
Ketua PPBM Bahagian Sri Gading, Tariq Ismail Mustafa mendakwa kajian yang dijalankannya di kerusi Parlimen itu menunjukkan peluang Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk menang ketika ini adalah 40-40.
“20% itu bakal penentu sama ada kemenangan untuk BN atau PH,” katanya kepada FMT baru-baru ini.
Beliau mengakui PPBM tidak sekuat Umno dari segi jentera dan dana berkempen, tetapi misi menumbangkan BN tidak mustahil sekiranya rakyat memberi peluang kepada mereka untuk membawa perubahan ke kawasan berkenaan.
Ahli Majlis Tertinggi PPBM itu yang berkemungkinan besar diturunkan di kerusi Parlimen Sri Gading berjanji akan berusaha sedaya upaya untuk membantu PH menang, walaupun sedar kubu kuat Umno di Johor tidak pernah jatuh ke tangan pembangkang.
Tariq berkata, pada mulanya beliau sukar mendekati penduduk di Sri Gading yang majoritinya orang Melayu.
“Saya selama 6 bulan turun padang di Sri Gading baru saya faham, bagaimana orang kampung nak impian mereka ke hadapan. Saya sebagai orang luar, bukan anak tempatan tidak ada kepentingan peribadi di situ.”
Anak jati Kuala Lumpur itu berjanji akan membantu meningkatkan pendapatan rakyat, menyediakan peluang pekerjaan dan pelajaran ke luar negara untuk penduduk setempat.
“Dan saya selalu cakap saya tidak kisah kemewahan. Waktu dulu, ramai orang Melayu dan Cina pergi ke luar negara belajar. Sekarang ini kalau insya Allah saya jadi wakil rakyat atau tidak, saya akan bantu rakyat di Sri Gading.
“Saya akan tolong sekurang-kurangnya selepas menang PRU nanti, 5 anak tempatan Sri Gading akan pergi belajar ke luar negara jadi peguam, jurutera atau sebagainya,” katanya kepada FMT baru-baru ini.
Beliau berkata, Sri Gading berpotensi untuk dimajukan sebagai nano ekonomi.

“Di Sri Gading, banyak peladangan yang kosong, ladang kelapa sawit lama, satu peluang menaikkan satu nano ekonomi.”
PH memperuntukkan 10 daripada 26 kerusi Parlimen di Johor kepada PPBM pada PRU14, iaitu Tanjong Piai, Pagoh, Mersing, Tenggara, Sri Gading, Pengerang, Pontian, Muar, Simpang Renggam dan Kota Tinggi.
Baki 8 kerusi diberikan kepada PKR, DAP (6) dan Amanah (2).
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi yang juga ahli Parlimen Sri Gading berdepan cabaran pada PRU14 disebabkan kemerosotan majoriti BN secara berterusan.
Pada PRU13, Aziz menewaskan calon PKR, Mohd Khuzzan Abu Bakar dengan kelebihan 5,761 undi.
Majoriti itu tidak sebanyak 10,874 undi yang diperoleh Tan Sri Mohamad Aziz dengan menewaskan calon PKR, Ali Markom pada PRU12.
Pada PRU11, Mohamad menang dengan majoriti 16,196 undi menewaskan calon PKR, Ahmad Faidi Saidi.
Statistik PRU 2013 menunjukkan terdapat 44,816 pengundi di Sri Gading, dengan 63% ialah pengundi Melayu, 34% Cina dan baki kaum lain.
Syukur permohonan ditolak
Cucu bekas timbalan perdana menteri, Tun Dr Ismail Abdul Rahman itu mengimbau kembali pengalaman hampir menyertai Umno pada 2008.
Tariq yang kini berusia 40 tahun bersyukur permohonan menjadi keahlian parti itu ditolak Umno cawangan Johor, 10 tahun lalu, sebelum Datuk Seri Najib Razak dilantik sebagai perdana menteri.
“Saya tak kutuk jasa Umno memang ada yang banyak baik. Sekarang hanya pemimpin atasan dia sahaja sudah hilang hala tuju.
“PPBM ditubuh (untuk) selamatkan Malaysia. Kalau ada orang selalu kata masuk Umno pengkhianat, itu pandangan kamu. Ikut hati saya, masuk PPBM sebab ada peluang baiki negara bentuk undang-undang, tak kira kaum yang boleh hadapi cabaran akan datang.”
Pertarungan rakyat jelata dan bangsawan
Graduan ekonomi dan perbankan di Universiti Southbank, United Kingdom itu menyifatkan PRU14 sebagai pertarungan antara rakyat jelata dan bangsawan.
Tariq mendakwa hanya golongan bangsawan menyokong Najib kerana mereka tidak mendapat sebarang manfaat ketika Tun Dr Mahathir Mohamad memerintah negara selama 22 tahun.
“Waktu Dr Mahathir memerintah, negara sedang membangun. Mungkin tidak dapat apa-apa ketika itu. Namun orang muda sekarang pemikiran lain, kita sudah faham untuk orang Melayu nak maju, kena gerak sama.
“Saya lihat rakyat tertekan dengan kos sara hidup, bayaran PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional), 1MDB, kes skandal penyelewengan.”
Dr Mahathir pilihan tepat
Tariq berkata, Dr Mahathir yang merupakan pengerusi dan calon perdana menteri PH ialah pemimpin yang mampu menyatukan 4 parti dalam gabungan pembangkang itu.
“Saya kesian negara ini kita tidak ada pilihan, terpaksa panggil balik Dr Mahathir supaya boleh betulkan negara.”
Beliau berkata, bekas perdana menteri berusia 92 tahun itu mempunyai keistimewaan tersendiri.
“Misalnya, kalau kita bagi ceramah 30 minit sudah letih, dengan usianya sekarang, 1 jam pun dia boleh relaks bagi ceramah. Satu semangat luar biasa.
“Apa saya lihat, Wawasan 2020 yang dibuat Dr Mahathir adalah satu idea dan impian yang boleh dibaiki dan hanya perlu pelaksanaan. Tetapi, sekarang kita perlu 30 tahun lagi untuk capai (matlamat menjadi negara) pendapatan tinggi.”