
SEBERANG JAYA: Pengerusi Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim menepis dakwaan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan bahawa Perikatan Nasional (PN) akan mengatasi gabungan dalam kerajaan perpaduan pada PRN enam negeri 12 Ogos ini.
Perdana menteri menyifatkan dakwaan itu “kenyataan politik” semata-mata memandangkan sambutan hangat diterimanya daripada rakyat Kedah dalam beberapa acara semalam menunjukkan sebaliknya.
“Saya di Kedah semalam (untuk beberapa acara). Sambutan itu luar biasa…baik. Kita tidak boleh nafikan. Tetapi, akhirnya rakyat harus memilih pertama, politik stabil yang menolak politik pelampau dan ekstrem dan juga memacu pertumbuhan ekonomi,” katanya selepas Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia ke-16 Universiti Kebangsaan Malaysia di sini.