Filem mendominasi masa lapang atas pelbagai sebab

Filem mendominasi masa lapang atas pelbagai sebab

Menonton filem bukanlah satu amalan yang tidak baik, kerana seseorang memilih untuk menonton filem lazimnya atas sebab hiburan semata-mata.

Menonton filem menjadi kegemaran ramai orang. Oleh sebab itulah, apabila ada sahaja filem baharu yang ditayangkan, maka berpusu-pusu orang akan pergi ke pawagam.

Kebanyakan orang lebih suka menghabiskan wang mereka dengan menonton filem daripada membeli buku. Oleh sebab itulah, kita melihat ramai penerbit filem mahupun krew boleh menjadi kaya raya. Sayangnya, penerbit-penerbit buku pula yang sering menggulung tikar.

Terdapat pelbagai sebab orang memilih untuk menonton filem. Antaranya ialah:

Hiburan

Pertama, untuk mendapatkan hiburan. Setelah penat bekerja, mereka mahu melakukan sesuatu yang boleh menghilangkan penat dan tekanan kerja. Menonton filem di pawagam adalah salah satu bentuk hiburan yang boleh menghilangkan penat dan tekanan kerja.

Hilangkan bosan

Kedua, untuk menghilangkan bosan. Oleh kerana mereka bosan berada di rumah kerana tidak melakukan apa-apa, maka mereka akan ke pawagam untuk menonton filem. Tidak dinafikan bahawa menonton filem juga merupakan langkah terbaik untuk menghilangkan bosan.

Hobi

Ketiga, untuk mengisi masa lapang. Boleh dikatakan bahawa menonton filem adalah sebagai hobi bagi diri mereka. Selain membaca buku atau berlatih di gimnasium, menonton filem juga boleh dijadikan sebagai hobi. Cuma hobi menonton filem ini memerlukan belanja yang agak besar. Hal ini kerana, harga tiket wayang bukanlah murah!

Mesej

Keempat, untuk mendapatkan sesuatu mesej daripada sesebuah filem itu. Semua filem yang dibikin pasti mempunyai mesej yang tersendiri yang ingin disampaikan oleh pengarah atau penulis skrip filem tersebut kepada penonton. Sama ada mesej itu baik atau buruk, itu usahlah difikirkan dahulu. Apa yang penting ialah mesej yang hendak disampaikan melalui filem tersebut yang boleh dinilai oleh penonton. Walau bagaimanapun, rata-rata penonton yang pergi menonton filem pastilah hendak mendapatkan mesej yang baik.

Realiti kisah benar

Kelima, untuk merasai realiti yang berlaku. Terdapat filem-filem tertentu yang dibikin berdasarkan realiti yang berlaku di sekitarnya. Misalnya ialah filem Dukun lakonan Datin Paduka Umie Aida. Filem tersebut dibikin berdasarkan kisah benar tentang pembunuhan seorang ahli politik pada tahun 1993. Generasi muda yang belum dilahirkan atau masih kecil ketika peristiwa itu berlaku pasti akan pergi menonton filem tersebut untuk mendapatkan sedikit sebanyak gambaran mengenai latar peristiwa yang pernah menggemparkan negara itu.

Belajar sisi teknologi

Keenam, untuk mencari sisi-sisi tertentu dalam sesebuah filem. Sisi-sisi tertentu itu merangkumi idea, sinematografi, olahan skrip, penggunaan CGI dan sebagainya. Biasanya orang yang mempunyai tujuan begini adalah seperti pengarah, pelajar-pelajar fakulti filem, pengkritik filem ataupun pencinta filem. Mereka pergi menonton filem adalah semata-mata untuk belajar sesuatu daripada filem yang mereka tonton itu.

Terdapat pelbagai sebab mengapa kita pergi menonton filem. Bagaimana dengan anda? Apakah yang menyebabkan anda ke pawagam untuk menonton filem?

Artikel ini disumbangkan oleh Muhammad Nurhaziq dari sayapejuangbahasa.blogspot.com

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.