Filem termahal Cina, Asura ditarik balik dari pawagam

Filem termahal Cina, Asura ditarik balik dari pawagam

Diilhamkan daripada kisah mitologi seorang Buddha Tibet, filem Asura sarat dengan kesan visual bagi kesemua 2,400 adegan sepanjang 141 minit waktu tayangannya dengan kos pembikinan RM454.53 juta.

Free Malaysia Today
Gambar Asura Film Official 2018.

“Asura”, sebuah filem China yang paling mahal dalam sejarah pembikinan ditarik dari pawagam selepas pembukaan yang buruk pada hujung minggu lalu.

Filem fantasi, yang diuar-uarkan bakal mencipta trilogi menelan belanja 750 juta yuan (RM454.53 juta) bagi kos pembikinan mengambil masa 6 tahun pembikinannya.

Malangnya, ia hanya memperoleh kutipan 49.05 juta yuan (RM29.63 juta) pada pembukaan hujung minggu.

“Akibatnya, pengeluar Alibaba Pictures, Zhenjian Film Studio dan Ningxia Film Group memutuskan untuk menarik filem itu dari pawagam dan memohon maaf kepada penonton yang tidak berpeluang lagi menontonnya lagi,” petik South China Morning Post .

Diilhamkan daripada kisah mitologi seorang Buddha Tibet, Asura sarat dengan kesan visual bagi kesemua 2,400 adegan sepanjang 141 minit waktu tayangannya.

Filem itu melibatkan kira-kira 2,500 krew dari seluruh dunia, pelakon utama bintang pujaan muda China, Wu Lei yang hanya berusia 19 tahun, serta pelakon Hong Kong, Tony Leung Ka-fai dan Carina Lau.

Kisahnya berkisar kepada seorang gembala muda bernama Ru Yi (Wu) sebagai jelmaan semula Asura, salah seorang daripada 3 ketua raja pahlawan, yang terpaksa menyelamatkan empayarnya selepas rampasan kuasa.

Sememangnya, filem itu menerima jangkaan yang tinggi sebelum ditayangkan, ramai yang menjangka ia bakal mengikuti jejak langkah “Game of Thrones” dan “Lord of the Rings.”

“Ia sebuah filem penuh dengan elemen imaginasi. Kami mahukan sebuah filem ini menyerlah dan menekankan budaya sendiri di samping melatih bakat tempatan,” kata pengerusi Kumpulan Filem Ningxia, Yang Hongtao kepada China Daily.

Filem ini mendapat sokongan daripada Parti Komuniti di mana tayangan pertama filem ini di Beijing disertai para pegawai awam.

Malangnya, penonton panggung wayang Cina nampaknya tidak begitu berpuas hati dengan hasil Asura.

“Asura” hanya menerima 3.1 mata (terburuk) daripada 10 mata dalam laman Douban, sebuah platform penilaian filem yang paling popular di negara itu.

Manakala laman web Maoyan iaitu pembekal tiket milik pesaing Tencent Alibaba pula hanya memberi 6.4 mata bagi filem itu.

Menariknya, filem Asura dikatakan belum berakhir dengan penarikan di tayangan kerana pihak pembikin mungkin akan merakam semula kisah itu pada masa akan datang.

“Keputusan ini dibuat bukan sahaja kerana kegagalan kami tetapi kami memang merancang untuk membuat beberapa perubahan sebelum disiarkan semula,” kata seorang wakil dari Zhenjian kepada Sina News.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.