PAS yakin sapu bersih undi Melayu di Hulu Selangor

PAS yakin sapu bersih undi Melayu di Hulu Selangor

PAS bagaimanapun mengakui sokongan pengundi Cina 'sukar kita perolehi'.

PASHuluSelangor_FB_non-Malay1
Beberapa penduduk Cina menghadiri sebuah program PAS Hulu Selangor. PAS mengakui sukar mendapat sokongan masyarakat Cina di kawasan itu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Yakin dengan sokongan besar pengundi Melayu, PAS akan bertanding di semua kerusi majoriti kelompok pengundi itu di Parlimen Hulu Selangor pada pilihan raya umum ke-14 akan datang.

Ketua PAS Hulu Selangor, Hasnizan Harus, berkata parti Islam itu bersedia menyapu bersih semua kerusi di kerusi berkenaan, termasuk 3 kerusi negeri iaitu Ulu Bernam, Kuala Kubu Bharu dan Batang Kali.

Beliau berkata, walaupun kawasan itu selama ini dimenangi oleh Umno dan Barisan Nasional (BN), PAS sedang bekerja keras mendekati kampung-kampung dan 4 kawasan Felda di situ.

“Kita memberi lebih tumpuan kepada pengundi Melayu, memandangkan sokongan pengundi Cina mungkin sukar kita perolehi”, katanya kepada FMT.

Hampir 60% pengundi di sini adalah orang Melayu, dengan pengundi Cina dan India masing-masing mewakili 23% dan 18%.

BN secara konsisten memenangi Hulu Selangor sehingga pilihan raya Mac 2008 apabila ia tewas di tangan calon PKR dengan majoriti tipis 198 undi.

Namun begitu, calon MIC, Datuk P Kamalanathan berjaya merampas semula kerusi tersebut bagi pihak BN dalam pilihan raya kecil April 2010 berikutan kematian ahli Parlimen PKR, Datuk Zainal Abidin Ahmad, yang menang sebelum itu.

Kamalanathan kemudiannya berjaya mempertahankan kerusi berkenaan dalam PRU Mei 2013 dengan majoriti 3,414 undi mengalahkan calon PKR, Khalid Jaafar.

BN turut menang di DUN Ulu Bernam dan Batang Kali masing-masing dengan majoriti 3,032 dan 5,398 undi. Bagaimanapun ia tewas di Kuaa Kubu Baru di tangan DAP dengan majoriti 1,702 undi.

Hasnizan berkata, PAS yakin untuk merampas Ulu Bernam dan Batang Kali dalam PRU kali ini berdasarkan jumlah undi Melayu yang besar di situ.

Pada PRU 2013, PAS kalah di tangan BN di Ulu Bernam dengan majoriti 3,032 undi.

“Majoritinya kecil. Peluang kami untuk memenangi kerusi itu adalah lebih baik kali ini,” kata Hasnizan.

Beliau berkata, peluang untuk menang di Kuala Kubu Bharu juga adalah lebih baik walaupun peratusan pengundi Cina di situ adalah tinggi kerana ramai pengundi Melayu telah berpindah ke situ dari Batang Kali.

“Sekarang, 50% pengundi di situ adalah Melayu dan ini memberi kita peluang lebih baik untuk menang,” katanya.

‘PAS kacau, tapi tidak akan menang’

Ketika dihubungi, Khalid berkata PAS boleh menjadi pengacau di situ dengan memecahkan undi Melayu dalam persaingan 3 penjuru antara BN, Pakatan Harapan (PH) dan PAS di parlimen Hulu Selangor dan kerusi negeri di dalamnya.

Namun begitu, katanya parti itu tidaklah sekuat semasa ia bersama Pakatan Rakyat yang dibubarkan pada 2015.

“Sekarang PAS bertanding bersendirian dan dilihat mesra dengan Umno, yang berhadapan dengan pelbagai masalah seperti skandal 1MDB, maka pengaruhnya semakin lemah,” katanya.

“Pengundi lebih berminat untuk menyokong PH,” dakwa Khalid, yang merupakan pengarah eksekutif Institut Kajian Dasar, sebuah badan pemikir berkait dengan pemimpin PKR.

Beliau seterusnya berkata, pengaruh Umno juga semakin menurun ekoran kelahiran PPBM yang diketuai oleh bekas perdana menteri dan presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Khalid berkata, PKR telah lama bekerja di situ dan hampir dengan rakyat, dan beliau bersedia untuk bertanding di situ bagi pihak parti itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.