El Nino, sudahkah kita bersedia?

El Nino, sudahkah kita bersedia?

Langkah menyimpan air di rumah perlu dilakukan sekarang bagi mengelak daripada berdepan dengan situasi keputusan sumber utama itu

elnino

Beberapa hari lalu, kita dikejutkan dengan berita mengenai pengumuman bahawa negara akan mengalami musim kemarau yang agak panjang bermula bulan ini sehingga Mac.

Pengumuman yang dibuat oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Panglima Madius Tangau itu secara tidak langsung mencemaskan kita.

Golongan yang paling bimbang dan akan merasa kesan akibat daripada fenomena itu adalah para petani dan mereka yang menjalankan aktiviti komersil.

Pun begitu, bagi sesetengah pihak dan sesiapa sahaja yang tidak terlibat dengan penggunaan air yang banyak, kesan daripada El Nino ini pasti akan turut memberikan kesan kepada mereka kerana air adalah sumber keperluan yang menjadi keutamaan manusia untuk terus hidup.

Harus diingat, situasi kemarau yang berlaku akan menyebabkan berlakunya masalah kekurangan bekalan air.

Lantaran itu, menerusi pengumuman yang dianggap sebagai peringatan itu, kita sepatutnya telah bersiap sedia dengan langkah-langkah perlu seperti menyimpan air yang secukupnya di rumah agar tidak panik bila berdepan dengan situasi kemarau.

Langkah ini perlu dilakukan, terutama kepada penduduk yang tinggal di kawasan Lembah Klang yang kebiasaannya akan berperang apabila timbul masalah gangguan bekalan air.

Kepadatan penduduk yang tinggal di kawasan bandar ditambah pula kebanjiran warga asing menambahkan lagi masalah apabila berdepan dengan situasi ini.

Lumrah manusia, sudah terhantuk baru nak tengadah. Kealpaan atau lebih tepat silap diri sendiri mereka tidak nampak.

Akhirnya, kerana mahu mengambil jalan mudah situasi kemarau pun mereka boleh jadikan isu yang dipolitikkan sehingga kadang-kadang alasannya tidak masuk akal sebagaimana ia pernah berlaku sebelum-sebelum ini.

Bagi mereka yang tinggal di Selangor, mereka patut bersyukur kerana kerajaan negeri telah mengambil langkah-langkah mitigasi untuk menangani masalah yang sedang dihadapi agar rakyat di negeri itu tidak terlalu terkesan dengan situasi berkenaan.

Beberapa perancangan telah diatur dan pelaksanaannya dibuat mengikut keperluan.

Persoalannya, bagaimanakah persediaan oleh negeri-negeri lain dalam mengharungi situasi ini?

Adakah langkah sama seperti dilakukan Selangor dibuat di negeri-negeri berkenaan yang jumlah penduduknya tidak sepadat Lembah Klang?

Apa pun, ia harus kembali kepada pokok pangkalnya iaitu persediaan awal bagi diri kita untuk berdepan dengan ujian yang diberikan Allah SWT ini.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.