Bekas wakil rakyat: Calon tempatan berpeluang cerah di Balik Pulau

Bekas wakil rakyat: Calon tempatan berpeluang cerah di Balik Pulau

Bekas ahli Parlimen Balik Pulau daripada PKR, Yusmadi Yusoff, berkata penduduk setempat 'berfikiran kedaerahan' dan lebih mempercayai orang tempatan untuk mewakili suara mereka.

Yusmadi-Yusoff-3
Masyarakat setempat berbilang kaum menghadiri kelas percuma yang diberikan Yusmadi Yusoff menerusi Akademi Rakyat di Balik Pulau. (Gambar Facebook Akademi Rakyat)
GEORGE TOWN:
Bagi kebanyakan orang, Balik Pulau adalah tanah “terbaik” – daripada kawasan berbukit, durian dan jalan raya menyusuri tulang belakang Pulau Pinang itu.

Tidak seperti George Town di timur pulau, sempadan barat Balik Pulau sebahagian besarnya tidak dibangunkan dan merupakan bandar pertanian utama.

Ia juga adalah kerusi Parlimen terbesar di Pulau Pinang, meliputi kawasan pedalaman luas di bahagian barat dengan hampir 120,000 pengundi.

Kebanyakan penduduknya terdiri daripada orang Melayu, dengan masyarakat Cina Hakka yang ramai.

Pengundi memilih calon Barisan Nasional (BN) sebagai ahli Parlimen mereka sejak 1974.

Bagaimanapun, anak jati Balik Pulau yang juga mewakili PKR, Yusmadi Yusoff memecahkan rekod kemenangan BN pada pilihan raya umum (PRU) 2008 dengan majoriti 708 undi.

Beliau adalah calon PKR pertama yang menang di kerusi itu selepas parti itu mencuba nasib di sana sejak 1999.

Pada PRU13, calon BN, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, 69, merampas kembali kerusi yang dimenanginya pada 2004 itu dengan mengalahkan calon PKR, Muhammad Bakhtiar Wan Chik. Ketua Umno Bahagian Balik Pulau itu menang dengan majoriti 1,539 undi.

Yusmadi ketika mengulas kemungkinan dicalonkan semula pada PRU14, berkata keputusan muktamad terletak pada kepimpinan parti.

“Bagaimanapun, parti dan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim meletakkan kepercayaan kepada saya untuk merampas semula Balik Pulau pada PRU akan datang,” katanya kepada FMT.

Penduduk ‘berfikiran kedaerahan’

Yusmadi berkata, orang kampungnya “berfikiran kedaerahan” dan tidak suka memilih orang luar sebagai wakil rakyat mereka.

“Orang Balik Pulau pandai menilai perwatakan orang. Mereka dengan mudah membuat penilaian apabila melihat anda.

“Tetapi, mereka berfikiran kedaerahan. Mereka tidak menerima orang luar. Mereka paling mempercayai orang sendiri.

“Apabila Dr Hilmi Yahaya menang pada 2013, saya ucapkan tahniah kepadanya. Dia adalah kawan keluarga saya. Seperti kebanyakan orang dan ahli politik di Balik Pulau, dia bebas skandal dan merupakan orang yang baik.”

Hilmi kini ialah timbalan menteri kesihatan dan pernah menjadi adun Teluk Bahang selama 3 penggal sejak awal 1990-an. Pada 1999, beliau dilantik sebagai timbalan ketua menteri Pulau Pinang.

Yusmadi-Yusoff-2
Firma guaman Yusmadi Yusoff terletak bersebelahan Akademi Rakyat di Balik Pulau. (Gambar Facebook Yusmadi Yusoff)

Rahmat tersembunyi

Yusmadi berkata, PKR tidak mencalonkannya pada PRU 2013 mungkin demi kebaikan dirinya untuk memberi peluang kepadanya memperbaiki diri dan meneruskan minatnya dalam memperjuangkan hak asasi manusia.

Katanya, beberapa tahun lalu, beliau menubuhkan Yayasan Rights, sebuah badan pemikir dan pertubuhan amal yang memfokuskan undang-undang-undang dan diplomasi Asia Tenggara.

“Saya gembira kepimpinan PKR tidak mencalonkan saya pada PRU lalu. Ia adalah rahmat tersembunyi.

“Saya banyak belajar dan juga tidak mempelajari banyak perkara. Saya seperti pendekar yang menghabiskan sebahagian masa dalam gua, bertafakur.

“Saya menjadi orang lebih baik sekarang, sentiasa bersedia menghadapi apa juga di depan saya,” katanya sambil menambah beliau sentiasa berusaha kembali ke Balik Pulau, walaupun kerap menjelajah di sekitar rantau ini.

‘Segalanya mungkin berlaku’

Mengenai peluang PKR di Balik Pulau, Yusmadi berkata, tidak mudah merampas kembali kerusi Parlimen itu kerana 3 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) – Teluk Bahang, Pulau Betong dan Bayan Lepas – kini di bawah Umno.

“Bagaimanapun, saya percaya akronim Balik Pulau ‘BP’ bermaksud ‘beyond possibilities’ (melangkaui kemungkinan), di mana apa sahaja boleh berlaku.

“Orang Balik Pulau adalah penduduk yang sederhana. Kebanyakan mereka bekerja sebagai nelayan dan petani, dan anak-anak mereka kebanyakannya bekerja di kilang dan sektor awam.

“Mereka tidak boleh dilayan seperti penduduk kampung, sebaliknya perlu diberi perkhidmatan tahap bandar.”

Beliau berkata, PKR mahu meningkatkan kehidupan orang miskin di Balik Pulau, khasnya di Kampung Nelayan Kuala Sungai Pinang dan kawasan lain.

“Kami juga mahu melindungi hutan bakau dan bukit kami daripada pembangunan. Melalui persetujuan kami dalam pembangkang, kami mahu melindunginya.”

Yusmadi menubuhkan sebuah firma guaman di Balik Pulau, yang pertama seumpamanya di kawasan luar bandar Pulau Pinang, untuk memperjuangkan kes kepentingan awam di sana.

Sebelum itu, beliau menubuhkan Akademi Rakyat di Balik Pulau pada 2008 yang berperanan sebagai pusat pendidikan tambahan menawarkan kelas percuma kepada masyarakat setempat, termasuk golongan kurang berkemampuan dan ibu tunggal. Ia masih aktif sehingga kini.

Tanggungjawab besar perlu digalas

Di pihak BN, orang dalaman Umno berkata, parti itu mungkin menurunkan Adun Pulau Betong, Datuk Muhammad Farid Saad di kerusi Parlimen Balik Pulau.

Katanya, rekod baik Farid berkhidmat kepada penduduk Balik Pulau dan kehandalannya dalam berpidato merupakan antara faktor parti itu menyenarai pendekkan namanya.

“Hilmi mungkin bersara selepas bertahun-tahun menyertai politik. Tetapi, jika dia memutuskan untuk berhenti, dia meninggalkan tanggungjawab besar untuk digalas,” kata orang dalaman itu.

Farid bagaimanapun berkata, tiada berita mengenai persaraan Hilmi dan apa yang dikatakan itu sekadar spekulasi.

Mengenai peluangnya untuk dicalonkan pada PRU14, katanya, terpulang kepada perdana menteri untuk memutuskannya.

“Saya masih di sini, suatu tempat di Balik Pulau,” katanya tanpa mengulas lanjut.

FMT gagal menghubung Hilmi untuk mengulas spekulasi persaraannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.