Tiga atau empat tahun yang lalu, ketika bertugas dengan sebuah akhbar Melayu tempatan, saya berpeluang menemubual seorang pengusaha kelapa. Ringkasnya, dia menjadi pengusaha kelapa kerana tidak berjaya memasuki universiti.
“Daripada 11 rakan yang mengambil peperiksaan STPM, hanya saya seorang sahaja yang tidak berjaya memasuki universiti. Yang lain, kini bekerja di bank, pejabat kerajaan, syarikat swasta. Saya pula, tersingkir. Tetapi saya kini seorang bos. Saya ada lebih 20 orang pekerja, saya boleh keluar masuk ikut waktu sendiri, boleh hantar dan ambil anak dari sekolah, makan makanan rumah, melawat luar negara setiap tahun bersama keluarga dan memiliki harta beberapa ekar tanah dan sebagainya,” kata-kata pengusaha kelapa dari Kuala Selangor itu masih segar dalam minda saya.
Benar, kelulusan akademik bukan segalanya. Ikutkan, dalam kalangan rakan-rakan saya sendiri pun ada yang lebih berjaya selepas tidak lulus SPM. Bukan saya hendak kata pendidikan tidak penting. Jika anak saya sendiri gagal atau mendapat markah yang kurang, pasti saya akan bengang.
Tetapi mesej saya di sini ialah, untuk menyedarkan bahawa kurangnya pendidikan atau kelulusan atas kertas, tidak bermakna seseorang itu tidak boleh berjaya dalam hidup. Ia tidak bermakna kita ada pasport untuk memandang rendah dan hina terhadap mereka.
Merujuk kepada contoh taikun antarabangsa yang sedang menggegarkan ekonomi dunia, mereka semuanya bukanlah daripada universiti teragung dunia.
Anda kenal Richard Branson?
Siapa tak kenal pengasas Virgin Group yang memiliki harta bernilai kira-kira AS$4.9 billion.
Dia adalah seorang pelajar keciciran sekolah ketika berusia 15 tahun. Namun, siapa dia sekarang? Selepas 50 tahun meninggalkan sekolah, dia memiliki pegangan saham lebih 500 syarikat, di mana 200 hingga 300 syarikat itu membawa jenama syarikat Branson.
Mungkin ramai daripada anda yang tidak mengenali nama ini, Francois Pinault. Beliau ialah seorang usahawan Perancis yang meninggalkan sekolah pada usia 11 tahun kerana rakan-rakannya membuli beliau daripada keluarga susah. Tetapi siapa beliau kini adalah isunya. Pinault memiliki syarikat yang merupakan pemegang saham terbesar konglomerat fesyen seperti Gucci, Stella McCartney, Alexander McQueen, and Yves Saint Laurent.
Kalau hendak diikutkan memang ramai lagi boleh masuk senarai ini, mereka yang berjaya tanpa sekeping kertas dari sekolah.
Steve Jobs, pengasas Apple Inc dan Pixar; Henry Ford, bapa automotif; Walt Disney, pengasas animasi yang paling berpengaruh; semuanya pelajar keciciran sekolah!
Dhirubhai Ambani, pengasas Reliance Group dari India pula langsung tidak pernah menjejakkan kaki di bangunan bernama sekolah.
Jadi, bukankah mereka semua berjaya dan mampu menggegarkan dunia ini? Bukankah kesemua kesan ekonomi dan sosio-politik yang dibentuk dalam dunia ini kesan ‘pengaruh’ mereka?
Dalam kalangan orang Malaysia sendiri (saya tidak mahu namakan mereka kerana risau ada yang tidak selesa pula) ramai juga jutawan dan figura popular yang kita puja bukan berlatar belakang Oxford atau Cambridge, mahupun UM, UKM atau USM.
Pelakon dan penyanyi yang mendapat kontrak berjuta-juta, pemilik bangunan pencakar langit, pemilik business automobil, pengusaha pelbagai bidang niaga, jangan terkejut kalau mereka bersedia mendedahkan kelulusan akademik masing-masing.
Ramai daripada mereka yang tidak mendapat peluang melengkapkan pengajian, namun lebih berjaya daripada saya dan anda yang memiliki Diploma, Sarjana Muda, Sarjana atau pun PhD.
Justeru, di mana adilnya jika seorang pemimpin yang mempunyai pengalaman yang luas dalam dunia politik tempatan dicerca dan dikeji semata-mata kerana tidak memiliki kelulusan akademik tinggi?
Adakah kita berpuas hati dengan prestasi anggota Kabinet yang berkelulusan CGPA 3.85 dari universiti luar negara? Jadi, untuk menjadi pemimpin, nilai kepemimpinan, kesabaran dan semangat memajukan nusa, bangsa dan negara lebih penting. Apa gunanya kalau tidak patriotik dan tidak memahami perasaan rakyat tetapi memiliki kelulusan PhD? Apa gunanya memimpin parti berbaur perkauman, suka merendahkan orang lain, bersifat diktator, angkuh, tetapi memiliki kelulusan undang-undang?
