
Seronok melihat bayi tersenyum ketika sedang tidur? Agaknya apa yang menyebabkan bayi itu tersenyum?
Banyak mitos yang menyatakan bayi sedang bermain dengan makhluk halus atau mungkin sedang dibuai mimpi indah. Ingat, itu hanya mitos, ada sebab saintifik lain yang menyebabkan bayi tersenyum.
Jadi anda tidak perlu risau atau gentar jika bayi tersenyum seorang diri mahupun ketika tidur.
Sebenarnya, pada peringkat awal selepas lahir, aktiviti senyum pada bayi wujud bukan sebagai tanda respon terhadap sesuatu atau kerana rasa gembira, sebaliknya ia menandakan tindak balas yang semula jadi yang dimiliki setiap bayi.
Ia disebut sebagai ‘neonatal smiling’, iaitu bayi baru lahir spontan tersenyum tanpa apa-apa sebab. Tindak balas senyuman ini dimiliki setiap bayi sejak mereka sudah terbentuk di dalam rahim ibu. Ia berasal dari rangsangan bahagian subkortikal otak.
Ketika dalam kandungan, senyum ini juga terjadi secara spontan.
Sekiranya bayi sedang mengalami tahap tidur REM iaitu tahap tidur paling damai maka ia akan menggiatkan rangsangan otak termasuk pada bagian subkortikal.

Pada waktu itulah kita akan melihat bayi ini sering tersenyum pada ketika awal minggu kelahirannya.
Bagaimanapun, tindak balas ini akan berkurangan apabila usia bayi bertambah.
Menurut Wall Street Journal, kajian juga mengesahkan aktiviti senyum oleh bayi turut menunjukkan perkembangan emosi apabila memasuki usia 2 bulan. Maka senyum yang dimilikinya tidak lagi spontan dan bukan lagi disebabkan rangsangan otak.
Malah, pada waktu ini bayi akan tersenyum kerana merespon kepada pelbagai faktor luaran seperti apa yang dilihat, dalam kata lain, ia dipengaruhi emosi bayi itu sendiri.
Pada tahap ini, otak bayi berkembang, penglihatannya bertambah baik dan bayi akan mula mengecam wajah orang di sekelilingnya.
Bayi juga akan mempertingkatkan rangsangan suara menerusi pendengaran, seperti suara ibu, ayah, atau mainannya. Tindak balas yang diberikan terhadap suara atau bunyi ini adalah dengan senyuman.
Kemampuan emosi yang meningkat pada bayi juga menandakan rangsangan bahagian otak subkortikal mulai berkurangan.
Semakin meningkat usianya, kita akan semakin jarang melihat bayi tersenyum pada waktu tidur.
Pada usia 5 hingga 6 bulan mereka akan memiliki pelbagai bentuk senyuman sehingga ketawa besar-besaran yang menunjukan emosi bahagia, senang dan tertarik terhadap sesuatu.
Selanjutnya memasuki usia 7 hingga 8 bulan, bayi akan semakin aktif berinteraksi, bukan hanya dengan memberikan respon berupa senyuman malah respon verbal dengan mengeluarkan suara kecil.
Senyum adalah salah satu tanda perkembangan otak si kecil.
Bayi yang tersenyum menandakan ia sudah mengalami perkembangan emosional dan mampu melihat secara jelas lingkungan sekitarnya.
Sekiaranya si kecil yang berusia 2 bulan ke atas tidak menunjukkan sebarang tindak balas senyuman, anda kena beri perhatian.
Mungkin ia menandakan berlaku gangguan pada perkembangan otak si kecil. Jadi untuk mengetahui secara lanjut, hubungi pediatrik anda.