Mudahkah laluan Zahid di Bagan Datuk?

Mudahkah laluan Zahid di Bagan Datuk?

Tidak mudah, menurut Adun PKR, S Kesavan yang percaya pengundi bukan Melayu akan sokong PH, dan undi Melayu berpecah kepada 3 pihak.

zahid
Zahid Hamidi menemui rakyat di Bagan Datuk.
PETALING JAYA:
Pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), calon PKR, Madhi Hasan, memberi saingan sengit kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di kerusi Parlimen Bagan Datuk dengan memperolehi hampir 47% daripada 33,069 undi.

Oktober lepas, Zahid yang dijangka mempertahankan kerusi itu untuk penggal ke-6 berkata, beliau ingin mengekalkan Bagan Datuk dengan 5 kali ganda undi majoriti yang diperolehinya pada 2013.

Kali ini, beliau akan bertanding bukan sahaja sebagai timbalan presiden “de facto” Umno, tetapi juga timbalan perdana menteri.

Dengan jangkaan berlakunya pertandingan 3 penjuru yang bakal menyaksikan perpecahan undi pembangkang antara Pakatan Harapan (PH) dan PAS, Zahid mungkin berasa kedudukannya bertambah kukuh.

Tetapi, Adun Hutan Melintang daripada PKR, S Kesavan berkata, Zahid tidak harus terlalu yakin kerana undi bukan Melayu tidak akan memihak kepadanya dan undi Melayu akan pecah kepada 3 pihak.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hutan Melintang terletak dalam Parlimen Bagan Datuk.

“Bagi kerusi Bagan Datuk, undi Melayu berkemungkinan pecah tiga dan saya percaya sekurang-kurangnya 70% undi bukan Melayu akan pergi kepada PH.

“Jadi peluang kita cerah,” katanya kepada FMT.

Berdasarkan anggaran Kesavan, Bagan Datuk kini mempunyai kira-kira 49,000 pengundi, dengan pecahan 60% Melayu, 21% India dan Cina 19%.

Katanya, undi India sangat penting dan ini sebabnya Barisan Nasional (BN) gigih menganjurkan banyak aktiviti untuk memenangi hati mereka.

“Pada PRU13, walaupun sejumlah undi orang India kembali kepada BN di peringkat nasional, majoriti besar undi itu kekal dengan pembangkang di Bagan Datuk.

“Kini, dengan Hindraf dan Parti Tindakan Hak Minoriti menyokong PH, saya percaya kita boleh mendapat tambahan 2% undi India.”

zahid1
Undi kaum India amat penting dan itu sebabnya BN gigih memenangi hati mereka dengan menganjurkan banyak aktiviti, khasnya untuk golongan berpendapatan rendah.

Tetapi, Kesavan bimbang PH akan hilang kerusi DUN Hutan Melintang berikutan dakwaan kemasukan pengundi baharu daripada kalangan anggota tentera dan kawasan lain.

November lepas, pemantau pilihan raya, Bersih 2.0 mendakwa 2,645 pengundi baharu dimasukkan dalam daftar pemilih walaupun 2 kem tentera di kawasan itu masih dalam pembinaan.

“Namun, saya masih percaya saya akan menang jika saya dicalonkan untuk mempertahankan kerusi ini,” kata Kesavan.

Ahli veteran Umno, Hamzah Zakaria berkata, PH tiada peluang menang di Bagan Datuk, Hutan Melintang atau kerusi DUN Rungkup, walaupun bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengetuai gabungan 4 parti pembangkang itu.

“Di sini, Dr Mahathir langsung bukan satu faktor. Pengundi Bagan Datuk tahu bagaimana beliau melayan Zahid dahulu,” katanya merujuk penahanannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1998.

Zahid merupakan ketua Pemuda Umno ketika itu. Menurut polis, beliau ialah pengikut bekas perdana menteri yang dipecat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ditugaskan menjalankan kegiatan menggugat ketenteraman awam.

Hamzah yang merupakan ahli Umno sejak 1978 berkata, Zahid berjaya memenangi hati penduduk berbilang bangsa di Bagan Datuk.

“Hubungannya dengan akar umbi rapat.

“Beliau balik ke kawasan setiap minggu kecuali ketika beliau ke luar negara. Beliau pergi ke kampung untuk menemui penduduk dari pagi hingga malam. Beliau pergi ke kampung Melayu, Cina dan India, serta bukan hanya ke program di dewan orang ramai.”

Katanya, Zahid juga membawa banyak pembangunan ke Bagan Datuk, dengan kira-kira 70 projek infrastruktur sama ada sudah dilaksanakan atau sedang berjalan sejak ia menjadi sebuah daerah pada 2016.

“Pembangkang tiada isu di sini. Saya harap YB Kesavan akan mempertahankan kerusi Hutan Melintang kerana kami mahu mengambil balik Hutan Melintang daripada beliau.”

Pada PRU13, Kesavan berjaya mempertahankan kerusi DUN Hutan Melintang yang pertama kali dimenanginya pada 2008 dengan kelebihan 1,240 undi dalam pertandingan 4 penjuru menentang MIC, Berjasa dan seorang calon bebas.

Kerusi Rungkup dimenangi calon BN, Datuk Shahrul Zaman Yahya, dengan majoriti tipis 613 undi mengalahkan calon PAS, Misbahul Munir Masduki.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.