Berapa daripada 1.5 juta yang lulus masuk Malaysia?

Berapa daripada 1.5 juta yang lulus masuk Malaysia?

Menjelang hujung minggu atau cuti umum, sesetengah kawasan menjadi Mini Jakarta, Little Dhaka dan Perkampungan Nepal dan Myanmar, saya pula yang terasa seperti pelancong di negara sendiri.

pekerja-asing_mal_600

Ini surat saya kepada Pak Menteri.

Saya selaku rakyat marhaen, orang biasa-biasa, ingin tahu apa maksud ‘daftar masuk pekerja asing’ dan ‘pengambilan masuk pekerja asing’?

Ia merujuk kepada kenyataan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bahawa angka 1.5 juta pekerja Bangladesh sebenarnya merupakan jumlah warga Bangladesh yang berdaftar dengan pemerintah Bangladesh untuk tujuan pekerjaan dan bukan angka yang mutlak bagi jumlah kemasukan pekerja Bangladesh ke Malaysia.

Jadi, ingin saya tahu, apakah angka sebenar yang akan diluluskan atau dibenar masuk daripada sejumlah 1.5 juta yang mendaftar itu? Sekurang-kurangnya berilah pencerahan berapa peratus daripada jumlah itu yang bakal diluluskan untuk dibawa masuk?

Pak Menteri, bukan apa, isu ini menjadi isu nasional, bukan kerana kami cemburu atau panas hati, semuanya kerana kami sayang kepada negara ini, Malaysia. Kami bimbang dengan kemasukan bertimbun-timbun rakyat negara asing, yakni dalam kes ini, rakyat negara Bangladesh, kita rakyat Malaysia akan tenggelam.

Ingat, mengikut statistik, jumlah 1.5 juta itu kira-kira sama dengan jumlah penduduk di sebuah negeri (Negeri Sembilan, Melaka, Perlis) di Malaysia.

Dan sepanjang tempoh beberapa tahun negara kita terbuka kepada warga asing, bukan sedikit masalah yang kita hadapi, tak kiralah yang pendatang itu haram atau halal.

Kalau Pak Menteri free, jalan-jalanlah di sekitar kawasan Pelabuhan Klang pada hujung minggu, ia seperti Little Dhaka. Saya pula terasa seperti pekerja asing atau pelancong bila berada di sana. Keberadaan mereka di sini bukan masalah, tetapi kesan daripada keberadaan mereka itu yang saya takuti. Saya takut mereka akan menyebabkan masalah sosial dan kesan yang tidak diingini.

Ketepikan ura-ura orang awam seperti saya yang khuatir kemasukan mereka akan di’restu’ oleh kerajaan. Ada yang fikir kerajaan akan menjadikan mereka rakyat negara ini diberi kewarganegaraan, status Bumiputera-segera, lebih teruk, kuasa untuk mengundi.

Bukan itu sahaja, ada segelintir rakyat Malaysia bukan Bumiputera seperti saya yang berada di tanah ini selama beberapa generasi gentar terpaksa tunduk di hadapan mereka yang menjadi Bumiputera-segera, kami gelisah jika mereka akan diberi semua kelebihan.

Tetapi, saya anggap ia hanya khabar angin atau cakap-cakap kosong. Sekarang saya cuma mahu ketengah isu sosial dan kegelisahan kami, anak kelahiran Malaysia jika warga asing membanjiri negara ini.

Pak Menteri, saya juga sudah tidak melawat Kuala Lumpur sekitar Pudu Raya pada hujung minggu dan cuti umum. Kerana bandaraya kosmopolitan negara menjadi Mini Jakarta, Little Dhaka, Perkampungan Nepal, Myanmar dan sebagainya pada waktu itu.

Di samping kurang selesa, ditambah pula dengan segala masalah sosial seperti isu kesihatan, kebersihan dan lain-lain isu yang mungkin sensitif untuk dikongsi.

Bercakap mengenai aspek keselamatan negara, betapa kebanjiran ini boleh menganggu-gugat kedaulatan negara. Saya khuatir ketika negara dunia bergolak akibat pencerobohan anasir luar dan pengganas, apakah kita pula sedang mengalu-alukan gelombang asing yang dalam bilangan yang banyak. Terbaru di Kajang, kes beberapa warga Vietnam yang mabuk menyerang warga Bangladesh amat merisaukan saya. Bagaimana pula jika kita (rakyat Malaysia) yang diserang?

Bahkan apabila mereka menggerumuni sesuatu kawasan, kami berasa tidak selamat kerana kami sudah tidak rasa Malaysia. Sudahlah kedai-kedai makan, stesen petrol, tapak pembinaan dikuasai mereka, kita pula yang seolah-olah dibuli bila berhadapan dengan mereka.

Pak Menteri, saya tidak tahu berapa angka sebenar yang akan diluluskan dan dibawa masuk, tetapi daripada kami terus buat spekulasi dan sebar khabar angin, eloklah jika pihak anda tampil dengan statistik dan perangkaan yang transparen.

Baguslah juga kalau ada statistik berapa ramai yang sudah jadi warganegara atau Penduduk Tetap selepas sama ada menikahi orang tempatan atau menuntut secara undang-undang.

Tujuan kami mahu tahu perkiraan sebenar, juga demi kebaikan anda (pemerintah) juga. Kerana saya tidak mahu orang awam seperti saya tidak sewenang-wenangnya ‘menyerang’ kerajaan dan Pak Menteri. Saya tahu, kerajaan dan Pak Menteri tidak akan mengambil satu tindakan yang terburu-buru, mungkin kami yang tergesa-gesa keluarkan macam-macam kenyataan.

Oh ya, saya juga nak tahu juga kalau-kalau warga asing sudah menjadi penduduk majoriti tiga tertinggi di Malaysia membelakangkan yang lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.