Baru-baru ini pemimpin lama DAP, Lim Kit Siang mendedahkan statistik yang Melayu tetap berkuasa jika UMNO Barisan Nasional kalah dalam pilihan raya.
Kit Siang cakap, penguasaan Melayu itu kekal atas alasan bilangan kerusi Parlimen di Semenanjung yang majoritinya didominasi orang Melayu itu sendiri.
Hanya 22 kerusi yang didominasi kaum Cina dan 29 kerusi lagi pengundinya bercampur. Faktor lain penguasaan Melayu ialah lebih 50% kaum itu duduk di Malaysia sedangkan Cina tak sampai pun 30%.
Tiba-tiba Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Bung Mokhtar Radin balas kenyataan Kit Siang dengan menuduh ia taktik DAP memancing undi Melayu.
Baiklah, kita faham mengapa Bung Mokhtar bercakap macam itu. Yalah, taktik politik lawan yang perlu didedahkan supaya UMNO Barisan Nasional kekal relevan sepanjang zaman.
Tapi yang buat kita panas hati ialah apabila Ahli Parlimen Kinabatangan itu kata, Melayu jadi boneka apabila DAP berkuasa.
Ai, bodoh sangatkah Melayu ini sampai senang macam itu boleh jadi boneka kepada DAP? Bayangkan daripada Kepala Utama Persekutuan sampailah ke pemanjat pokok petai yang semuanya Melayu itu jadi boneka hanya kerana DAP menang pilihan raya.
Kemudian, beliau beri contoh Menteri Besar Perak dahulu, Nizar Jamaluddin boneka DAP. Menteri Besar Selangor pun Bung Mokhtar cakap boneka DAP walaupun beliau tidak sebut yang mana satu.
Kita rasa contoh itu terlalu dangkal untuk dijadikan serangan politik melondehkan taktik DAP yang mahu pancing undi Melayu negara ini.
Yang tersentapnya kita ialah eh, hinanya jadi Melayu ini sebab kalau DAP menang pilihan raya nanti, kita jadi boneka.
Jawapan kita ialah, Melayu bebas undi sesiapa sahaja dan takkan sesekali kita yang Melayu ini jadi boneka sesiapa.
Melayu ada maruah dan tidak akan diinjak sesiapa. Melayu bijak berpolitik dan mahir undang-undang. Melayu ada Raja-Raja dan Perlembagaan Persekutuan sebagai benteng. Melayu ada pakar ekonomi, jurutera, dan ahli perniagaan hebat. Melayu ada PAS, AMANAH dan PKR selain UMNO Barisan Nasional. Itu tidak masuk PERKASA, PEKIDA, ISMA dan sebagainya. Jenayah pun boleh tahan hebat kalau ikut cerita polis.
Melayu Sriwijaya sehinggalah Melayu Malaysia pun biasa berurusan dengan tamadun besar dunia. Justeru, apa formula DAP ada sampai boleh buat Melayu jadi boneka? Minta jawab.
