
Setiausaha Umno Bahagian Kuala Nerus, Mohamad Yusof mengakui kesilapan besar Barisan Nasional (BN) pada 2013 ialah meletakkan calon yang tidak disenangi ahli Umno sendiri.
“Kekalahan kita pada pilihan raya lepas, pertama calon kita sememangnya ada kasut sebelah dan selipar sebelah (tidak disenangi ahli Umno sendiri), orang kita sendiri yang kuat menyokong Umno tak undi calon sendiri berbanding calon PAS yang merupakan anak jati Seberang Takir,” katanya kepada FMT.
Pada 24 Februari lalu, Menteri Besar Terengganu yang juga Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dilaporkan berkata, sikap “cah keting” atau musuh dalam selimut perlu dihapuskan kerana dibimbangi akan menggugat perpaduan di dalam parti dan menyebabkan kekalahan kepada mereka.
“Seperti mana yang dikatakan oleh (pemangku) Timbalan Presiden Umno (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi), BN takkan kalah jika bukan kerana orang BN yang membuatkannya kalah.
“Jadi soal cah keting, musuh dalam selimut atau gunting dalam lipatan perlu dihapuskan…jika ia tidak berlaku, sudah pasti BN akan terus berkuasa (di Terengganu).
“Di Terengganu, kita akan pastikan anggota yang didapati berbuat demikian dipecat dari parti kerana kita tidak akan berkompromi dengan mereka ini,” katanya 2 bulan lalu.
Siapa calon terbaik?
Yusof percaya Che Azmi Abd Rahman yang merupakan abang kepada Razif yang dikenali ramai adalah calon terbaik untuk BN merampas semula Kuala Nerus daripada PAS kerana beliau pernah menjadi wakil rakyat di Kuala Nerus pada 2004 dan mempunyai rekod khidmat baik.
“Kalau calon Parlimen kali ini kita letak balik bekas wakil rakyat dulu, Che Azmi, abang menteri besar, kita yakin boleh menang dan peluang itu ada berdasarkan kajian yang kita buat dan kerja pun mudah berdasarkan rekod beliau sebelum ini.”
Azmi memenangi kerusi Kuala Nerus pada PRU 2004 selepas menewaskan calon PAS, Mohd Shukrimun Shamsudin dengan majoriti 4,096 undi.
Yusof berkata, jika tidak mencalonkan Azmi, beliau mencadangkan BN memilih calon berlatar belakangkan agama yang boleh memberi kelebihan kepada Umno.
“Persaingan utama Umno di Kuala Nerus ialah PAS, bukannya Pakatan Harapan (PH) kerana parti itu nampaknya tidak mempunyai pengaruh dan saya lihat peluang nak menang di sini, Umno 55% dan PAS 45%,” katanya.
Kuala Nerus dipisahkan daripada daerah Kuala Terengganu dan diisytiharkan sebagai daerah ke-8 di Terengganu pada September 2014.
Ia terkenal dengan kawasaan perindustrian Gong Badak dan juga bandar universiti kerana menempatkan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Terbuka Malaysia cawangan Terengganu (OUM-Terengganu) serta Institut Teknologi Petronas (InsTeP).
Kuala Nerus ialah lokasi strategik yang menempatkan Lapangan Terbang Sultan Mahmud dan susur keluar terakhir Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).
Dengan jumlah penduduk melebihi 220,000 orang, Kuala Nerus merupakan daerah paling padat penduduk di Terengganu.
Berdasarkan statistik 2013, terdapat 76,238 pengundi di kerusi Parlimen Kuala Nerus dan ia mempunyai 4 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Tepuh, Teluk Pasu, Seberang Takir dan Bukit Tunggal.
PAS memenangi kerusi Parlimen Kuala Nerus pada PRU13 menerusi Datuk Khairuddin Aman Razali yang menang dengan majoriti tipis 610 undi, selepas menewaskan calon BN, Mohd Nasir Ibrahim yang mendapat 33,251 undi.
BN hanya berjaya memenangi kerusi DUN Seberang Takir menerusi Razif dengan kelebihan 1,510 undi, manakala 3 lagi DUN dimenangi PAS pada 2013 dengan majoriti tipis iaitu 229 undi di Tepoh, 109 undi di Telok Pasu, 652 undi di Bukit Tunggal.
PAS yakin tambah majoriti di Kuala Nerus
Setiausaha PAS Kawasan Kuala Nerus, Zakaria Dagang yakin parti Islam itu dapat mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Nerus dan 3 kerusi DUN yang dimenangi pada 2013 dengan majoriti lebih besar kerana mendakwa mendapat sokongan luar biasa daripada pengundi muda.
“Sokongan kepada kita bertambah, termasuk daripada ‘pengundi senyap’. Kita jangka undi kita meningkat berdasarkan rekod cemerlang 3 adun dan ahli Parlimen kita.”
Beliau berkata, rakyat tiada pilihan kecuali menyokong PAS berdasarkan rekod baik parti itu, manakala BN dan PH pula mempunyai masalah masing-masing.
PH bukan parti kerdil
Sementara itu, Pengerusi PH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad berkata, walaupun ia parti baharu, tetapi gabungan pembangkang itu tidak harus dilihat sebagai parti kerdil.
“Kita boleh buat kejutan kerana di sini terdapat beberapa universiti dan rakyat celik maklumat,” katanya sambil mendakwa ada ahli Umno yang tidak menyenangi pemimpin mereka sendiri.