Lambat bertutur bukan satu-satunya simptom autisme

Lambat bertutur bukan satu-satunya simptom autisme

Oleh kerana tiada ujian klinikal untuk mendiagnosis kanak-kanak autisme, pemeriksaan dilakukan secara pemerhatian tingkah laku dan mengenal pasti ciri-ciri autisme pada pesakit.

Ramai kanak-kanak yang mengalami autisme tidak menerima rawatan dan terapi seawal mungkin berikutan kelewatan mendiagnosis penyakit itu.

Sering kalinya, ia berpunca daripada kegagalan ibu bapa mengenal pasti simptom autisme di peringkat awal usia kanak-kanak berkenaan.

Autisme atau Autism Spectrum Disorder (ASD) adalah gangguan perkembangan saraf yang boleh menyebabkan kesukaran untuk berkomunikasi, menjalani interaksi sosial dan masalah tingkah laku.

Pada mata kasar, memang sukar untuk mengesan kanak-kanak yang mengalami autisme kerana ciri-ciri tingkah laku dan fizikal mereka tidak banyak berbeza dengan kanak-kanak normal.

Pakar Perunding Pediatrik dan Neurologi Pusat Perubatan Prince Court (PCMC) Dr Mohd Feizel Alsiddiq Mohd Fakharuddin berkata walaupun kesedaran terhadap autisme semakin meningkat, masih ada salah faham dan menyangka kelewatan bertutur sebagai tanda utama autisme.

“Lazimnya, ibu bapa akan datang ke hospital apabila anak lambat bercakap, namun perlu diingatkan bukan semua kanak-kanak seumpama itu mengalami masalah autisme,” katanya.

Tiada ujian klinikal

Dr Mohd Feizel berkata penyediaan terapi dan pendidikan bersesuaian dengan tahap autisme kanak-kanak di peringkat awal mampu mengesan potensi dan meningkatkan keupayaan mereka untuk menjalani kehidupan yang lebih baik dari segi pembelajaran, komunikasi dan kemahiran sosial.

Disebabkan tiada ujian klinikal yang boleh dijalankan untuk mendiagnosis kanak-kanak autisme, pemeriksaan dilakukan secara pemerhatian tingkah laku dan mengenal pasti ciri-ciri autisme pada pesakit.

“Pemeriksaan dimulakan dengan memastikan pesakit tidak mempunyai masalah pendengaran kerana jika ada, ia akan memberi kesan kepada komunikasi dan kemahiran sosial dan bukannya autisme. Sekiranya tiada masalah pendengaran dan analisis menunjukkan simptom autisme yang jelas, mereka akan dirujuk untuk menjalani program awal intervensi,” jelas beliau.

Satu daripada masalah yang dihadapi kanak-kanak autisme adalah integrasi deria yang menyebabkan intepretasi deria berbeza.
“Contohnya, apabila kita melihat corak berbelang, mereka mungkin melihat corak berlainan seperti ada yang bersaiz besar atau kecil, berbelit-belit atau garisan tidak sekata,” katanya.

Isu genetik

Di PCMC, pakar-pakar terapi cara kerja kanak-kanak, terapi pertuturan dan fisioterapi bekerja sebagai satu pasukan untuk menganalisis masalah dan memberi terapi secara berterusan kepada kanak-kanak autisme.

Sehingga kini, katanya, tiada bukti saintifik yang dapat memberi jawapan kepada punca sebenar autisme tetapi kajian mengaitkan isu genetik serta persekitaran menyumbang kepada kecelaruan perkembangan mental kanak-kanak berkenaan.

Dr Mohd Feizel berkata bagaimanapun, sebagai ikhtiar, ibu disarankan menjaga kesihatan bayi di dalam kandungan dengan sentiasa mendapatkan rawatan susulan serta mengambil vitamin seperti zat besi dan asid folik sekiranya dibekalkan oleh pegawai perubatan.

“Jangan sesekali mengambil ubat tanpa mendapatkan nasihat doktor, contohnya ubat sawan kerana bayi boleh mendapat risiko tumbesaran, selain memastikan darah tinggi dan kencing manis sentiasa terkawal,” katanya.

Beliau seterusnya menasihatkan ibu bapa agar sentiasa peka dengan perkembangan anak-anak dan segera mendapatkan nasihat doktor sekiranya terdapat simptom autisme walaupun sedikit bagi memberi peluang anak-anak itu menjalani kehidupan yang lebih baik.

Pantau perkembangan anak

Sementara itu, Sufaini Bidin, 41, mengakui pada mulanya beliau tidak dapat menerima hakikat yang anaknya mempunyai masalah autisme yang teruk kerana diagnosis awal menunjukkan dia hanya mengalami autisme ringan.

Beliau berkata Qamara Rihanna Army Rosdi, 8, dikesan mengalami masalah autisme ringan seawal usia setahun di mana ketika itu simptomnya tidak ketara.

“Saya sentiasa memantau perkembangan anak-anak mengikut umur dan menyedari Qamara mengalami autisme kerana perkembangannya tidak seperti kakaknya. Malah, mengikut standard tumbesaran, tahap perkembangannya pada masa itu tidak mencapai rakan sebayanya yang mengalami autisme jenis sama.

“Ketika itu, anak saya sudah menunjukkan ciri-ciri autisme seperti tidak menunjuk, tidak melambai dan hanya menarik tangan saya apabila mahukan sesuatu,” jelas ibu kepada 2 anak itu.

Tidak berpuas hati dengan perkembangan anaknya, Sufaini sekali lagi merujuk kepada pakar bagi mendapatkan diagnosis dan akhirnya, Qamara Rihanna disahkan mengalami autisme tahap teruk pada usia 2 tahun.

Didik dengan tegas

Untuk memastikan anaknya dapat membesar dengan baik, Sufaini memilih pendekatan mendidik secara tegas dengan sentiasa memberikan arahan yang jelas dan tidak sewenang-wenangnya mengikut kerenah anak.

“Dengan itu, lebih mudah mengawasi tingkah laku anak supaya tidak bersikap di luar kawalan.

“Kadang kala, ibu bapa terlampau berlembut dengan anak autisme menyebabkan mereka tidak mendengar arahan. Akhirnya, perangai anak semakin teruk dan jadilah seperti yang digelar ‘maharaja’ autisme,” kata Sufaini.

Percaya setiap anak mempunyai kelebihan masing-masing, Sufaini memberi galakan kepada minat Qamara Rihanna yang lebih menjurus kepada memasak, bermain ‘jigsaw puzzle’ dan mewarna.

Walaupun tidak seperti rakan sebayanya, Sufiani tetap berbangga dengan pencapaian Qamara Rihanna yang mampu mengurus diri dan menyelesaikan tugas hariannya dengan baik.

“Qamara mempunyai kelebihan dalam penyelesaian masalah seperti menggunakan kerusi untuk mengambil barang dari tempat tinggi dan daya ingatannya sangat kuat. Kadang kala, dia lebih ingat lokasi kedai di dalam pusat beli-belah,” katanya.

Mengakui membesar dan mendidik anak autisme adalah cabaran besar, Suhaini sering mengingatkan dirinya iaitu anak istimewa adalah anugerah daripada Tuhan.

Intervensi awal

Sufaini menasihati ibu bapa agar tidak sekali-kali membandingkan anak autisme dengan kanak-kanak lain dan tidak menganggap kekurangan mereka sebagai masalah.

“Janganlah bersedih sekiranya mempunyai anak istimewa. Perlu sentiasa mencari perkara positif dalam menghadapi dugaan kerana Allah pasti memberi balasan baik kepada mereka yang menjaga anak syurga ini,” kata Sufaini yang juga pemilik Qamara Therapy and Special Education Centre (Qamara Centre).

Sufaini dan suaminya Army Rosdi bin Abdul Razak, 45, menubuhkan Qamara Centre pada 2012 setelah gagal mencari program yang sesuai untuk Qamara Rihanna.

Pusat intervensi awal itu dibuka bagi mengisi keperluan kanak-kanak autisme dan keperluan khas agar dapat berdikari dan mencapai potensi sepenuhnya.

Mereka yakin dengan intervensi awal yang betul, kanak-kanak berkenaan akan dapat menyesuaikan diri dalam masyarakat kerana potensi mereka dicungkil oleh ahli terapi di pusat berkenaan. Terapi cara kerja dan terapi pertuturan adalah komponen utama dalam program intervensi awal pusat itu.

Sufaini menasihati golongan ibu bapa agar mencari ilmu secukupnya mengenai cara menguruskan anak-anak autisme dan fahami keperluan anak masing-masing kerana setiap anak autisme memerlukan pendekatan berbeza.

Beliau berpesan anak autisme yang suka mengamuk perlu mendapat rawatan pakar dan ibu bapa haruslah tegas dengan anak-anak itu sejak kecil.

Perkara yang perlu di awasi dalam perkembangan anak

Pakar Perunding Pediatrik dan Neurologi Pusat Perubatan Prince Court (PCMC) Dr Mohd Feizel Alsiddiq Mohd Fakharuddin berkata ibu bapa perlu memberi perhatian sekiranya mendapati anak:

– Lambat bertutur atau langsung tidak bertutur menjelang usia 18 bulan
– Tidak mudah respon dengan ketawa/senyum menjelang usia 6 hingga 9 bulan
– Jarang melihat ke mata ibu bapa apabila berinteraksi dengannya.
– Tidak mudah untuk bermain dengan kanak-kanak lain.
– Tidak atau sangat jarang respon kepada panggilan namanya menjelang 15-18 bulan.
– Tidak menunjukkan tanda-tanda mainan sosial seperti menepuk atau melambai atau meniru tingkah laku ahli keluarga menjelang usia 18 bulan.

Jika anak menunjukkan simptom tersebut, ibu bapa harus membawanya berjumpa doktor seawal usia 18 bulan sehingga 2 tahun setengah.

Simptom berkenaan dapat dilihat berdasarkan tahap autisme yang dialami. Simptom ketara boleh dilihat seawal 18 – 24 bulan jika tahap autisme itu peringkat teruk. Namun kebiasaannya, menjelang usia 2.5 – 3.5 tahun, majoriti kanak-kanak autisme akan menampakkan simptom yang ketara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.