam PKR sebagai calon Perdana Menteri?

Azmin bukan calang-calang kerana beliau pemimpin bijak. Lihat saja bagaimana beliau dipilih menjadi Menteri Besar Selangor dan menyelamatkan kerajaan Selangor daripada tumbang selepas Pakatan Rakyat berkubur.

Rakyat mahukan satu harapan yang menjanjikan perubahan walaupun ia belum pasti dapat dilaksanakan. Bukankan politik itu menjaja sebuah harapan kepada rakyat?

Tiada makna menukar nama Pakatan Rakyat kepada Pakatan Harapan jika harapan lama juga yang menjadi sandaran. Pi mai pi mai tang tu jugak kata orang utara.

Rakyat Malaysia telah dapat menerima hakikat bahawa Anwar tahanan jenayah bukan tahanan politik. Oleh sebab itulah perjuangan NGO-NGO untuk meletakkan Anwar sebagai tahanan dalam rumah tidak mendapat sambutan.

Anwar didapati bersalah oleh sembilan hakim daripada pelbagai peringkat mahkamah dan telah melalui proses perbicaraan yang agak panjang iaitu selama tujuh tahun.

Kita minta NGO-NGO berkaitan hentikanlah mengelirukan rakyat kononnya Anwar adalah tahanan politik sama seperti yang berlaku kepada Nelson Mandela dan Aung San Suu Kyi.

Tak pernah pula media melaporkan Mandela dan Aung San Suu Kyi pernah dipenjara kerana kesalahan meliwat.

Akhir kata, terimalah hakikat Anwar sudah tidak relevan dan tidak lagi membawa harapan besar kepada rakyat Malaysia.

Kalau Datuk Seri Najib Razak dituduh suka kencing rakyat oleh ahli UMNO sendiri, apa kurangnya Anwar yang kencing kita semua kononnya pembangkang akan menjadi kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.