Khaled: Tiada tsunami Melayu, Johor akan kekal milik BN

Khaled: Tiada tsunami Melayu, Johor akan kekal milik BN

Menteri besar Johor itu berkata, Umno negeri mempunyai kekuatan sendiri untuk menghadapi cabaran daripada parti pembangkang bertunjangkan orang Melayu, seperti PPBM dan PAS.

khalid-nordin-fb-2
Gambar Facebook.
ISKANDAR PUTERI:
Tiada tsunami Melayu akan berlaku di Johor pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), seperti digembar-gemburkan beberapa pihak khususnya pembangkang, kata Pengerusi Umno Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menyuarakan keyakinan negeri kubu kuat Umno itu akan kekal milik Barisan Nasional (BN), beliau berkata, Umno Johor mempunyai kekuatan sendiri untuk menghadapi cabaran daripada parti pembangkang yang bertunjangkan orang Melayu, seperti PPBM dan PAS.

Menteri besar Johor itu berkata, pihak pembangkang akan sentiasa mencari jalan mensensasikan pelbagai isu untuk mengelirukan rakyat dan meraih sokongan.

Masyarakat bukan Melayu, kata beliau, seharusnya tidak bimbang, lantas terpengaruh dakwaan parti pembangkang kononnya akan berlaku tsunami Melayu pada PRU14 – “ibu” kepada segala pilihan raya yang akan diadakan pada bila-bila masa.

“Pokoknya kita selalu beritahu masyarakat Cina dan India, umpamanya, supaya tidak terpedaya dengan kenyataan yang dibuat pembangkang kononnya akan berlaku tsunami Melayu dan sebagainya.

“Semua itu tidak akan terjadi, ia adalah dakwaan tidak berasas kerana jika masyarakat bukan Melayu percaya, maka akhirnya mereka juga akan rugi,” katanya dalam temu bual khas dengan Bernama di pejabatnya, Kota Iskandar, pusat pentadbiran kerajaan Johor baru-baru ini.

Jumaat lalu, badan pemikir pembangkang, Invoke Malaysia meramalkan Kedah, Perak dan Johor akan jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH), selain mendapat kemenangan besar di Selangor dan Pulau Pinang berikutan tsunami Melayu yang diramal akan berlaku.

Membentangkan kaji selidik terhadap 2,000 responden pada forum “GE14 Prediction Forum: What The Big Data Tells Us?”, Pengarah Invoke, Rafizi Ramli berkata, kaji selidik mendapati sokongan Melayu terhadap BN menurun kepada 28% bulan lalu berbanding 41% pada Disember lepas.

Sokongan Melayu terhadap pakatan pembangkang yang dianggotai DAP, PPBM, PKR dan Amanah naik kepada 14.1% berbanding 9.9% dalam tempoh sama. Kajian itu turut mendakwa jumlah pengundi atas pagar meningkat daripada 11.9% kepada 17%.

Pada PRU13, BN memenangi 38 kerusi DUN Johor, manakala bakinya 13 kerusi dipegang DAP, 4 PAS dan 1 PKR.

Berikutan tindakan keluar parti, kedudukan terkini DUN Johor adalah BN mempunyai 37 kerusi, DAP (13); PAS (3), PKR, PPBM dan Amanah masing-masing 1 kerusi.

Merujuk keadaan jika parti bukan Melayu tidak berjaya bersama Umno untuk membentuk kerajaan, Khaled yang juga pengerusi BN Johor berkata, akan timbul ketidakseimbangan dalam kerajaan dan ia bukanlah keadaan diingini Umno dan BN.

“Kita nakkan keseimbangan untuk banyak perkara lain, kita mahu juga keseimbangan dalam kerajaan. Saya dah beritahu dalam satu pertemuan semasa Tahun Baru Cina baru-baru ini, penting adanya wakil-wakil bukan Melayu dalam kerajaan sebagai satu lambang keseimbangan yang kita nak bawa.

“Jadi, tsunami Melayu takkan berlaku di Johor hanya kerana nak sokong Tan Sri Muhyiddin Yassin (bekas pemimpin Umno), maka (orang Melayu) beralih daripada kerajaan yang banyak membawa kepada kesejahteraan. Saya ingat orang Melayu Johor bukannya orang yang tak berfikir dan tidak rasional. Mereka rasional.”

Menurutnya, orang Melayu sangat mementingkan soal mempertahan, melindungi dan menjadi benteng agama Islam, soal liberalisasi dan sebagainya, yang mana akan dijadikan asas untuk mereka membuat pilihan.

“Bukannya hanya kerana Muhyiddin dari Johor, maka dia terbuang, dia tubuhkan parti lain, maka berduyun-duyun orang Melayu di Johor beri sokongan kepada PBBM.”

Memetik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini, menteri besar Johor itu berkata, masyarakat harus ingat Umno berdiri atas kekuatan sendiri dan oleh kerana Malaysia mempunyai masyarakat majmuk, Umno turut bersama kaum lain menubuhkan kerajaan dan berkongsi kuasa.

“Tetapi, PBBM berdiri atas kekuatan parti lain, (harapkan) DAP, begitu juga dengan Amanah. Itu tidak bagus atau bukanlah satu keadaan baik bagi mana-mana parti politik yang hendak menjadi teras.”

Beliau berkata, Umno Johor mempunyai kekuatan tersendiri bagi menghadapi perlawanan satu lawan satu atau 3 penjuru berdasarkan rekod pencapaiannya yang konsisten.

Selain itu, kerjasama Umno Johor dengan parti komponen terus diperkukuh dalam usaha BN menawan kembali kerusi yang dimenangi pembangkang pada PRU lepas, kata adun Permas itu penuh yakin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.