Oleh Yunus Tasim
Malaysia ni memang caca marba. Bukan Malaysia sebenarnya, tetapi rakyatnya. Bukan semua rakyat sebenarnya tetapi segelintir sahaja iaitu mereka yang cenderung kepada sesuatu fahaman terutama politik tertentu. Malangnya suara mereka itu kelihatan besar dan diperbesarkan, jadilah seperti seolah-olah seluruh Malaysia begitu.
Ini yang berlaku bila blog pro UMNO MYKMU.NET menulis secara sinis akan cara pasukan bolasepak Harimau Selatan JDT melancarkan jersey baru sesi 2016. Artikel ‘JDT Bakal Disaman Nike’ ingin menggambarkan seolah-olah JDT menciplak idea orang lain. Mujur mereka telah sedar dan memohon maaf kepada TMJ atas keceluparan mulut mereka.
Mungkin mereka dari azalinya begitu. Atau mereka dibesarkan begitu. Hingga melihat negara ini milik mereka dan mereka bebas berbuat sesuka hati mereka. Biar celupar mulut mereka, mereka tetap tidak akan ditangkap, tidak akan di sembur kimia dan gas pemedih mata.
Atau mereka memang tidak berilmu, hingga mereka tidak sedar bahawa bendera Malaysia Jalur Gemilang mirip bendera Amerika Syarikat – 50 bintang berwarna putih melambangkan 50 negeri di AS kepada bintang berbucu 14 melambangkan 14 negeri di Malaysia. Jalur dan warnanya sama. Begitu juga dengan lagu kebangsaan Negaraku yang melodinya mirip lagu Terang Bulan.
Inilah mentaliti yang melanda mereka. Orang lain tak boleh buat, tapi bila dia buat, dia kata suka hatilah, itu hak mereka. Dulu pemimpin Umno berkata demonstrasi bukan budaya orang Malaysia, dan mereka mengutuk apa jua demonstrasi jalanan. Tapi bila Tun Mahathir menghadiri demonstrasi Bersih, mereka tergamam.
Tapi mereka lupa perjuangan kemerdekaan dahulu juga melibatkan demonstrasi jalanan. Bila Baju Kuning buat demonstrasi secara aman dikutuk, dan bila Baju Merah buat demonstrasi, boleh pulak. Bukan aman, malah merosakkan harta benda. Mereka lupa pemimpin mereka baru sahaja bertempik mengatakan demonstrasi jalanan bukan budaya kita atau sekurang-kurangnya bukan budaya mereka. Inilah yang dikatakan meludah ke langit, ludah jatuh ke hidung dan muka sendiri.
Dulu bila ahli cawangan komen fasal Najib, minta Najib letak jawatan kerana dakwaan pelbagai salah laku, ahli cawangan itu langsung dipecat dari Umno. Begitu juga dengan pelbagai sidang akhbar, pertemuan dan perhimpunan. Mereka kata itu bukan caranya, mesti ikut saluran.
Tetapi tiba-tiba kita dikejutkan dengan 14 Ketua Bahagian UMNO Kedah buat sidang akhbar meminta Najib menyingkirkan Datuk Mukhriz Mahathir dari menjadi Menteri Besar Kedah. Alasan yang diberikan katanya sudah hilang kepercayaan, ketidakupayaan Mukhriz memimpin dan menyatu-padukan Kedah.
Kita tunggu dan lihat apakah tindakan dari Jawatankuasa Disiplin Umno terhadap 14 Ketua Bahagian Umno Kedah ini. Tapi yang nyata, 14 Ketua Bahagian itu seolah-olah nampak nyamuk di seberang lautan tapi tak nampak gajah di depan mata. Malah gajah dah hampir jadi bangkai dan tentunya tidak dapat ditutup dengan daun nyior. Kalau tidak ada tindakan drastik dan cepat dari Jawatankuasa Disiplin Umno, benarlah apa yang didakwa banyak orang bahawa tindakan 14 Ketua Bahagian itu mendapat restu Presiden Umno dan sebahagian dari usaha untuk melemahkan Tun Mahathir. Maka, benarlah apa yang orang kata, orang lain tak boleh buat, yang berkuasa dalam Umno sahaja yang boleh buat. Orang lain buat kena tangkap, kena pecat, tapi orang yang dekat dengan kuasa Umno boleh berbuat sesuka hati, malah ada sesetengah mendakwa mereka itu dah dapat atau bakal dapat habuan.
Seharusnya mereka itu memerhatikan dan mencontohi kata mantan Ketua Wanita Gopeng yang telah dipecat atas alasan yang sama. Najib itu penting, tapi parti Umno itu lebih penting dari Najib. Umno itu penting, tetapi Malaysia itu lebih penting dari Umno.
Kesimpulannya, Malaysia adalah lebih penting dari Umno dan Najib. Dengan hujah yang sama, Malaysia adalah lebih penting dari Kedah. Jadi apabila 14 Ketua Bahagian Umno itu dapat melihat kepincangan yang ada pada Mukhriz di Kedah, apakah mereka tidak melihat kepincangan yang lebih besar yang ada pada Najib dan kerosakan yang melanda Malaysia dan yang di alami oleh rakyat Malaysia keseluruhannya? Seluruh rakyat kata Malaysia dah tenat. Hampir seluruh rakyat Malaysia bersetuju dengan pendapat Tun Mahathir yang semua ini kerana kelemahan Najib dan Kabinetnya dalam mengurus Malaysia serta skandal 1MDB serta derma RM2.bil atau RM4bil yang lebih memburukkan Malaysia.
Persoalannya, mana yang lebih utama? Kedah atau Malaysia? Nak selamatkan Kedah atau nak selamatkan Malaysia? Pasti nak selamatkan Malaysia yang dengan sendiri Kedah akan ikut terselamat.
Veteran Umno, Tan Sri Rafidah Aziz dalam Facebooknya menyatakan “Janganlah menconteng arang di hidung sesama kita”. Kalau itulah sikap orang Umno, memang benarlah persepsi orang ramai terhadap orang Umno masa kini yang samada kurang cerdik, bacul atau ‘telah dibeli’.
Semoga kebanyakan rakyat Malaysia akan cerdik dan celik dapat melihat kebenaran dan penyelewengan yang berlaku. Dan semuga rakyat Malaysia tidak mudah dibeli dan sentiasa mengutamakan Malaysia, lebih penting dari kumpulan, parti dan negeri.
Kita lihat episod seterusnya!
Yunus Tasim merupakan pembaca FMT.
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT
