
Shahrizat menyifatkan cakap-cakap itu tidak masuk akal kerana Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor merupakan pemimpin Umno berwibawa dan amat mengambil berat warga Wilayah Persekutuan.
“Saya sudah kata, hentikan spekulasi tentang siapa jadi calon di mana. Tugas saya sebagai ketua Wanita Umno dan ketua Wanita Barisan Nasional (BN) adalah menentukan jentera wanita mantap. Isu siapa jadi calon di kawasan mana, itu kita serah kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak,” katanya selepas merasmikan Program Jualan Sentuhan Rakyat 2018 di Padang Bola Sepak Jinjang Utara, Kepong, hari ini.
Shahrizat berkata, beliau hanya boleh mencadangkan nama calon Wanita dan bukan kawasan bertanding bagi calon tersebut.
Beliau sebelum ini dilaporkan tidak menolak kemungkinan bertanding di kerusi Parlimen Sungai Besar, Selangor susulan “jemputan” berbuat demikian oleh Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos.