Akhirnya anda ada sebab untuk makan durian

Akhirnya anda ada sebab untuk makan durian

Durian kaya dengan pelbagai khasiat yang memberi beberapa manfaat kesihatan kepada tubuh anda.

Ramai yang menikmati raja buah, durian dengan penuh berhati-hati. Ini kerana pengguna sering kali takut dengan kesan sampingan daripada menikmati buah ini.

Antaranya ialah sifat buah itu yang terlalu panas sehingga boleh mendatangkan sakit, kandungan gula dalam buah tersebut yang mana tidak sesuai untuk mereka yang mengidap diabetes dan tahap karbohidrat tinggi yang boleh menyebabkan kenaikan berat badan.

Namun, ia tidaklah bermakna buah itu langsung tidak baik atau bermanfaat.

Namanya pun buah, pasti ada khasiatnya bukan?

FMT Ohsem menyenarai 5 sebab positif anda patut menikmati buah durian pada masa sama tidak menafikan ia harus diambil secara terhad.

1. Kaya nutrisi

Buah tempatan yang menjadi kebangsaan Malaysia ini kaya dengan potasium, zat besi, serat, vitamin C dan vitamin B kompleks. Ia menjadi buah yang mempunyai pelbagai khasiat semula jadi yang diperlukan untuk tubuh kita khususnya bagi menyokong sistem imunisasi, meningkatkan sel darah merah, meningkatkan kekuatan otot dan melawas pembuangan air besar. Mungkin ini menjadi berita paling gembira untuk penggemar buah ini terus menikmatinya tetapi awasi pengambilan dengan meminum banyak air untuk kebaikan optimum.

2. Meningkatkan berat badan

Bagi mereka yang mahu meningkatkan berat badan secara “seronok” makanlah buah durian. Sekilogram durian mengandungi 1,350 kalori dan tinggi karbohidratnya. Jadi anda pasti akan “naik” kalau makan buah ini. Tetapi bukan semua mahu menaikkan berat badan bukan?

3. Mengurangkan tekanan darah

Walaupun anda rasa seperti tertekan tiap kali melihat ulas durian yang kuning berkrim, jangan risau ia sebenarnya berfungsi mengurangkan atau tidak memberi apa-apa kesan kepada tekanan darah anda. Kaya dengan kalium, durian membantu menyeimbangkan cecair dan garam dalam sel badan. Kalium yang tinggi membantu merehatkan saluran darah dan mengurangkan tekanan pada sistem kardiovaskular. Walaupun belum ada kajian saintifik yang membuktikan fakta ini, tetapi banyak web kesihatan seperti Livestrong berkongsi maklumat ini. Sekali lagi, makan secara berpada-pada kerana kandungan gulanya diiktiraf tinggi.

4. Memudahkan tidur

Kandungan tritofan, sejenis bahan kimia yang berkait rapat dengan tidur banyak didapati dalam durian. Kandungan tritofan dalam diet membolehkan ia masuk ke dalam otak dan berubah menjadi serotonin, yang turut memberi rasa selesa, seronok dan relaks. Lebihan serotonin pula akan merembeskan melatonin ke dalam aliran darah yang akan menyebabkan rasa letih yang mana membawa kepada rehat. Jadi mereka yang bermasalah dengan insomnia digalak memakan durian.

5. Baik untuk kecantikan kulit

Dengan 11.6mg vitamin C setiap 2 ulas durian bersaiz sederhana, anda memperoleh lebih banyak Vitamin C daripada kebanyakan buah tropika. Vitamin C terkenal dengan agen anti-oksidan menentang radikal bebas dan mengurangkan pigmentasi serta kedutan pada kulit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.