Ini kisah sebenar.
Azam dan Wani (nama sebenar) berkawan sejak belajar di universiti dan merancang untuk berkahwin demi merealisasikan cinta agung mereka.
Namun, Azam masih lagi was-was kerana wang simpanannya masih belum cukup dan gajinya masih belum stabil.
Walaupun mempunyai ijazah sarjana muda, dia hanya mendapat gaji bawah RM2,000.
Tapi nasib Azam lebih baik berbanding rakan-rakannya yang masih menganggur dan terpaksa pulang ke kampung halaman sama ada menolong keluarga atau tidur lepak dan makan (TLDM).
Jika ikut hati kering, Azam boleh teruskan niat untuk berkahwin dengan Wani tetapi dia lelaki bertanggungjawab dan prihatin. Dia mahu memberi sedikit kesenangan kepada bakal isterinya.
Dia tidak mahu jadi seperti sesetengah anak muda sekarang yang berkahwin walaupun tiada simpanan apatah lagi harta. Sesetengahya pula sanggup membuat pinjaman bank untuk berkahwin. Anak dah besar, hutang bank belum selesai.
Azam bukan seperti itu. Dia mahu memiliki simpanan atau sekurang-kurangnya kereta untuk hantar isteri ke tempat kerja atau rumah supaya tidak membazir membayar sewa.
Azam dan Wani berpegang teguh kepada syarat nikah iaitu berkemampuan dari segi ekonomi.
Sebab itu, Azam dan Wani setuju untuk tangguhkan perkahwinan sehingga mereka betul-betul bersedia dari segi kewangan. Bagi mereka, kehidupan sebenar bermula selepas berkahwin.
Jadilah seperti Azam dan Wani yang hidup dalam dunia realiti dan memandang jauh. Bukannya seperti orang lidi bernama Rashid yang hidup di alam fantasi.
Mereka bukan seperti sesetengah anak muda yang berhabisan puluh ribu untuk berkahwin tetapi selepas itu merunggut terpaksa naik motor pergi kerja atau gaji bulanan habis untuk membayar sewa rumah.
Azam dan Wani tidak mahu jadi seperti pasangan muda lain yang bercerai selepas berkahwin tidak sampai lima tahun kerana faktor ekonomi.
Tahukah kita antara punca utama penceraian pasangan muda tidak kira Islam atau bukan Islam di negara ini ialah faktor ekonomi selain faktor tidak sehaluan dan campur tangan keluarga atau orang ketiga.
Baru-baru ini pula dikeluarkan senarai 23 sebab remeh penceraian seperti punggung isteri menggerutu, isteri tidak pandai masak, isteri suka basuh baju di waktu malam dan suami tidak pandai seks.
Statistik menunjukkan pasangan Islam yang bercerai di negara ini semakin membimbangkan dengan rekod 274,000 penceraian sepanjang enam tahun lalu.
Dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun lalu, Jabatan Kehakiman Syariah merekodkan 38,035 penceraian atau purata 156 pasangan bercerai setiap hari. Jumlah itu meningkat setiap tahun.
Sebahagian besar pasangan bercerai itu melibatkan usia perkahwinan tidak sampai lima tahun.
Azam membuat keputusan tepat untuk tangguhkan perkahwinan sehingga benar-benar mampu. Tambah dengan sausana tidak menentu dan mencemaskan ini. Tak ada pasangan yang mahu hidup susah selepas berkahwin.
Duit bukanlah segala-galanya tetapi segala-galanya adalah duit.
Jika ada duit, punggung isteri menggerutu boleh dilicinkan, tak suka isteri basuh baju waktu malam boleh upah pembantu rumah, isteri tak pandai masak boleh hantar kelas memasak. Kalau suami pula tak pandai seks, banyak cara boleh diusahakan jika ada wang.
Contohi Azam dan Wani bukan orang lidi yang bernama Rashid
