Protes senyap dalam Umno, PAS beri PH peluang di Setiu

Protes senyap dalam Umno, PAS beri PH peluang di Setiu

Pengerusi PPBM Terengganu, Razali Idris mendakwa ramai penyokong Umno bersama PH dalam diam.

SETIU:
PPBM menjangkakan pergolakan dalaman Umno dan PAS akan memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH) yang julung kali bertanding di kerusi Parlimen Setiu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Pengerusi PPBM Terengganu, Datuk Razali Idris berkata parti itu tidak gentar berdepan pertandingan 3 penjuru kerana mendakwa wujud protes senyap dalam Umno dan PAS.

Razali yang juga bekas pemimpin Umno Terengganu mendakwa gerak kerja PPBM untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN) turut dibantu ahli Umno sendiri.

“Semasa penubuhan PPBM, ada sahabat-sahabat kita dari Umno memberi bantuan kepada kita dari segi kewangan, jadi sebab itu kita yakin walaupun Setiu dikatakan kubu kuat BN, tetapi ramai penyokong mereka dah bersama kita secara senyap.

“Sekarang rakyat bercakap, kalau ahli Umno umum keluar Umno, maka mereka akan diboikot dan disekat itu dan ini, sama juga PAS, kalau ada yang umum keluar PAS, mereka akan diboikot dan putus tali persaudaraan, jadi PAS dan Umno masing-masing ada protes senyap.

“Kita tidak risau berkenaan 3 penjuru, bukan kerana kita rasa hebat, tapi kemenangan di Setiu agak terbuka, kalau PPBM menangi pun kurang 100 undi, kalau BN menang pun kurang 100 undi, sama juga PAS, peluang sama di Setiu,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, ada banyak isu yang boleh dijadikan senjata mereka seperti kenaikan kos sara hidup, cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan skandal 1MDB.

“Sebenarnya isu terlampau banyak bukan sahaja di Setiu, tapi isu nasional dan kegagalan pentadbiran kerajaan negeri memberi kesan kepada rakyat Setiu dan perkara paling utama yang menjejaskan rakyat ialah kos sara hidup dengan GST, harga minyak tidak terkawal.”

Setiu adalah daerah ke-2 terbaru di Terengganu, selepas Kuala Nerus. Ia merupakan daerah paling sedikit penduduk, iaitu 100,000 orang dan bersempadanan dengan daerah Besut di utara, Hulu Terengganu di barat dan Kuala Nerus ke selatan.

Bandar Permaisuri adalah ibu daerah Setiu yang berperanan sebagai pusat pentadbiran serta perniagaannya. Bandar lain di dalam Setiu ialah Chalok, Sungai Tong dan Penarik.

Pada PRU 2013, calon BN, Che Mohamad Zulkifly Jusoh mengalahkan Omar Sidek daripada PAS dengan kelebihan 7,943 undi.

BN turut menyapu bersih semua 4 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Setiu, iaitu Permaisuri, Langkap, Jabi dan Batu Rakit masing-masing dengan majoriti 2,928; 3,022; 782 dan 3,022 undi.

Dr Mahathir tidak ‘menyengat’

Ketua Umno Bahagian Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafee berkata, penduduk lebih mementingkan isu tempatan yang berjaya diselesaikan kerajaan berbanding momokan pembangkang mengenai isu 1MDB, sumbangan RM2.6 bilion dan GST.

“Rakyat Setiu melihat kepada perkembangan dalam kawasan (ini) sahaja. Kebanyakan mereka nelayan atau pesawah dan tertumpu kepada isu ekonomi sahaja. Kita jaga kebajikan mereka.”

Exco Terengganu itu yakin dapat mengekalkan kemenangan 5-0 dengan majoriti lebih besar kerana Setiu adalah kerusi selamat Umno dan aura Tun Dr Mahathir Mohamad tidak “menyegat” di kawasan itu, selain parti komponen PH, baik Amanah atau PKR tiada kekuatan di sana.

“Kita tidak kisah berapa penjuru sebab BN Setiu sudah lama buat persiapan dan kita bekerja sejak kita menang sampai sekarang, bukan pilihan raya semata-mata.

“Pada kita, persaingan BN di Setiu hanyalah PAS sebab masih ada generasi lama yang tegar menyokong PAS,” kata adun Permaisuri itu.

Sokongan pengundi muda

Yang Dipertua PAS Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata PRU14 ialah peluang terbaik parti Islam itu mengulangi sejarah 1999 yang berjaya menewaskan BN di kerusi Parlimen Setiu dan 4 kerusi DUN.

“Walaupun kita kalah 5-0 kepada BN pada PRU lepas, kita juga pernah menang 5-0 pada 1999. Dengan perkembangan hari ini dan kebangkitan orang muda, PAS yakin menang paling sedikit 2 kerusi.”

Katanya, selain isu kos sara hidup, pembaziran kerajaan negeri seperti pembelian bas amfibia bernilai RM3 juta dan kegagalan pelbagai projek lain antara faktor rakyat menolak BN pada PRU14.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.