
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata kerajaan bersetuju kerana dalam tempoh 8 bulan ia terpaksa menanggung kos penjagaan Equanimity sebanyak RM14.2 juta.
“Itu jumlah yang besar. Jika kita boleh jual dengan cepat lebih baik kerana kita tanggung RM2 juta sebulan, membebankan kerajaan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen.
Hari ini, Putrajaya bersetuju menjual kapal Equanimity kepada Genting pada harga AS$126 juta.
Peguam Negara, Tommy Thomas dalam satu kenyataan berkata, Genting akan membayar AS$126 juta kepada Mahkamah Admiralti Kuala Lumpur pada akhir bulan ini.
Lim berkata kerajaan tentunya mahu harga yang lebih tinggi tetapi tawaran terbaik diambil berdasarkan tawaran terbuka.
“Seperti anda mahu jual sesuatu, mesti mahu harga lebih, manakala jika mahu beli sesuatu mesti mahu harga kurang,” katanya.
Lim juga tidak pasti jika Genting satu-satunya syarikat yang membuat tawaran pembelian Equanimity.
“Saya tak selidik syarikat mana yang buat permohonan dan bidaan. Tetapi yang saya faham tentu pihak peguam negara menerima banyak tawaran.
“Dan inilah paling tinggi. Ini adalah tender terbuka juga,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Lim menunjukkan bukti beliau menerima surat tawaran tertinggi setakat ini daripada sebuah syarikat guaman dari Hong Kong untuk pembelian sebuah menara milik kerajaan di negara itu.
Beliau mendedahkan, surat itu menunjukkan syarikat tersebut menawarkan sebanyak RM1.68 bilion untuk membeli menara tersebut.
“Sebenarnya saya ada silap sikitlah… Saya sebut RM1.6 bilion, sebenarnya harga yang ditawarkan adalah RM1.68 bilion.
“Kerajaan merasakan kita boleh dapat harga lebih lumayan lagi apabila kita buat tender terbuka.
“Tetapi dari syarikat mana kita telah padamkan kerana tidak adil kepada mereka,” katanya.
Lim juga kesal dengan Presiden MCA, Wee Kaa Siong semalam yang menuduhnya tidak tahu bezakan Ringgit Malaysia dengan Dolar Hong Kong.
“Itu tuduhan dan fitnah yang sangat jahat sekali. Beliau (Wee) minta saya letak jawatan.
“Jika saya buktikan dengan surat adakah beliau bersedia untuk letak jawatan. Hari ini saya nak tunjuk bukti surat,” katanya.