Payudara sakit tak semestinya simptom kanser

Payudara sakit tak semestinya simptom kanser

Wanita enggan bersuara apabila berdepan sakit payudara kerana ia bukan seperti sakit kepala, gigi atau tangan dan kaki, yang boleh dikongsi secara terbuka.

Wanita sering berdepan pelbagai masalah kesihatan yang mungkin sukar diterangkan. Salah satu daripadanya ialah sakit payudara.

Ia bukanlah seperti sakit kepala, gigi atau tangan dan kaki, boleh dijelaskan secara terbuka dan diminta rehat sementara. Sakit payudara terpaksa dilalui dalam diam, sesama wanita pun jarang dikongsi.

Lebih buruk, akhir-akhir ini apabila banyak kesedaran diberikan ke atas penyakit kanser, khususnya kanser payudara. Sakit sikit pun, hati tidak tenang mencari-cari jika ada benjolan yang tersembunyi di payudara menyebabkan kesakitan itu.

Jangan risau, bukan semua sakit itu menandakan anda ada tumor.

Pakar Sakit Wanita dari Pusat Kesihatan Keluarga Willoughby Hills, Cleveland Clinic, Diane Young berkata kesakitan di bahagian payudara lazimnya bukan petanda kanser sebaliknya boleh disebabkan oleh pelbagai faktor lain.

Faktor tersebut dikongsi dalam majalah dalam talian, Womenhealthmag.

1. Menstruasi

Agak umum dalam kalangan wanita di mana kebanyakan mereka akan berdepan sakit payudara kerana perubahan hormon sewaktu menstruasi. Young menjelaskan ia terjadi kerana kekurangan hormon estrogen sebelum ovulasi.
“Ovulasi menyebabkan hormon estrogen, progresteron, meningkat. Akan tetapi sindrom pramenstrual (PMS) atau gejala sebelum menstruasi akan bermula dengan pengurangan hormon. Pada waktu itu wanita kerap mengalami rasa sakit di payudara,” kata Young.

Rasa sakit tersebut juga disebut cyclic pain atau sakit siklis yang disebabkan oleh rantaian menstruasi.
Rasa sakit itu muncul akibat pembengkakan dan tekstur payudara yang lebih lembut sehari sebelum menstruasi dan akan hilang ketika menstruasi berakhir.

2. Olahraga atau menarik sesuatu

Jika anda melakukan senaman push up dan diikuti dengan rasa sakit maka ia bukanlah sakit payudara, sebaliknya sakit pada otot pektoral. Otot tersebut berada tepat di bawah payudara dan kesakitan akibat senaman tertentu bersifat sementara. Kesakitan itu berlaku bergantung kerana tahap tenaga dan tekanan yang digunakan. Bagaimanapun ia boleh diredakan dengan meletakkan ais atau pek panas.

3. Bra yang tidak sesuai

Tanpa disedari, ramai wanita yang menggunakan bra yang tidak tepat dengan bentuk dan saiz payudara mereka. Lebih ramai yang mengekalkan ukuran saiz bra yang sama sejak pertama kali mereka mula memakainya. Menurut majalah Womenhealthmag., bra yang terlalu ketat atau terlalu kecil menekan payudara dan dalam jangka masa lama, menyebabkan rasa sakit.

Sama juga dengan pemakaian bra olahraga yang terlebih besar atau ukuran yang salah menyebabkan payudara tidak didukung dengan baik ketika melakukan olahraga. Apabila payudara tidak didukung dengan baik, jaringan ligamen yang ada di payudara akan tertarik sehingga menimbulkan rasa sakit yang serius.

4. Payudara terasa kenyal

Ada juga situasi di mana payudara terasa ‘kenyal’ kerana jaringan fibrokistik. Amnya ia bermakna payudara anda memiliki benjolan dan terasa lebih kenyal daripada biasa. Namun, jangan risau kerana benjolan seperti itu lazim berlaku. Keadaan itu tidak berbahaya sebaliknya merupakan benjolan yang berisi cairan dalam payudara. Menurut Persatuan Kanser Amerika (ACS), tanda tersebut tidak meningkatkan risiko kanser. Benjolan tersebut boleh membesar dan menyakitkan ketika menstrual kerana perubahan hormon.

5. Sensitif terhadap kopi

Jika seseorang wanita itu mempunyai jaringan fibrokistik pada payudara, maka ia akan menjadi lebih sensitif kepada penstimulasi dari kopi. “Payudara memiliki pembuluh kecil dalam keadaan tertentu pembuluh tersebut akan membengkak akibat stimulasi seperti kopi dan coklat,” kata Young. Pembengkakan tersebut akan menyebabkan rasa sakit. Jika anda minum kopi dan payudara membengkak, hubungi doktor untuk mengesan kandungan dalam kopi yang memberi kesan tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.