
Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah berkata, bagaimanapun tidak banyak yang diketahui mengenai perkembangan Warisan Plus kerana sikap “low profile” mereka sejak berakhir pilihan raya negeri (PRN) lalu.
“Saya percaya mana-mana perikatan parti politik berdepan isu sama (perbalahan mengenai pengagihan kerusi) dan Warisan Plus juga tidak terkecuali.
“Bagaimanapun, sejak PRN tahun lalu, Warisan Plus ini macam ‘low profile’ sikit dan tidak banyak diketahui perkembangan mereka khususnya persediaan menghadapi PRU15,” katanya kepada FMT.

Lee berkata, cerita mengenai persediaan Warisan Plus menghadapi PRU juga ditenggelamkan topik panas membabitkan Umno dan PPBM, walaupun dua parti itu menyatakan kesediaan bekerjasama di Sabah.
“Memang kerjasama Umno dan PPBM adalah topik panas ketika ini, termasuklah di Sabah kerana walaupun ia memberi komitmen akan bekerjasama, ada juga suara minoriti yang mendesak Umno di negeri ini mengikut jejak Umno di Semenanjung.
“Bagaimanapun, saya percaya Umno Sabah akan memanfaatkan peluang memiliki autonomi bagi melakukan yang terbaik buat rakyat negeri ini.
“Apapun paling penting bagi saya ialah mandat rakyat dan saya berharap mereka tidak terlalu fokus berpolitik untuk bersaing sesama parti komponen sehingga mengabaikan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Tony Paridi Bagang dari Universiti Teknologi Mara berkata, isu pengagihan kerusi dalam kalangan pembangkang di Sabah masih “kurang jelas” kerana ia belum dibincangkan secara terbuka sehingga kini.
Katanya, bagaimanapun jika Warisan Plus mengekalkan kerjasama pada PRU15, mereka akan sedaya upaya mencapai kompromi “menang-menang”.
“Ini penting kerana jika mereka tidak sehaluan, sudah pasti mereka menghadapi kesukaran untuk menang dan mengekalkan kerusi dimenangi sebelum ini.
“Cabaran utama sudah pasti mencapai konsensus dalam kalangan mereka dan juga mengelak sabotaj sama ada dari aspek calon mahupun parti,” katanya.
Tony berkata, sama ada pengagihan kerusi dilakukan dengan mudah atau tidak, ia bergantung kepada kepimpinan parti masing-masing untuk mencapai situasi “menang-menang”.
“Pada masa sama, kestabilan parti politik sangat penting kerana ia pasti mempengaruhi proses mencapai persetujuan bersama antara parti dan juga keyakinan pengundi nanti,” katanya.
Daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah, Warisan Plus mempunyai 13 kerusi, iaitu tujuh Warisan, lima PH dan Upko satu kerusi.