
Selain itu, Ketereh menempatkan pusat pengajian seperti politeknik, Giat Mara dan Maktab Rendah Sains Mara.
Ketereh juga menempatkan Kem Tentera Desa Pahlawan, kelompok pengundi yang memainkan peranan penting dalam keputusan mana-mana pilihan raya.
Kawasan Parlimen ini sebelum ini dikenali Peringat, kerusi yang diwakili orang kuat Umno Kelantan, Tan Sri Annuar Musa.
Pada pilihan raya lalu, ia mempunyai 62,217 pengundi berdaftar.
Pada 1995, Annuar mengalahkan calon Semangat 46, Rafie Mat Selleh, dengan majoriti 1,935 undi. Pada pilihan raya berikutnya, beliau kalah teruk kepada calon PKR, Muhammad Mustafa dengan majoriti 4,525, sebelum memenanginya kembali pada 2013 dengan majoriti tipis 974 undi.
Perebutan kerusi Keterah dijangka sengit apabila PAS yang tidak menyertai Pakatan Harapan (PH) akan memaksa berlakunya pertandingan 3 penjuru antara calon parti itu dengan PH dan Barisan Nasional (BN).
PAS sebelum ini memberi laluan kepada rakan sekutunya dalam Pakatan Rakyat (PR) iaitu PKR.
Ketereh bukanlah kubu kuat Umno atau Annuar. Dua daripada 3 DUN di bawahnya dimenangi PAS dengan majoriti selesa. Umno menenangi satu DUN dengan majoriti tipis 169 undi.
PAS dilihat paling berselera untuk menawan Ketereh apabila tidak lagi mempunyai hubungan “tahaluf siyasi” dengan pembangkang lain. PPBM, yang mewakili PH, turut menunjukkan minat yang sama.
Ahli Jawatankuasa PAS Ketereh, Dr Yusnan Yusof yakin parti Islam itu memenangi kerusi Ketereh, berdasarkan rekod undi 2 Dun yang dimenanangi parti itu dalam PRU13.
Katanya, rakyat Ketereh lebih mementingkan parti yang mempunyai latar belakang agama dan PAS adalah satu-satunya parti sedemikian.
“Sekarang ini untuk membela Islam adalah PAS sahaja, yang lain tidak boleh diharap, dan rakyat boleh lihat perkara ini,” katanya, yang juga percaya kewujudan Amanah dan PH tidak memberi kesan besar kepada parti Islam itu.
Isu biasa dibawa pembangkang bukan satu-satunya faktor yang boleh melemahkan kedudukan Annuar di sini, kata Yusnan.
Penyandang kerusi Ketereh itu juga berdepan masalah persatuan bola sepak negeri dan dakwaan salah laku MARA, katanya.
“Beliau tinggalkan bola sepak dalam keadaan berhutang, masalah pemain dan sebagainya. Kemenangan beliau dulu bukan sebab Umno atau kepimpinannya, tapi sebab bola sepak,” kata Yusnan yang juga Adun Melor.
Kali terakhir PAS bertanding di Ketereh pada 1986, ketika kerusi itu dikenali sebagai Kok Lanas.
Yusnan tidak menolak antara faktor kemenangan Umno sebelum ini adalah hasil bantuan pengundi tentera dan pengundi atas pagar yang tidak memihak kepada PKR.
“Mereka dapat bukan sahaja undi anggota, tetapi juga keluarga mereka. Undi pos kepada pembangkang tidak banyak.”
Tetapi beliau masih yakin undi awam di DUN Kadok dan Melor boleh memenangkan PAS.
Sementara itu, PPBM turut yakin Annuar akan ditolak pengundi Ketereh.
PPBM juga tidak gentar dengan statusnya sebagai parti baharu.
Menurut Pengerusi PPBM Ketereh, Razin Jidin, pengundi di situ unik apabila setiap pilihan raya mereka memilih parti yang berbeza dan tidak mengekalkan parti lama.
“Di Ketereh, pengundinya sangat unik. Pada 1999, PKR menang, 2004 BN menang, 2008 PKR menang dan 2013 BN menang, jadi orang Ketereh beri peluang kepada parti politik untuk menang, mereka boleh ubah siapa sahaja jadi wakil rakyat. Kerusi ini sangat kompetitif,” katanya.
Razin mengakui PAS mempunyai jumlah penyokong tegar yang ramai, namun PPBM cukup yakin penyokong PAS akan memberi undi kepada PH sebagai alternatif menggantikan kerajaan BN.
“Penyokong tegar PAS adalah pengundi rasional, mereka tahu perkara yang dihadapi negara, maka saya yakin pengundi PAS akan beri undi kepada PH,” katanya.
Umno Ketereh pula mempertahankan Annuar dan menolak anggapan isu melibatkan ketua penerangan Umno itu menentukan masa depannya.
“Rakyat juga sedia maklum kes Mara, Annuar tidak diambil tindakan dan akhirnya beliau diisytiharkan tidak bersalah, begitu juga isu penajaan bola sepak,” kata Ketua Pemuda Umno Ketereh, Mohd Azam Ismail.
Katanya, kehadiran PPBM di Ketereh bukanlah ancaman besar kepada Umno kerana parti itu dibentuk untuk memecahkan undi.
“Pada saya pesaing utama Umno adalah PAS, dan PPBM ini parti pengacau sahaja,” katanya.