PAS masih digeruni di Parit Buntar

PAS masih digeruni di Parit Buntar

Mujahid Yusof Rawa berkata pengundi majoriti Melayu lebih memendam citarasa politik mereka, menjadikannya sukar meneka apa akan berlaku pada PRU akan datang.

mujahid
Mujahid Yusof Rawa (kiri) berkata sukar meneka arah politik pengundi Melayu di Parit Buntar. (Gambar Facebook)
PARIT BUNTAR:
Datuk Mujahid Yusof Rawa mengakui parti lama beliau masih digeruni di Parit Buntar, kerusi yang dimenanginya di bawah tiket PAS dalam 2 pilihan raya umum sebelum ini.

Kerusi Parlimen dengan lebih 50,000 pengundi ini merupakan kubu kuat pembangkang sejak awal lagi.

Pada 2013, Mujahid menewaskan calon Umno Mua’amar Ghadafi Jamal Jamaludin dengan majoriti 8,476 undi. Ia merupakan kali kedua Mujahid menang dengan majoriti selesa.

Kini, Mujahid merupakan sebahagian daripada Amanah, parti serpihan PAS yang ditubuhkan selepas muktamar 2015.

Mujahid bagaimanapun mengakui pengaruh parti lamanya masih kuat.

Hampir 2/3 daripada pengundi di sini ialah Melayu, selebihnya komuniti Cina, dengan peratusan kecil bangsa India.

PAS sudah bertapak di sini sejak awal penubuhannya, dan memenangi kerusi persekutuannya yang pertama di kawasan ini pada pilihan raya umum 1955.

Tetapi Mujahid yakin Amanah yang berusia 2 tahun itu masih mempunyai peluang, walaupun di sebalik sentimen berzaman yang menyebelahi PAS.

Bercakap kepada FMT, wakil rakyat 2 penggal itu berkata pengundi Melayu di sini mempunyai kepelbagaian.

Perkembangan akhir-akhir ini hanya menambahkan kepelbagaian di kalangan pengundi Melayu itu, katanya.

Ini bermakna, PAS perlu berhati-hati memilih calonnya di Parit Buntar, kerana ia bakal menentukan corak pengundian di kalangan orang Melayu.

“Calon itu haruslah seseorang yang kuat dan berpengaruh,” kata anak kepada bekas diplomat dan mursyidul am PAS, Yusof Rawa, yang dihormati kawan dan lawan.

Sentimen Cina di kawasan ini sangat kuat menolak kerajaan sekarang, katanya.

“Mereka merungut tentang kos sara hidup yang tinggi, GST dan isu-isu harian. Sentimennya ialah mereka sangat ingin menukar kerajaan sekarang.

“Kebanyakan orang Cina yang kamu temui di sini akan beritahu kamu, kebimbangan mereka tentang isu yang melanda negara.”

Lain halnya dengan masyarakat Melayu, kata Mujahid, yang menurutnya memendam sentimen politik mereka membuatkannya lebih sukar menilai perasaan mereka.

“Ini tidak bermakna mereka menyokong kerajaan. Ini cuma bererti mereka mungkin menyimpan kemarahan mereka dan akan mendedahkannya pada hari pengundian,” katanya yakin.

Mujahid berkata di sinilah peranan PPBM, sebagai sebuah parti berteraskan Melayu, menjadi penting.

“Secara bersendirian, bukan mudah untuk mendapatkan sokongan orang Melayu selepas PAS meninggalkan gabungan pembangkang (Pakatan Rakyat),” katanya merujuk gabungan longgar 3 parti yang menyertai pilihan raya 2013 dulu.

Mujahid mengakui ada di kalangan Melayu yang tidak berasa selesa dengan perjuangan PH yang lebih menampilkan kepelbagaian budaya.

“Dengan personaliti besar seperti Tun Dr Mahathir Mohamad dan presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan PPBM boleh menembusi ke kawasan-kawasan Melayu untuk meraih undi.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.