Kita semua patuh syariah sebenarnya, cuma tak sedar!

Kita semua patuh syariah sebenarnya, cuma tak sedar!

Elemen Islamik atau terma 'patuh syariah' sebenarnya sudah menjadi satu amalan yang sebati dalam hidup kita. Persoalannya berapa ramai yang sedar?

kaum,rayani

Agak memeranjatkan apabila seorang mualaf yang paling top, Ridhuan Tee Abdullah, menyokong syarikat penerbangan Rayani Air yang dimiliki sepasang suami isteri etnik India beragama Hindu.

Apakah tidak, penceramah yang sering menggunakan label ‘ultra-kiasu’ dalam setiap makalahnya kali ini mengutarakan pendapat yang sangat sahih dan benar, pada pendapat saya selaku penulis.

Sebelum orang memfitnah saya diupah oleh Ridhuan Tee, beri saya peluang untuk menjelaskan niat saya hanyalah untuk menyedarkan mereka yang masih tidak selesa dengan isu ‘patuh syariah’ atau ‘konsep Islamik’.

Sedar atau tidak, syariah compliance dan Islamic concept merupakan pendekatan yang sudah digunakan secara meluas dalam pasaran.

Kita lahir, membesar dan menghembus nafas terakhir dalam sebuah negara yang Islam merupakan agama rasmi Persekutuan, dan majoriti penduduk beragama Islam. Oleh itu, tidak hairanlah, jika kita secara automatik tanpa mengira agama hidup dalam sistem yang dipengaruhi oleh unsur-unsur Islam.

Maka, tindakan sepasang suami isteri etnik India yang beragama Hindu menubuhkan syarikat penerbangan komersil yang patuh syariah tidak sepatutnya dipandang pelik, atau dijadikan isu untuk kita berbalah, lagi dan lagi.

Ada juga yang berpendapat tindakan Ravi Alagendran dan isteri, Karthiayani itu akan mendorong perniagaan yang menerapkan agama lain pula seperti, BuddhaAir atau JewishAir, di samping sistem perbankan dan insuran juga mengikut agama masing-masing.

Saya minta pembaca supaya bersabar dalam menelaah isu ini, kerana agama bukan halnya di sini. Apa yang menjadi isu ialah kepercayaan pengguna dan demografik pasaran.

Takkan anda tidak sedar, hampir semua makanan (mentah dan siap) yang dijual di pasar raya membawa label ‘halal’ walaupun ia dibekalkan oleh pengusaha bukan Islam. Rangkaian makanan segera misalnya, begitu juga biskut dan minyak masak antara contoh lain, juga dijamin ‘halal’. Adakah kita marah dengan hal ini? Adakah kita menuntut label khusus untuk agama tertentu? Tidak bukan?

Perkara ini juga boleh kita lihat dalam barangan penjagaan kesihatan dan kosmetik yang telah mendapat pengesahan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Malah, saya juga pernah menemuramah seorang pengusaha salon berbangsa Cina yang menawarkan khidmat dandanan kepada wanita Muslimah secara tertutup dan ia juga dikunjungi pelanggan bukan Islam.

Jangan kita lupa pereka fesyen bukan Islam yang menggunakan peluang pasaran fesyen Muslimah dengan menghasilkan busana Islamik yang turut digemari oleh pengguna dari kalangan bukan Islam.

Hakikatnya, kita sudah sebati dengan elemen Islamik ini sejak zaman-berzaman.

Tanyalah mana-mana tauke berjaya di luar sana, menawarkan produk dan perkhidmatan yang memenuhi kemahuan majoriti pengguna itu langkah yang bijak atau tidak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.