Petisyen pecat Tommy Thomas jadi bahan lawak netizen

Petisyen pecat Tommy Thomas jadi bahan lawak netizen

Petisyen dalam talian itu memperoleh 2,570 tandatangan setakat ini.

Satu petisyen yang memohon pemecatan Peguam Negara Tommy Thomas sedang viral di laman sosial bukan kerana isu yang dipaparkan tetapi bahasa yang digunakan.

Petisyen yang dimuatnaik oleh pengguna bernama Fyizuddin Jaafar 2 hari lalu menyuarakan ketidakmampuan Peguam Negara itu mengendalikan kes berprofil tinggi membabitkan Datuk Seri Najib Razak dalam Bahasa Melayu sebagai satu keaiban kepada negara.

Bagaimanapun, netizen pula berkongsi rakam papar petisyen tersebut yang ditulis bukan sahaja menggunakan bahasa Inggeris tetapi dengan terlalu banyak kesalahan tatabahasa selain ayat yang berputar belit.

Petisyen dalam talian itu memperoleh 2,570 tandatangan sehingga artikel ini ditulis.

Di laman sosial pula pengguna tersebut dikecam sebagai wakil kepada kegagalan sistem pendidikan penguasaan bahasa Inggeris.

Biarpun begitu ramai yang mampu “memahami” mesej yang disampaikan oleh Fyizuddin dan memberi sokongan, malah tidak kurang juga yang mengecamnya.

Pelbagai petisyen menghalang perlantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara diwujudkan di Charge.org sejak awal lagi kerana beliau bukan berbangsa Melayu selain tidak mampu bercakap dalam bahasa kebangsaan.

Bagaimanapun Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V memperkenankan pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara pada 5 Jun yang lalu.

Seri Paduka bertitah bahawa pelantikan tersebut tetap memelihara hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera serta kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.