Duta Zulhasnan sedia bertanding PRU14 jika dicalonkan

Duta Zulhasnan sedia bertanding PRU14 jika dicalonkan

Bekas menteri Wilayah Persekutuan itu pernah menjadi ahli Parlimen Wangsa Maju dari 1999 hingga 2004 dan ahli Parlimen Setiawangsa dari 2004 hingga 2013.

Gambar youtube.
Gambar youtube.
PETALING JAYA:
Ketua Umno Bahagian Setiawangsa, Tan Sri Zulhasnan Rafique sedia berkhidmat sebagai wakil rakyat semula, jika dipilih Barisan Nasional (BN) untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Duta Malaysia ke Amerika Syarikat itu berkata, beliau menyerahkan keputusan itu kepada Perdana Menteri dan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak untuk menentukannya.

“Saya serahkan kepada perdana menteri untuk membuat keputusan. Itulah cara BN memperkenalkan calon pada setiap PRU dan kita akur dengan keputusan beliau,” katanya dipetik Berita Harian selepas merasmikan Program Mesra Sihat Bersama Masyarakat Parlimen Setiawangsa, semalam.

Ditanya jika beliau mahu bertanding pada PRU14, khasnya di kerusi Parlimen Setiawangsa, Zulhasnan berkata: “Jika itu takdirnya (dipilih sebagai calon), insya Allah saya rela.”

Zulhasnan yang dilantik sebagai duta besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) sejak Disember 2016, pernah menjadi ahli Parlimen Wangsa Maju dari 1999 hingga 2004 dan ahli Parlimen Setiawangsa mulai 2004 hingga 2013.

Beliau juga pernah dilantik sebagai menteri Wilayah Persekutuan dari 2006 hingga 2009, selepas memegang jawatan timbalan menteri dalam kementerian sama 2 tahun sebelum itu.

Kerusi Parlimen Setiawangsa kini disandang wakil BN, Datuk Ahmad Fauzi Zahari yang juga timbalan ketua Umno Bahagian Setiawangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.